Thursday, October 22, 2009

Kepincangan BN Mengurus Negara -YB Khalid Samad

Oleh YB Khalid Samad.

OKT 22 — Mesyuarat ketiga, Penggal kedua, Dewan Rakyat ke 12 telah bermula pada hari Isnin, 19 Okt yang bakal menyaksikan berbagai lagi kepincangan kerajaan BN dalam mengurus tadbir negara kita ini. Sehubungan dengan itu, saya ingin mulakan dengan mengulas jawapan yang telah pun diberikan oleh dua Kementerian yang berikut.

Pertama: Jawapan TPM berhubung rasionalnya mengapa kerajaan menunggu sehingga 2012 untuk menukar semula pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda. Beliau menjawab — perlu membuat kajian serta menentukan tenaga guru mencukupi, terlatih dan sebagainya.

Tetapi persoalannya, dahulu apabila melaksanakan PPSMI, mengapa tidak dilakukan sedemikian? Buat kajian terlebih dahulu, tentukan tenaga pengajar mencukupi dan begitu juga kemahiran yang berkaitan. Ini tidak, main rempuh sahaja walaupun ramai yang membantah. Dalam melaksanakan satu dasar dan kaedah yang baru, sudah semestinya dasar dan kaedah tersebut memerlukan kajian dan persiapan yang teliti. Kaedah kerajaan BN seperti biasa, terbalik! Apabila ingin laksanakan dasar baru tiada kajian dan persiapan yang teliti. Tetapi, apabila menukar kembali ke dasar yang asal, perlu kajian dan persiapan yang teliti!

Berkenaan soalan tambahan mengenai apa jaminan kerajaan tidak akan kembali kepada dasar PPSMI atau yang seakannya dan seterusnya mengabaikan Bahasa Malaysia, TPM telah menjawab bahawa status Bahasa Kebangsaan dijamin dalam Perlembagaan negara.

Tetapi apa yang lebih merisaukan banyak pihak ialah status Bahasa Kebangsaan telah pun dijamin dalam Perlembagaan sejak dari dulu lagi. Namun perkara ini tidak menghalang kerajaan BN melaksanakan satu dasar yang jelas bercanggah dengannya! Atau apakah mungkin TPM baru sahaja sedar kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan?

TPM seterusnya menyebut bahawa yang penting ialah persoalan meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris tanpa menjejaskan status dan penggunaaan Bahasa Kebangsaan. Maka jelaslah bagi beliau, ini masih lagi merupakan satu persoalan yang beliau sendiri tidak tahu cara mengatasinya. Jawapan sebenarnya mudah sahaja. Bukan dengan mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris!

Jika kita ingin meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris, maka perlulah belajar bahasa Inggeris. Kita mengajar Sains dan Matematik untuk anak-anak kita faham Sains dan Matematik. Oleh itu perlu mengajar mata pelajaran ini di dalam bahasa yang mereka mudah fahami. Bukan dalam bahasa yang kita sendiri mengakui bahawa pelajar lemah penguasaannya.

Kedua: Jawapan Timbalan Menteri berhubung perlanjutan perkhidmatan Ketua Polis Negara yang menyebut prestasi KPN amat memuaskan. Sebenarnya prestasi KPN memuaskan hanya dari persepsi BN. Kadar jenayah dikatakan meningkat dan banyak persoalan berhubung penyelewengan yang berlaku di bawah pentadbiran dan pengurusan beliau masih tidak terjawab.

Status rasuah dalam Institusi PDRM diketahui dan diakui umum. Ini masih tidak berubah. Biasanya dalam menangani masalah rasuah, orang nombor satu institusi terlibat perlu dipertanggung jawabkan tetapi di bawah kerajaan BN sebaliknya yang berlaku. Setelah pendedahan dibuat oleh sebuah Suruhan Jaya Di Raja sekalipun, namun tiada apa-apa tindakan yang bersungguh-sungguh untuk mengatasinya.

Hakikatnya, walau sejelas mana sekalipun kegagalan KPN tersebut, KPI yang terpenting dalam pertimbangan kerajaan BN ini adalah kesetiaan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada perintah dan arahan yang diberikan oleh kerajaan BN itu sendiri. Itu sahaja. — khalidsamad

1 comment:

Anonymous said...

Lapuran Ketua Odit Negara telah pun dibentangkan diParlimen.Ada yang keluar dalam akhbar seperti akhbar "SUN" dan tak banyak yang keluar dalam akhbar-akhbar milik UMNO/BN.
Lapuran ini keluar saban tahun tapi berapa ramai diantara kita yang berminat nak membacanya.Berbillion wang rakyat yang diselewengkan,tapi rakyat biasa tak ambil kisah pun.Membaca lapuran ini barulah kita tahu betapa busuk dan jijiknya pemerintahan UMNO/BN.Perompakan dan penyamunan wang rakyat ini berterusan kerana rakyat berdiam diri.Kita berharapkan YB-YB dari Pembangkang menyuarakan hal ini diParlimen,seolah-olah kita tidak ada kena-mengena dengan soal ini - walhal itu adalah wang kita.Itulah masaalah rakyat Malaysia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails