Wednesday, September 02, 2009

Sidang DUN Perak: Penahanan Bermula Dengan NGeh & Keshvinder

DUN Perak yang dikawal..
Rabu September 2, 2009:

BERIKUT adalah perkembangan situasi di "Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)" Perak yang didakwa oleh Pakatan Rakyat negeri itu akan diadakan di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Ipoh hari ini.

10.13 pagi: ADUN Malim Nawar, Keshvinder Singh ditahan. Mohammad Nizar meminta wakil-wakil rakyat Pakatan supaya bersurai.

10.07 pagi: Ngeh ditahan pihak polis.

10 pagi: Polis dan wakil rakyat Pakatan berhadapan bertemu dalam jarak 100 meter di luar bangunan SUK. Berlaku jeritan dan tolak menolak. Seorang jurugambar Nanyang Siang Pau ditahan.

Perbalahan berlaku. Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berarak sambil menjerit ke arak pihak polis. Ngeh mendakwa arahan mahkamah hanyalah untuk para penyokong kerana katanya Seksyen 24, Kanun Keseksaan menyatakan tidak ada wakil rakyat yang boleh dihalang daripada memasuki dewan persidangan. Ngeh juga berkata, arahan yang diterima di bawah Seksyen 98, Kanun Acara Jenayah perlu diwartakan terlebih dahulu di bawah Seksyen 90. Polis mengakui arahan itu tidak diwartakan namun terus menolak mereka supaya berundur.

9.45 pagi: Wakil rakyat Pakatan mula berarak dari ibu pejabat DAP Perak ke arah bangunan SUK.

8 pagi: Peguam Pakatan, Chan Kok Keong berada di Mahkamah Majistret Ipoh bagi mendapatkan perintah.

IPOH: Pakatan Rakyat tetap akan meneruskan rancangan mereka untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Pakatan telah memohon perintah mahkamah untuk mengenepikan perintah Mahkamah Majistret di sini yang membenarkan pihak polis menghalang sebarang perhimpunan dalam lingkungan 30 meter dari pagar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, yang melibatkan Jalan Istana hingga ke sekolah Poi Lam, bermula dari pukul 1 pagi tadi hingga 11 pagi esok.

Pasukan polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan di beberapa lokasi strategik yang menghala ke arah bangunan berkenaan. Polis meletakkan pita kuning dalam lingkungan kawasan yang dilarang bagi menghalang orang ramai memasuki kawasan bangunan SUK.

Hanya kakitangan kerajaan bangunan tersebut dibenarkan masuk. Wakil rakyat Pakatan mula berkumpul di ibu pejabat DAP yang terletak bertentangan dengan bangunan SUK pada pukul 9 pagi sebelum berarak ke bangunan itu. Begitu, sumber Mstar Online.

Sementara itu Harakah menyebutkan, kesemua jalan masuk menuju ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak SUK pagi ini di tutup bermula jam 6.30 pagi tadi menjelang persidangan DUN pagi ini. Kesemua jalan itu termasuk dua jalan utama menuju dua pintu masuk ke SUK iaitu Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dan Jalan Istana.

Sekatan jalan raya dibuat lebih 30 meter dari kawasan bangunan SUK di mana terletak di dalamnya Dewan Negeri yang dijangka digunakan oleh Speaker dan kesemua ADUN Pakatan Rakyat untuk bersidang hari ini. Tinjauan mendapati sekatan jalan itu bagaimanapun hanya memberi laluan kepada Ibu bapa yang menghantar anak mereka untuk ke sekolah, pekerja di bangunan SUK dan mereka yang bekerja di premis dalam kawasan lingkungan sekatan.

Lebih 300 anggota polis dilihat berkawal di kedua dua pintu masuk ke bangunan tersebut termasuk yang berpakaian biasa. (AK)

1 comment:

anonymous said...

Fikirkan bagaimana cara untuk menyatu padu kan melayu/Islam supaya tidak berbalah dalam politik.

Kuasa politik sangat penting. Hilang kuasa politik, hilang kuasa memerintah negara.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails