Tuesday, September 15, 2009

Demo Shah Alam Demo London, Siapa Dalang? -Nik Aziz.


KOTA BHARU, 15 Sept: Walaupun bimbang adanya dalang di sebalik tunjuk perasaan memperingati tragedi runtuh menara berkembar World Trade Centre (WTC) di London 11 September lalu, PAS menyifatkan ia lebih bertamadun berbanding perarakan kepala lembu di Shah Alam.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perarakan di Shah Alam tidak bertamadun kerana ia membangkitkan isu perkauman dan penghinaan terhadap agama lain. Baru-baru ini demonstrasi antiIslam diadakan berdekatan Masjid Utama Harrow, barat laut London dianjurkan Pertubuhan Hentikan Pengislaman Eropah (SIOE).

Seorang anggotanya, Stephen Gash dilaporkan menegaskan tidak mahu sebarang masjid dibina sehingga isu kebencian diselesaikan. Demontrasi itu mencetuskan kemarahan kira-kira 1,000 pemuda Islam sehingga berlaku ketegangan antara kedua-dua pihak sehingga memaksa polis menahan 10 orang yang terlibat ketika menyuraikan keadaan.

Kebimbangan mengenai keganasan kian meningkat selepas berlaku pergaduhan ketika perarakan menentang fundamentalisme Islam oleh sebuah kumpulan pelampau kanan, Liga Pertahanan England di Birmingham. Nik Aziz Khuatir kalau-kalau demonstrasi didalangi Yahudi yang mahu melaga-lagakan penganut agama Islam dan Kristian.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, sejarah menunjukkan terdapat seorang rabbi Yahudi mengakui menjadi punca kepada setiap kejahatan yang berlaku. "Hal ini dicatatkan dalam sejarah pada zaman Rasulullah saw, di mana terdapat seorang paderi Yahudi yang bernama Kaab bin Ashraf pernah memberitahu mengenai perihal pengakuan kejahatan yang dilakukan pihaknya.. Semua peristiwa itu terakam dalam ayat 51, surah An Nisa'," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Oleh itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak menolak kemungkinan penglibatan Yahudi yang cuba untuk melaga-lagakan antara golongan Kristian dan Islam di London. "Benarlah Yahudi merupakan golongan penghasut untuk mengadu domba dengan menggunakan pelbagai alasan yang remeh-temeh.. Tunjuk perasaan yang berlaku di London sebenarnya bukan masalah keganasan yang dituduh terhadap umat Islam tetapi ia merupakan dendam kesumat golongan yang tidak suka kepada Islam," katanya.

Beliau juga berkata, keganasan sengaja dibangkitkan pihak tersebut sebagai kerana Islam kini semakin mendapat tempat dalam masyarakat di seluruh dunia. Menurutnya puak pelampau terbabit sengaja menggunakan alasan memperingati tragedi serangan 11 September untuk menanam kebencian terhadap Islam.

Beliau juga berharap pendakwah-pendakwah Islam di London dan Eropah tidak lagi mengharap pendakwah yang datang daripada luar untuk menyebarkan agama suci itu di tempat mereka. "Bahkan suatu hari nanti kita akan melihat orang-orang Inggeris menjadi pendakwah sesama mereka, lebih-lebih lagi orang Inggeris memiliki pemikiran yang terbuka," katanya. Beliau juga mahu perbezaan agama diselesaikan menerusi perbincangan secara ilmiah.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Nampaknya macam sama antara 'demontrasi kepala lembu di Shah Alam' dengan 'demonstrasi antiIslam diadakan berdekatan Masjid Utama Harrow, barat laut London' seperti yang disebutkan. Bahkan lebih teruk lagi yang di Shah Alam. Kalau demo di London ada kemungkinan didalangi Yahudi, di sini mungkinkah ada juga Yahudi atau anak buahnya di belakang? Siapa mereka itu? (Sumber Harakah/AK)

No comments:

Post a Comment