Wednesday, October 14, 2009

Shahrizat Impikan 3 Perkara..


KUALA LUMPUR Okt 14,2009: Ucapan sulung Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menjadi hangat dan menarik apabila beliau membicarakan tentang isu kepimpinan wanita. Demikian menurut laporan Siti Azira Abd Aziz dari Mstar Online'

Isu tersebut merupakan salah satu daripada tiga isu yang memerlukan perhatian secepat mungkin. Beliau berkata demikian di dalam ucapannya yang bertajuk ‘Regenerasi Masyarakat Malaysia Satu Tekad Wanita’.

Menurutnya, pemimpin wanita seharusnya diberi peranan sebagai pemimpin arus perdana Umno bukan hanya mewakili sayap tertentu. Ini kerana dalam bidang politik, perwakilan wanita di peringkat pembuatan keputusan di semua tahap masih lagi rendah iaitu bawah daripada 30 peratus.

"Pemimpin-pemimpin politik wanita juga perlu mengubah sikap dan tidak melihat diri semata-mata layak memimpin di peringkat sayap wanita sahaja.. Wanita perlu menampilkan kewibawaan kepemimpinan yang menunjukkan wanita layak dan kompeten untuk dilantik memegang jawatan utama dalam parti induk terutama di peringkat negara, cawangan dan bahagian.. Oleh itu, sudah sampai masanya wanita keluar daripada pemikiran sebagai pemimpin ‘sampingan’ wanita Umno sahaja," katanya dengan penuh bersemangat sambil disambut dengan tepukan dan sorakan tanda sokongan para perwakilan.

Selain itu, Shahrizat turut menyatakan impiannya untuk menentukan perjuangan ke arah sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam parti Umno diberi perhatian. "Saya tidak akan gementar untuk melaksanakan impian ini..," ujarnya dan sekali lagi mendapat sokongan para perwakilan.

Isu kedua yang turut menarik perhatian adalah pengupayaan ekonomi wanita di mana beliau menerapkan agar wanita mempunyai ‘dompet sendiri’ agar masing-masing mampu berdikari dan tidak bergantung kepada suami. Justeru, katanya lagi, kaum wanita mesti melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang perniagaan dan keusahawanan yang sangat mencabar.

"Kepada usahawan wanita yang telah berjaya, mereka hendaklah menjadi mentor kepada mereka yang baru menceburi bidang ini.. Ini perlu kerana dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan akan menjadikan mereka lebih kompetitif dan turut mencapai kejayaan," ulasnya lagi.

Berhubung dengan isu ketiga, wanita dan undang-undang syariah pula, Menteri Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga ini mencadangkan pihak-pihak berwajib terutama pihak mahkamah mengambil sikap lebih serius dan prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan kaum wanita dalam melaksana dan menguatkuasakan undang-undang syariah agar hak wanita dilindungi sepenuhnya.

"Masalah pentadbiran seperti perintah mahkamah yang tidak dapat dilaksanakan di negeri lain juga memberi kesan negatif kepada kaum wanita.. Justeru, tibalah masanya bagi kerajaan-kerajaan negeri mempertimbangkan penyeragaman pentadbiran undang-undang keluarga Islam," tegasnya.

Turut hadir ketika mendengar taklimat beliau adalah Pengerusi Tetap, Tan Sri Napsiah Omar, Timbalan Pengerusi Tetap, Saripah Aminah Syed Mohamed, Ahli-ahli Majlis Tertinggi, Datuk Saifudin Abdullah, Datuk Bung Mokhtar Radin, Naib Ketuanya, Datuk Kamilia Ibrahim dan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.

Sebelum itu, Shahrizat turut menyampaikan Anugerah Nadi Negara Wanita Umno 2009 anjuran Pergerakan Wanita Umno Malaysia kepada 11 graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah mempamerkan ciri-ciri kepimpinan sewaktu melayari alam universiti.

Komen Blog Ibnu Hasyim: 3 perkara impian Shahrizat..

Pertama
.. menentukan perjuangan ke arah sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam parti. Umno diberi perhatian.
Kedua
.. turut menarik perhatian adalah pengupayaan ekonomi wanita di mana beliau menerapkan agar wanita mempunyai ‘dompet sendiri’ agar masing-masing mampu berdikari dan tidak bergantung kepada suami.
Ketiga
.. wanita dan undang-undang syariah. Mencadangkan pihak-pihak berwajib terutama pihak mahkamah mengambil sikap lebih serius dan prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan kaum wanita dalam melaksana dan menguatkuasakan undang-undang syariah agar hak wanita dilindungi sepenuhnya.

Kita dengar pula apa kata Rafisah Aziz dan isteri PM..

No comments:

Post a Comment