Monday, September 14, 2009

B/Pinang: PR 'Menyerang' -Datuk Halim Abdul Rahman.



Oleh Mohd Zuharman

KOTA BHARU, Sept 14 — Walaupun berdepan dengan peratus undi pos yang terlalu tinggi di Bagan Pinang, Pakatan Rakyat (PR), PAS dan Pakatan Rakyat akan mengambil pendekatan menyerang dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Perkara ini disahkan oleh Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman kepada The Malaysian Insider. Ia turut disahkan juga oleh Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Salahuddin yakin kedudukan Pakatan Rakyat cukup mantap dan menyifatkan keupayaan pakatan berada di posisi menyerang bakal mencerminkan aspirasi rakyat menjelang pilihan raya umum ke 13 nanti.

Selain itu PRK Bagan Pinang dianggap sebagai referendum rakyat terhadap kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam proses transformasi penentuan landskap politik negara.

Salahuddin turut menegaskan PR akan membawa momentum PRK Kuala Terengganu di mana ketika itu PR juga berada di posisi menyerang berdepan dengan BN dan Bebas ke Bagan Pinang bersama hujah konkrit bagi menangkis isu dibangkit pihak lawan.

“Persefahaman dalam Pakatan serta isu bersama akan lebih meyakinkan kita untuk menghadapi pilihan raya di Bagan Pinang nanti,” katanya kepada wartawan The Malaysian Insider ketika ditemui di pejabatnya.

PRK Dun Bagan Pinang merupakan PRK ke sembilan selepas Permatang Pasir. Ia bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohd Nor. Dalam pilihanraya umum lalu Azman menewaskan calon PAS, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333.

Umum menyifatkan satu sejarah tidak pernah berlaku dalam negara PRK diadakan sebanyak sembilan kali dalam tempoh lebih kurang setahun bermula di Permatang Pauh sejak Ogos tahun lalu.

Sepanjang lapan PRK dilangsungkan sebelum ini PR dua kali menghadapi kerusi yang dimenangi lawan iaitu di Kuala Terengganu dan Batang Ai. Keputusannya, di KualaTerengganu PR melalui calon PAS, Abdul Wahid Endut berjaya menundukkan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, dengan majoriti berganda namun Batang Ai terus dikuasai BN.

Di Bagan Pinang PR sudahpun bersetuju akan menurunkan calonnya dari parti PAS di samping BN akan menampilkan calonnya dari parti Umno.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, berpersepsi PR yang berada di posisi menyerang tidak akan terganggu oleh sebarang kesan berbanding dengan BN yang berada di posisi bertahan.

“Walaupun BN menang ia tidak akan memberi apa-apa indikator kerana ia berada di posisi bertahan. Tetapi kalau sebaliknya, landskap politik kerajaan BN akan terus tercalar,” katanya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yakin semangat perjuangan PR tidak pernah lemah walau terpaksa berdepan dengan apa jua keadaan demi rakyat.

Kata Guan Eng, walaupun dari segi teori kemampuan menawan Dun Bagan Pinang hanya 40 peratus tetapi usaha bagi memastikan kejayaan PR tetap diteruskan hingga ke titik terakhir. Selebihnya berserah kepada tuhan, katanya.

Manakala Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan, semasa mengulas kekuatan status partinya menjelang PRK tersebut dilaporkan tidak boleh memberi jaminan kemenangan dalam setiap pilihan raya kerana dikhuatiri hilang semangat kerjasama selain daripada membantutkan usaha menarik undi.

Tajuk Asal: PR Ambil Pendekatan Menyerang.(AK)

No comments:

Post a Comment