Friday, October 23, 2009

Guru Ghaib Halal Arak & Zina -Akhil Hayy

HALAMAN HIBURAN

PUTRAJAYA: Segelintir artis tersohor tanah air yang didakwa terpengaruh dengan ajaran sesat disebarkan ‘guru ghaib’ mereka, dipercayai menjadi tali barut menyebarkan ajaran pelik yang antara lain menghalalkan mereka melakukan perbuatan tidak bermoral termasuk bersekedudukan, berzina dan meneguk minuman keras.

Penyebaran ajaran yang dengan jelas memperlekehkan hukum Islam itu bukan saja dilakukan di kalangan artis veteran, malah membabitkan artis baru yang begitu teruja mahu popular di kalangan peminat dengan melakukan perbuatan yang sebenarnya boleh merosakkan masa depan mereka.

Aktiviti terkutuk artis terbabit yang kebanyakannya memang selesa dalam ‘zon maksiat’ dilakukan secara sulit dengan mendekati rakan artis yang mudah dipengaruhi terutama mereka yang menjadikan kerjaya lakonan dan nyanyian sebagai sumber pendapatan utama.

Kumpulan artis terbabit memang berniat menyesatkan rakan seperjuangan selain merosakkan akidah mereka dengan mengumpan kononnya mahu mempermudahkan ajaran Islam mengikut selera ‘guru ghaib.’

Artis terbabit juga dikesan gemar mengadakan majlis tahlil dan kenduri, tetapi aktiviti itu sebenarnya diadakan semata-mata untuk berdiskusi mengenai ajaran ‘guru ghaib’ bagi mengaburi mata artis lain kononnya mereka membawa ajaran benar.Pendedahan mengejutkan itu dilakukan penceramah, artis dan pengacara rancangan televisyen, Akhil Hayy, yang mengakui artis ‘tali barut’ ajaran sesat itu nampak baik dan alim pada luaran, tetapi sebenarnya mereka penyebar ajaran sesat.

Menurutnya, artis terbabit membawa ajaran pelik, termasuk memesongkan ajaran al-Quran dengan membenarkan maksiat dilakukan dalam kehidupan harian.

“Ajaran yang dibawa artis yang sudah selesa dalam zon maksiat itu tidak melarang artis bersekedudukan dengan suami atau isteri orang lain, termasuk artis remaja lain yang beria-ria mahu dikenali ramai sehingga terpedaya melakukan perbuatan tidak bermoral.

“Sebenarnya, kegiatan ini memang wujud dan ia dilakukan segelintir artis yang sudah ada dalam zon maksiat dan mahu maksiat yang mereka lakukan diikuti artis lain dengan alasan apa saja amalan yang dilakukan sudah ‘ditulis’ Allah.

“Mereka mengatakan perbuatan maksiat yang dilakukan sudah ditulis Allah (sejak azali) dan tidak perlu bimbang kerana boleh bertaubat,” katanya.

Akhil yang terkenal dalam rancangan ilmiah terbitan sebuah stesen televisyen berbayar berkata, dia tidak berniat menuding jari kepada sesiapa, tetapi amalan berkenaan hakikat dalam dunia artis yang perlu ditangani segera oleh pihak berkuasa.

Tanpa berselindung, Akhil berkata, kegiatan itu dikesan apabila dia sendiri mendekati dan berbual dengan beberapa artis yang menjadi pengikut ajaran sesat berkenaan sebelum mendapati mereka memiliki pegangan dipercayai menyeleweng daripada al-Quran dan hadis serta boleh merosakkan akidah.

“Bukan itu saja, artis terbabit dipercayai menggunakan pegangan pelik itu untuk disebarkan di kalangan artis lain, termasuk artis gemar bersosial yang dikenali pasti mudah dipengaruhi.

“Sebagai contoh, ada artis kononnya alim dalam filem atau drama, tetapi dalam kehidupan sebenar, jiwanya kosong dan artis ini jugalah antara individu yang menjadi sasaran artis ajaran sesat ini,” katanya.

Selain orang awam, Akhil berkata, artis adalah golongan yang menjadi sasaran artis sesat terbabit kerana mereka menjadi ikon masyarakat dan mempunyai agenda supaya perbuatan tidak bermoral artis itu menjadi ikutan masyarakat, terutama remaja.

Bagaimananpun, katanya, ada artis yang terpengaruh dengan kehidupan penuh maksiat itu akhirnya insaf dan kembali ke pangkal jalan selepas mendapat hidayah Allah.

Tetapi, katanya, apa yang amat ketara, artis sesat terbabit menggunakan kepetahan bercakap dan nama yang mereka ada untuk memberikan ‘bimbingan palsu’ kepada rakan artis lain dengan alasan mendapat ilmu daripada guru ghaib mereka.

“Berdasarkan pemerhatian dan perbualan dengan artis terbabit, mereka mendakwa menimba ilmu pelik itu daripada guru tertentu yang sudah jelas menyebar ajaran sesat.

“Artis sesat ini sentiasa akur dan taat serta dipercayai tidak akan mendedahkan kaitan mereka dengan guru terbabit kerana pegangan ajaran itu yang tidak membenarkan mereka mempersoalkan apa yang dilaku dan disuruh guru terbabit.

“Artis ini hanya akur dan meneruskan usaha menyebarkan ajaran pelik di kalangan artis kononnya Islam membenarkan maksiat dilakukan dan tidak perlu bimbang perbuatan tidak bermoral dilakukan kerana ada ruang untuk bertaubat kepada Allah,” katanya.

Tanpa berselindung, Akhil mempertikaikan kedangkalan artis yang terlalu ghairah mengikut ajaran sesat terbabit, walhal mereka sepatutnya peka dengan kepalsuan ajaran yang disebarkan guru ghaib terbabit. (Sumber MyMetro/AK)

4 comments:

Pak Oncu said...

Tuan ,, just asking u,,, baik sangat ke Akhil Bangkai tu,,, dia juga mangkok hayun,,,, maaf komen ni agak kasar sikit,,,,,
harap jgn ada manusia yg ngaku muslim tetapi RACIST nya menebal dalam diri,,,,,

PuTRi IDoRa said...

siapa kita untuk menghukum seseorg sebegitu sekali...inilah laa adat org melayu yang pantang ditegur akan mengutuk...amik laa pengejaran dan pikir positive...mungkin ada sebb disebalik sesuatu yang kita tak tahu..maaf saya menegur pak oncu...
ini adalah teguran ikhlas saya...

PuTRi IDoRa said...

siapa kita untuk menghukum seseorg sebegitu sekali...inilah laa adat org melayu yang pantang ditegur akan mengutuk...amik laa pengejaran dan pikir positive...mungkin ada sebb disebalik sesuatu yang kita tak tahu..maaf saya menegur pak oncu...
ini adalah teguran ikhlas saya...

azli said...

Hati-hati ngan bahasa tu pak Oncu..Umur dah Lanjut tu tunjuk la yg sopan sikit...Xkira sapa-sapa pun Orang Islam kalau bercakap yg baik-baik dan untuk kebaikan Elok la tuh kan...buruk tolak baik ambik...salam...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails