Thursday, October 29, 2009

Dataran Romantik Depan Masjid Putrajaya, Mengapa Biarkan?


PUTRAJAYA Okto 29, 2009: Adegan ‘pelukan ghairah’ pasangan muda di depan Masjid Putra di sini, semakin menjijikkan sehingga pihak berkuasa terpaksa mengeluarkan lebih 180 surat hadir untuk soal siasat dalam tempoh sebulan terhadap pasangan kekasih kemaruk seks yang melakukan perbuatan tidak senonoh di lokasi terbabit.

Lokasi hangat yang hanya kira-kira 200 meter dari masjid berkenaan yang dikenali sebagai ‘dataran romantik’ itu semakin meriah dengan kegiatan berpelukan dan bercium secara terbuka pasangan kekasih terutama selepas solat Maghrib, setiap hari. Bukan itu saja, adegan memberahikan sehingga terlupa azan Maghrib dan Isyak dilaungkan itu seolah-olah mengasyikkan pasangan terbabit untuk terus memainkan peranan bagi memuaskan nafsu masing-masing di depan khalayak, termasuk kanak-kanak yang mengunjungi kawasan itu.

Malah, bagi pasangan kekasih yang sudah ‘khayal’, mereka tidak segan silu beralih angin bagi meneruskan adegan seks sama ada di dalam kereta atau bergerak ke flet yang disewa pasangan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Kegiatan tidak bermoral dan menjijikkan itu didedahkan sumber Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kepada Harian Metro, yang mengakui kegiatan itu dilakukan pasangan kekasih berusia antara 19 hingga 28 tahun dan tidak kurang enam surat hadir dikeluarkan pada pasangan terbabit setiap hari.

Menurutnya, kegiatan pasangan kemaruk seks itu boleh dilihat hampir setiap hari apabila mereka menjadikan kawasan sekitar masjid berkenaan sebagai lokasi untuk melakukan kegiatan tidak senonoh secara terbuka.

“Pasangan ini datang dengan menaiki kereta mewah seperti Mercedez Benz dan Honda sebelum berpura-pura menjadi pelancong dengan melakukan aktiviti ringan, termasuk mengambil gambar pasangan masing-masing.

“Mereka akan mencari lokasi ‘panas’ sebelum duduk berdua-duaan dan perlahan-lahan memulakan adegan ringan diikuti berpelukan dan bercium dengan penuh ghairah secara terbuka,” katanya, semalam.

Sumber itu berkata, kegiatan maksiat secara terbuka di depan masjid itu berlarutan sejak beberapa bulan lalu, malah walaupun dipantau setiap hari, pasangan kemaruk seks tetap menjadikan dataran itu sebagai lokasi pemanas badan. Beliau berkata, kebanyakan pasangan terbabit dipercayai bertugas dengan syarikat swasta dan kakitangan kerajaan berhampiran dan memberikan pelbagai alasan apabila didekati penguat kuasa.

“Kami terpaksa menggertak mereka dengan surat hadir kepada pejabat bagi mendapatkan penjelasan mengenai maksiat yang dilakukan secara terbuka dan memberikan tempoh dua hari untuk hadir di pejabat untuk diambil keterangan.

“Apa yang pasti, sama ada pasangan berkelakuan tidak senonoh ini ditarbiah atau didakwa di mahkamah syariah bergantung kepada penjelasan yang mereka berikan.

“Bagaimanapun, bagi pasangan yang ingkar dengan surat hadir itu, pihak berkuasa tidak mempunyai pilihan selain mengeluarkan waran tangkap,” katanya.

Selain itu, katanya, ada antara pasangan yang diberikan surat hadir itu seolah-olah tidak mengetahui mereka melakukan maksiat di depan masjid.

“Apa yang menyedihkan, ada pasangan yang tidak menyedari mereka berkelakuan tidak senonoh berhampiran masjid kerana dipercayai asyik dan khayal dengan pasangan masing-masing.

“Perbuatan tidak bermoral ini sepatutnya tidak berlaku di kawasan berhampiran masjid yang menjadi tumpuan umat Islam menunaikan solat,” katanya.

Bukan itu saja, katanya, ada pasangan yang terus melakukan pelukan dan bercium walaupun berhampiran mereka ada kanak-kanak yang mengunjungi tempat itu bersama ibu bapa mereka. Sumber itu berkata, beliau hairan mengapa kawasan itu terus menjadi lokasi maksiat pasangan kekasih walaupun pemantauan pihak berkuasa dilakukan hampir setiap hari.

“Kami percaya, pasangan terbabit beranggapan mereka bebas berpelukan dan bercium berhampiran masjid kerana yakin pihak berkuasa akan terperangkap dengan anggapan lokasi berkenaan lazimnya bebas daripada kegiatan tidak senonoh.

“Berdasarkan, anggapan itu, pasangan terbabit tidak segan silu melakukan perbuatan tidak senonoh kerana yakin tidak ada pihak berkuasa yang memantau mereka,” katanya.

Bagaimanapun, sumber berkata, berdasarkan kepada peningkatan pasangan yang melakukan maksiat itu, pemantauan pihak berkuasa dipertingkatkan bagi menahan pasangan terbabit sebelum mereka melakukan perbuatan yang lebih buruk.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Di situlah perlunya undang-undang yang berkesan dalam mentarbiah manusia. Itulah Al-Quran sebagai perundangan. Bukan undang-undang syariat yang bernaung di bawah ketiak undang-undang ciptaan manusia. (Sumber: MyMetro/2MA)

Lihat status undang-undang syariah di Malaysia dan yang berkaitan..

1. Pinda Artikel 3, Hukum Syarak Terbatal Kerana...
2. Flat Hijau Putrajaya Sarang Maksiat, Kenali Puncanya...
3. Awet Tegang Tawarkan Khidmat Picit Bertelanjang..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails