XIAOYUAN digelar budak kucing akibat bulu yang tumbuh lebat di tubuhnya.
FENGKAI (China): Keadaan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang digelar budak kucing menyebabkan doktor pening kepala selepas bulu yang tebal tumbuh di seluruh tubuhnya.
Lebih pelik, Li Xiaoyuan hanya memiliki tanda lahir seperti tahi lalat di belakang tubuhnya beberapa bulan lalu.
Namun, rambut mula tumbuh daripada tanda lahirnya itu dan kemudian merebak ke seluruh belakang badannya dan kini mula tumbuh di lengan dan mukanya.
Bapa Xiaoyuan, Li Yan berkata, doktor pada mulanya memberitahunya ia hanya tanda lahir, termasuk ketika pertumbuhan bulu mula merebak ke bahagian lain tubuh anaknya. "Kini bulu itu tumbuh di separuh daripada tubuh Xiaoyuan.
"Kanak-kanak lain kini tidak lagi mahu bermain dengannya dan menggelarnya budak kucing. Mereka juga membencinya,” katanya.
Ibu Xiaoyuan, Li Jiang yang kini menetap di Fengkai, selatan China sedih dengan nasib anaknya.
“Kami sekeluarga sedih kerana beliau terpaksa menderita dan tertekan akibat keadaan fizikalnya,” katanya.
Pakar bedah Hospital Dermatologi Zhaoqing, Dr Lou Zhongquan percaya, Xiaoyuan mungkin menghidap penyakit ganjil yang menyebabkan tahi lalat mengeluarkan bulu tanpa had.
“Kami boleh menggunakan laser untuk merawatnya ketika ia kecil.
“Namun, jika kami mampu buang melalui pembedahan sekalipun pada masa ini, kemungkinan besar pendarahan berterusan berlaku,” katanya. - Agensi.
1 comment:
tanda kebesaran Allah...
Post a Comment