Tuesday, November 24, 2009

Amah Jadi GRO: Bersihkan Jln Raja Chulan Dari Pusat Maksiat!

Antara GRO warga Filipina yang ditahan dalam operasi di Jalan Raja Chulan, malam semalam.

KUALA LUMPUR: Kesempatan cuti hujung minggu yang diberikan majikan digunakan 14 pembantu rumah warga Filipina untuk menjadi pelayan pelanggan (GRO) merangkap pelacur secara sambilan terutama di kalangan pelancong asing dan lelaki ‘hidung belang’ bagi mencari pendapatan lebih.

Difahamkan, mereka mampu meraih pendapatan antara RM500 hingga RM1,000 semalam hanya menemani pelanggan, termasuk pelancong asing yang bercuti ke negara ini yang ingin berhibur dan mendapatkan khidmat seks.

Bagaimanapun, kegiatan mereka ini terbongkar apabila sepasukan 50 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Putrajaya menyerbu sebuah pusat hiburan di jalan Raja Chulan, malam kelmarin.

Dalam operasi bermula kira-kira jam 7.30 malam itu, seramai 14 wanita Filipina berusia 30 hingga 40-an yang bekerja sebagai pembantu rumah ditahan termasuk seorang daripada mereka mendakwa bekerja di rumah seorang orang kenamaan (VIP) ditahan kerana menyalahgunakan pas kerja mereka dengan menjadi GRO.

Timbalan Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Imigresen Putrajaya, Nik Shahanizam Ahmad, berkata operasi dilakukan berdasarkan risikan hampir sebulan terhadap premis berkenaan selain maklumat awam.

“Pusat hiburan berkenaan dipercayai menjadi antara lokasi kegemaran pembantu rumah warga Filipina berkumpul dan menggunakan pelepasan cuti hujung minggu oleh majikan mereka untuk mencari pendapatan tambahan sebagai GRO.

“Hasil pemeriksaan, kebanyakan wanita ini memasuki negara ini secara sah, malah masing-masing mempunyai permit kerja sebagai pembantu rumah yang sah, namun didapati menyalah gunakan permit sedia ada dengan menjadi GRO,” katanya.

Malah, ketika pemeriksaan, suasana kecoh seketika apabila seorang daripada GRO yang layak dipanggil ‘nenek’ kerana berusia bertindak kasar dan cuba menyerang pegawai penguat kuasa bertugas.

Bagaimanapun, keadaan kembali reda selepas ditenangkan pegawai bertugas dan wanita terbabit terpaksa digari bagi mengelak kembali bertindak agresif.

“Biasanya, pembantu rumah ini akan memberitahu majikan mahu keluar makan atau berhibur bersama rakan mereka. Padahal, majikan tidak mengetahui mereka sebenarnya bekerja separuh masa sebagai GRO, hanya pada malam minggu untuk mencari pendapatan tambahan.

“Selalunya mereka akan berkumpul di kelab malam sekitar Bukit Bintang kerana kawasan itu menjadi tumpuan pelancong atau warga asing yang bekerja di negara ini untuk berhibur pada malam minggu dan mereka ini sanggup berbelanja besar bagi mendapatkan teman sosial atau GRO,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut dan akan didakwa mengikut Seksyen 51 (5) (B) Akta Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan permit kerja dikeluarkan dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan di negara ini.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Sarang-sarang nyamuk maksiat penyebar penyakit jenayah perlu dihapuskan. Kelab-kelab maksiat bertopengkan pusat hiburan, menjadi markas jenayah perlu dihapuskan ke akar-umbi. Contohnya seperti yang berlaku dijalan Raja Chulan ini. Begitu juga di Bukit Bintang, Chow Kit Belakang Mati dan banyak lagi. Nampaknya kerajaan masih sayangkan maksiat, tidak mahu bersihkan.. Jabatan agama buat apa? Tak diberi kuasa? Ulama kerajaan jadi kuda tunggangan pemerintah sekular? (Sumber: MyMetro/2MA)

1 comment:

mr edz said...

tutup semua pusat hiburan..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails