Tuesday, September 15, 2009

Perjuangan B/Melayu Tak Boleh Bawa Ke Akhirat -Nik Aziz.


KOTA BHARU, ISLAM adalah milik Allah sedangkan perjuangan bangsa Melayu bukannya boleh dibawa ke akhirat, hanya Islam yang akan sampai ke sana. Begitulah kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan, ketika ditemui media di majlis perlancaran kutipan wakaf/derma tapak sebuah masjid di Bandar Baru Tunjong, semalam (Sept 14 2009).

"ISLAM milik Allah sedangkan perjuangan bangsa Melayu bukannya boleh dibawa ke akhirat, hanya Islam akan sampai ke sana" kata beliau. Menurutnya lagi, hanya PAS parti yang mengambil Al-Quran dan Sunnah sebagai asas perjuangannya.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bahawa Umno juga memperjuangankan Islam bukan sesuatu yang luar biasa, kerana kenyataan sedemikian juga boleh digunakan oleh parti lain dalam komponen BN, namun realitinya Umno memperjuangkan Melayu, MCA Cina dan MIC memperjuangkan kaum India.

Tetapi PAS katanya, memperjuangkan Islam yang melampaui batas perkauman sempit tersebut. Keadilan perjuangan Islam itu katanya telah menarik kaum bukan Islam untuk bersama PAS sehingga tertubuhnya Kelab Penyokong parti itu.

Majlis perlancaran itu sempena kutipan wakaf/derma tapak sebuah masjid yang akan didirikan di tapak seluas 9.40 ekar tersebut adalah sumbangan peribadi dari tokoh dermawan negara ini dan ia terletak di persimpangan Jalan Kuala Krai ke Kota Bharu serta Jalan Kota Bharu ke Rantau Panjang.

Turut hadir di majlis tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Dato'Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri Haji Mohd Faudzi Che Mamat, Exco Negeri, Ketua Pegawai operasi Perbadanan Menteri Besar, Ir.Abdul Ariffahmi Ab.Rahman, Pengarah Urusetia Kerajaan Negeri, Ustaz Abdul Rahman Yunus dan Pegawai-Pegawai Kerajaan negeri.

Pembinaan masjid tersebut akan mengambil masa selama 34 bulan dan boleh menampung seramai 1750 jemaah pada satu waktu. Masjid yang menelan belanja melebihi RM7 juta akan menggunakan ciri-ciri di zaman Uthmaniah (Turki) dan Fatimiah(Mesir) serta dilengkapi dengan sebuah pusat sumber Islam,Kelas Tahfiz, Kediaman Iman dan pegawai masjid.

Mengulas hak meletakkan calon pada pilihanraya kecil Bagan Pinang, Tuan Guru berkata ianya bukan isu besar, kerana yang lebih penting, calon yang tersebut adalah dari Pakatan Rakyat "Mengikut kebiasaannya, calon adalah dari parti yang bertanding terdahulu, kalau calon dahulu dari PAS, maka untuk kali ini pun dari PAS, apapun ia adalah milik Pakatan Rakyat sebenarnya" katanya lagi.

Mengulas kenyataan bekas Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamed bahawa Umno akan terkubur sekiranya permasalahan yang melanda tidak dapat diselesaikan segera, kata beliau "Umno mesti mati kerana hidup mereka hanyalah dibuat-buat. Mereka tolak Islam, guna sekular, kalau lawan sama-sama sekular boleh lah tahannya, tetapi kalau parti mana sekalipun yang lawan Islam, ia tak akan bertahan lama."

Beliau juga adalah Mursyidul Am PAS, jawatan paling tinggi dalam PAS yang melampaui jawatan Presiden. (2MA)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails