Thursday, October 22, 2009

Gigit Polis Hilang Kelayakan Ahli Parlimen? -YB Tian Chua

MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 ke atas ahli parlimen Batu, Tian Chua, selepas mendapatinya bersalah terhadap tuduhan menggigit seorang anggota polis dan menghalangnya daripada menjalankan tugas. Laporan Malaysiakini hari ini.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut untuk membolehkan Tian Chua membuat rayuan. Jika Tian Chua gagal dalam rayuannya terhadap hukuman tersebut, maka beliau akan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen Batu. Sebelum ini, Majistret Mohd Faizi Che Abu mendapat Tian Chua bersalah terhadap tuduhan tersebut. Katanya, beliau mendapati Tian Chua bukan saksi yang berwibawa kerana pembelaannya hanya merupakan penafian semata-mata.

Malah, kata Mohd Faizi, rakaman video yang dikemukakan oleh pihak tertuduh menunjukkannya menghalang dirinya ditangkap. Katanya, walaupun rakaman video tersebut tidak menunjukkan berlakunya pelakuan menggigit, tetapi beliau percaya ia berlaku kerana anggota polis berkenaan memberi keterangan bahawa beliau menumbuk tertuduh dan Tian Chua bertindak balas dengan menggigit.

Mohd Faizi juga berkata, bukan anggota polis tersebut yang dibicara tetapi tertuduh yang menghadapi perbicaraan. Katanya, beliau mendapati kewibawaan anggota polis itu tidak terjejas kerana beliau mengaku, dalam keterangannya, telah menumbuk Tian Chua. Dalam reaksinya, Tian Chua berkata beliau tidak fikir ianya satu penghakiman yang adil kerana mendakwa majistret dan pihak pendakwa bergantung kepada keterangan anggota polis terbabit dan berasaskan kepada bukti keadaan.

Katanya, ia tidak membuktikan bahawa kejadian menggigit itu berlaku. Tian Chua mendakwa hukuman tersebut adalah untuk menghilangkan kelayakannya sebagai ahli parlimen. "Saya akan terus berkhidmat kepada rakyat dan hukuman tersebut tidak akan menjejaskan agenda untuk perubahan dan pembaharuan," katanya.

Tian Chua, 46, yang nama penuhnya Chua Tian Chang, didakwa mencederakan konstabel Rosyaidi Anuar, 21, di depan bangunan Parlimen pada jam 10.45 pagi 11 Disember 2007. Rosyaidi bertugas dengan Bahagian Narkotik Ibupejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur. Pada 18 Mei, Mohd Faizi mengarahkan Tian membela diri selepas majistret itu memutuskan bahawa pihak pendakwa mempunyai kes terhadap ahli parlimen Batu itu.

Tian didakwa mengikut Sekseyen 332 Kanun Keseksaan dan boleh berdepan dengan hukuman tiga tahun penjara atau didenda atau kedua-duanya sekali. Sekiranya hukuman penjara melebihi setahun atau jika denda yang dikenakan melebihi RM2,000 maka Tian hilang kelayakan sebagai ahli parlimen Batu jika selepas semua rayuannya gagal. Tian ditahan sewaktu Bersih mengadakan protes membantah pindaan perlembagaan untuk melanjutkan usia persaraan anggota Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dari 65 kepada 66 tahun. (Malaysiakini/AK)

2 comments:

Anonymous said...

PELIK,
Majistret buat keputusan hanya dengan pengakuan polis tanpa sebarang bukti termasuk laporan perubatan digigit oleh Tian Chua.
Ini satu lagi tanda negara autokratik dan hakim pun penakut. Hari kiamat nanti mmg ramai Hakim tak lepas asyik ditarik oleh mereka yang dianiaya.

Anonymous said...

Tian Chua gigit polis dah kena hukum.Majistret tak tanya pulak:mengapa Tian Chua gigit polis.Bagai mana dengan kes-kes lain yang polis belasah orang ramai? Tak dengar pulak ada polis yang kena hukum dimahkamah.Bukan sekadar belasah,diBatu Buruk ada yang ditembak mati.Inilah keadilan Malaysia Bolih dan 1Malaysia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails