Monday, October 12, 2009

Politik: Bila Ku Renung Bulan Mengambang Di Iran..


Banglo di lereng gunung musim salji di Iran.

Antara jalan menuju ke sana.
Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim Di Iran 3

MALAM bulan mengambang penuh. Dari celah-celah pohon epal, palm, cherry dan entah apa-apa lagi, cahayanya luruh menimpai susuk wajahku, bersama kawanku orang Iran itu. Saya dan tiga lagi kawan dari Malaysia baru sampai ke kampung itu waktu hari sudahpun gelap. Kawan kami pemandu teksi dari Tehran beserta seorang pembantu, dan seorang keluarga-jauhnya, asal kampung itu mengiringi kami pulang ke kampungnya dari Tehran.

Kampung itu terletak jauh ke utara Tehran beberapa jam perjalanan. Bermula dari selepas subuh, melintasi gunung-gunung tinggi yang gondol. Melintasi lurah yang terdapat sungai, sebagai perairan kewujudan kebun-kebun hijau subur, dan penempatan kampung. Sekali sekala ternampak puncak gunung bersalji walaupun masa itu masih musim panas. Terasa kedinginan menggigit tubuh, apalagi kami yang sudah terbiasa dengan suhu khatulistiwa. Di situlah terletak kampung 'Quen' di Talegan.

Taleghan. Dulunya, semasa revolusi aku pernah dengar nama itu.. "Ayatullah Taleghani. Kawan rapat Imam Khomeini. Sama-sama meniup api revolusi membangunkan semangat perlaksanaan perundangan Islam di Iran. Dia anak daerah ini." Kata kawanku orang Iran yang juga anak daerah ini dalam perjalanan tadi. "Ayatullah Taleghani lebih hebat lagi, istimewanya beliau boleh diterima oleh semua golongan, termasuk puak Islam, nasionalis, liberal dan komunis." Jelasnya dengan bangga.

Di kampung inilah, kini saya sedang mencari kayu bersama pembantu pemandu teksi itu di perkebunan dekat rumah, sedang kawan-kawan lain menyiapkan makanan di dalam rumah. Dapatkan ranting-ranting mati sebagai bahan bakar untuk berdiang wujudkan api dalam rumah. Rumah yang dikosongkan penghuninya semata-mata untuk kami berehat.

"Buat apa renung bulan itu lama-lama, jom kita angkat kayu ini ke rumah, mungkin mereka sedang kedinginan perlukan kayu bakar.." Kata Haji Mahmud kawanku itu, dalam bahasa Inggeris. "Rindu kampungkah? Kalau nak renung lebih baik duduk berehat di atas anjung itu.." Sambil jarinya menunjuk arah anjung rumah banglo yang kami tumpangi.

Terdengar juga suara serigala bersahut-sahutan mengiringi bulan yang sedang mengambang penuh, terasa seolah-olah sedang menonton sebuah filem seram.

Kini, Iran selepas revolusi sudah dapat negara berdasarkan Islam, hasil perjuangan revolusinya. Maka Iran dilebelkan sebuah negara teokrasi dipimpin oleh ulama' dan agama rasminya ialah Syiah Islam, mazhab Imam Jaafar iaitu Usuli. Lepas revolusi, politik Iran terancam. Perang yang dipaksakan dengan Iraq, rebut kuasa dan ekonomi yang teruk terjejas. Penawanan kedutaan Amerika di Teheran keruhkan suasana dan hingga hari ini Switzerland yang jadi wakil Amerika di Iran. Tiada kedutaan Amerika di sini.

Pemimpin Tertinggi Iran bertanggung jawab sepenuhnya. Dialah ketua tentera dan berkuasa isytihar perang, ketua hakim, ketua rangkaian radio-tv, dan berkuasa melantik 6 dari 12 ahli Majlis Wali Iran. Pemimpin Tertinggi atau Pemimpin Agung itu dilantik oleh Majlis Pakar dan majlis ini juga berkuasa memecat beliau. Selain itu, Majlis Pakar juga bertanggung jawab mengawasi kerja Pemimpin Agung itu. Menurut Perlembagaan Iran, Presiden adalah orang kedua tertinggi dalam kerajaan.

Presiden Iran dilantik melalui pilihan raya umum dan akan menjalankan tugas selama 4 tahun. Semua rakyat berumur 18 tahun dan keatas berhak mengundi untuk presiden. Setiap calon presiden perlu dapat kelulusan daripada Majlis Wali Iran tadi. Tanggung jawab presiden ialah memastikan perlembagaan Iran dilaksanakan dan melaksanakan kuasa eksekutif kecuali bidang kuasa terus dengan Pemimpin Agung. Presiden juga mempunyai kuasa melantik dan mengawasi ahli-ahli kabinet, membuat keputusan bagi pihak kerajaan, dan meluluskan sesuatu sebelum dibawa ke badan perundangan. Badan perundangan Iran adalah berbentuk tunggal.

Begitulah kira-kira struktur politik Iran. Ahli Parlimen atau yang disebut Majlis e-Syura Eslami terdapat 290 orang. Dilantik menerusi pilihan raya setiap 4 tahun sekali. Apa yang penting kesemua ahli-ahli parlimen perlu mendapat kelulusan Majlis Wali Iran. Begitulah powernya Majlis Wali Iran. Majlis Wali yang terdiri daripada 12 pakar undang-undang termasuklah 6 ulama yang dilantik oleh Pemimpin Agung. Enam pakar undang-undang lain diundi oleh parlimen Iran di mana keenam-enam mereka dicalonkan oleh Ketua Kehakiman Iran. Majlis ini menafsirkan perlembagaan Iran dan berhak menolak rang undang-undang yang diluluskan parlimen jika dianggap tidak sesuai dengan perlembagaan atau undang-undang Syariah.

Hal inilah yang tidak ada dalam undang-undang sekular, hatta di negara yang disebut negara Islam sekalipun. Rang undang-undang ini kemudiannya akan dirujuk semula di parlimen. Jika berlaku perselisihan antara Parlimen Iran dengan Majlis Wali Iran, maka Majlis Penyesuaian Iran bertanggung jawab menyelesaikannya. Ia bertindak sebagai badan penasihat kepada Pemimpin Agung dan secara tidak langsungnya menjadi badan yang paling berpengaruh dalam pentadbiran negara. Mahkamah di Iran terbahagi dua kumpulan, iaitu Mahkamah Awam yang mengendalikan kes-kes jenayah umum, dan kedua ialah Mahkamah Revolusi yang mengendali kes-kes mengenai keselamatan negara. Keputusan Mahkamah Revolusi adalah tetap dan tiada permohonan semula dibenarkan.

Terdapat juga mahkamah untuk ulama yang melanggar undang-undang negara. Majlis Pakar pula, ahlinya adalah kumpulan ulama yang dilantik oleh rakyat Iran untuk berkhidmat selama 8 tahun. Berdasarkan undang-undang Iran, calon untuk majlis ini perlulah menjalani sebuah ujian bertulis untuk menguji kemampuan mereka dalam ijtihad. Majlis ini berkuasa melantik pemimpin agung dan juga berkuasa untuk memecat beliau pada bila-bila masa sahaja. Begitulah besarnya kuasa agama dalam sebuah negara seperti Iran.

Sambil mengumpul dan mengangkat ranting-ranting kering bawah pokok epal itu, kataku, "Bila ku renung bulan, aku teringat di negaraku, ada sebuah parti Islam yang berlambang bulan penuh seperti ini. Parti yang sudah 50 tahun berjuang untuk menegakkan Negara Islam tetapi masih tidak berjaya. Dari asalnya penduduk tanah airku yang hampir semuanya Islam, kini sudah mengecil hingga tinggal kira-kira 50% sahaja Islam sekarang, tambah menyulitkan untuk Islam dapat memerintah. Menyebabkan seolah-olah masih bertambah jauh dari kejayaan, Kerana yang menang dan memerintah sekarang adalah parti yang memperjuangkan kebangsaan dan asobiah sempit."

Teringat aku Ayatullah Taleghani yang dikatakan boleh diterima oleh semua golongan, termasuk puak Islam, nasionalis, liberal dan komunis. Bagaimana pemikirannya, mungkinkah agak sesuai di Malaysia? Agak-agak sama ke dengan pemikiran Dr Mujahid Yusuf Rawa dengan Kelab Penyokong PASnya bagi mendapat sokongan atau undi dari masyarakat berbagai agama?

"Sekarang, kami pun sokong pembangkang!" Kata Haji Mahmud.

"Eh..Kenapa? Bukankah Presiden Ahmadenejad diterima ramai? Dalam Pilihan Raya12 Jun 2009 lalu, Suruhan Pilihan Raya Iran mengesahkan Mahmoud Ahmadinejad menang besar dengan 69 % rakyat Iran mengundi beliau?" Aku tersentak macam terperanjat.

"He is a trickyman!" Jawabnya, mengatakan liciknya Ahmadinejad.

Sambil bercerita, pada hari itu pengundian diadakan bermula jam 8 pagi (11.30 pagi waktu Malaysia) hingga 6 petang. Seramai 46 juta pengundi dari 30 wilayah di Iran, Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menggesa rakyat keluar mengundi dengan % tinggi. Presiden Mahmoud Ahmadinejad ditentang sengit oleh 3 calon lain iaitu bekas Perdana Menteri Iran Mir Hossein Mousavi, Mehdi karroubi dan Mohsen Razaee. Empat calon ini membentuk dua blok aliran pemikiran politik. Ahmadinejad dan Mohsen mewakili Kumpulan Konservatif manakala Moussavi dan Karroubi mengetuai kumpulan Reformis.

"Kami bersetuju dengan Kumpulan Reformis! Kumpulan reformis menjurus kepada polemik setempat seperti pemulihan ekonomi serta kebebasan hak-hak wanita dan kerajaan." Kata Haji Mahmud.

"Mir Hossein berumur 67 tahun. Kami diharap beliau mungkin dapat meredakan ketegangan Iran-Barat. Contohnya berhubung Program Nuklear Iran, dialog dengan Presiden AS berikutan ucapan Barack Obama di Universiti Kaherah memberi inspirasi baru di Iran supaya lebih sederahana. Mir Hossein adalah pejuang kebebasan hak rakyat, utamakan kepentingan negara dan terbuka dengan dunia luar.Beliau mendapat sokongan daripada tokoh berpengaruh Iran, Mohamed Khatami dan cuba membetulkan corak pentadbiran Ahmadinejad yang sehingga kini telah dipinggirkan oleh masyarakat antarabangsa. Khatami semasa menjadi Presiden Iran pernah melawat Washington dan mewujudkan dialog dengan AS." sambungnya.

Patutlah dalam perjalanan saya di Iran kali ini, kami sempat menemu ramah dengan 16 orang rakyat dari segenap lapisan hampir di seluruh Iran, tiada seorangpun yang memuji dan merestui tindak tanduk Presiden Ahmadinejad. Bolehjadi kerana pihak kami hanya mampu menguasai bahasa Inggeris, maka kumpulan yang kami dekati itu adalah bukan kumpulan rakyat majoriti atau penyokong-penyokong mullah atau ayatullah, bahkan kami jumpai golongan sederhana, liberal dan yang mahukan reformis semula selepas revolusi.

Terakhir yang kami temui ialah dengan seorang yang bekerja sebagai penterjemah bahasa Inggeris di Tehran, setelah dia mengecam Ahmadinejad, katanya, "Kalau anda mahu mencari Islam sebenar yang sesuai dengan zaman ekonomi masa kini, ianya tidak ada di Iran, tapi lihatlah di Malaysia!"

Terkejut kami. "Pada saya, inilah kesan dari ucapan seorang PM Malaysia semasa saya berada di London satu masa dulu, bahawa Malaysia adalah negara Islam, kerana mengamalkan 2 jenis perundangan. Satu perundangan sivil dan satu lagi syariah, dengan tidak menerangkan taraf sebenar mahkamah syariah yang jauh lebih rendah dari dari mahkamah sivil. Suatu kenyataan penipuan dari seorang PM!" Kata kawan saya mengulas kenyataan tersebut.

Begitulah kisahku merenung bulan, mengimbas kembali kisah perjuangan parti bulan di Malaysia, yang tidak hanya perlu menunggu kelahiran Islam dalam pemerintahan, bagai 'Bulan Jatuh Ke Riba'.. Akhirnya selepas mengangkat kayu api, aku naik ke anjung rumah itu pula, melihat bulan. Bulan di Iran adalah sama dengan bulan di Malaysia, kerana pemilik dan penciptanya adalah sama!"

Tehran: Kemelut pilihan raya lalu. Gambar Bawah: Presiden Ahmadinejad & Mir Hossein Mousavi

Insya Allah bersambung lagi kisah-kisah perjalanan di Iran.

Catatan Perjalanan Ibnu Hasyim.
e-mail Ibnu Hasyim: ibnuhasyim@gmail.com

Sila lihat Catatan Perjalanan di Iran..

4 comments:

Anonymous said...

Artikel yang sangat mengasyikkan tetapi penuh dengan informasi. Terima kasih Ibnu Hasyim.

Anonymous said...

nak buat mcmana ....org luar npk malaysia bagus tapi org m'sia sendiri hina negara sendiri.

aku pi madinah jumpa org iran pun sama puji melambung negara malaysia, pi mekah lagi laa tok sah nak ckp.

tapi kesian ya, org m'sia sendiri masih tak tau bershukur.

Anonymous said...

syukur lah sebab kita ni org m'sia, perasuah, pembunuh, perogol pun boleh jadi pemimpin, alhamdulillah

Anonymous said...

good artikel...boleh share with us tentang cara hidup,perkahwinan orang iran dan pandangan mereka pada kaum wanita...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails