Saturday, October 10, 2009

Mansuh Undang Syariah -SIS & JAG Cabar Mufti S'ngor?



SIS atau Sisters In Islam didakwa menghasut dan melakukan provokasi berhubung kontroversi hukuman sebat terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno. Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Selangor hari ini membuat sebelas laporan polis terhadap NGO hak wanita itu, menurut Malaysiakini hari ini.

Yang dipertuanya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, lapan aduan dibuat melalui cawangan pertubuhan itu di seluruh Selangor pagi tadi. Manakala tiga lagi dibuat petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam," katanya. "Esok kita jangka 20 laporan lagi akan menyusul."

Mohd Zawawi yang membuat aduan polis itu bagi pihak Abim Selangor berkata, pihaknya meminta polis menyiasat SIS dan NGO lain yang bergabung dalam Kumpulan Bertindak Menentang Keganasan Terhadap Wanita (JAG) - kerana didakwanya, mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang Syariah.

"Tuntutan itu adalah bersifat hasutan dan menjejaskan kedaulatan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam, serta menghina martabat kedudukan mahkamah Syariah. Mereka yang terlibat perlu disiasat dan didakwa," katanya dalam aduan polis tersebut.

Dalam aduannya, Mohd Zawawi turut meminta pihak polis menyiasat kenyataan pengarah eksekutif Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO), Ivy Josiah yang mendesak kerajaan negeri dan persekutuan menjalankan semakan menyeluruh terhadap undang-undang jenayah, seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 1 Oktober lalu.

Mohd Zawani turut menuntut NGO Islam lain supaya mengambil inisiatif yang sama dengan menyatakan pandangan mereka supaya "masyarakat tidak terkeliru atas perbalahan pendapat".

"Kami juga memohon Jabatan Mufti Selangor atau badan-badan rasmi yang berkaitan, supaya memberi pandangan dan panduan kepada masyarakat umum agar masyarakat tidak teraba-raba mencari jawapan yang sebenar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Rumah Darul Wadah - sebuah agensi di bawah Abim Selangor - Hazlina Abdul Razak dan Setiausaha Agung Persatuan Pelajar Islam Selangor (Pepias) Zafarullah Ariff turut hadir dan membuat laporan yang sama di IPD tersebut. Dalam aduannya, Hazlina turut mendakwa tindakan pertubuhan-pertubuhan wanita tersebut menimbulkan kegelisahan di kalangan orang awam, khususnya penganut agama Islam.

Dewan Pemuda PAS Malaysia pula mensifatkan tindakan SIS dan JAG semakin berani mencabar keputusan mahkamah Syariah berhubung isu di atas, seperti yang dilaporkan Harakah hari ini, melalui kenyataan Ketua Pemudanya, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi.

"Biarpun hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah iaitu 6 sebatan dan denda sebanyak RM 5,000 tidaklah sepenuhnya menepati hukum syara' tetapi sekurang-kurangnya ia membawa semangat perlaksanaan undang-undang syariah dalam negara ini.. Jika 6 sebatan sahaja dibantah dan ditentang habis - habisan oleh SIS dan JAG , saya tidak dapat gambarkan bagaimana mereka mahu bertindak jika negara ini benar-benar melaksanakan hukum syara' iaitu antara 40 ke 80 kali sebat bagi mereka yang sabit bersalah meminum arak."Kata beliau.

Jelasnya SIS dan JAG menggunakan hujjah kononnya hukuman itu kejam , menjatuhkan maruah malah bercanggah dengan hak asasi manusia . (Jika 6 rotan sudah dianggap kejam ertinya mereka akan berkata 40 rotan sangat kejam).

Komen Blog Ibnu Hasyim: Tidak tercabar lagikah Jabatan Mufti Selangor atau badan-badan rasmi yang berkaitan? Mengapa masih takut-takut? Apakah kerana ia melibatkan kaum keluarga pemimpin-pemimpin negara?(2MA)

No comments:

Post a Comment