Nov4, 2009 -KERAJAAN Kelantan sedang mengkaji kemungkinan membatalkan perjanjian menyerahkan hak cari gali kepada Petronas jika royalti petroleum tidak diberikan, kata exco ekonomi dan kewangannya. Mengulas kenyataan Perdana Menteri untuk menyerahkan wang ehsan kepada Kelantan, Datuk Husam Musa berkata isu membatalkan perjanjian itu akan dikaji oleh panel peguam yang dilantik kerajaan negeri.
Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini sebagai reaksi segera Kelantan terhadap pengumuman Datuk Seri Najib Razak di Parlimen pagi ini.
Dalam satu kenyataannya, Husam turut mempertikaikan penggunaan istilah "wang ehsan" sebagai bentuk bayaran kepada Kelantan, sedangkan "bayaran royalti" digunakan untuk bayaran di Terengganu, Sabah dan Sarawak.
"Nyata asas yang disebut oleh perdana menteri mengenai (kedudukan lokasi cari gali di luar pesisiran pantai sejauh) 3 batu nautikal adalah tidak berasas bagi kes-kes Sabah, Sarawak dan Terengganu," katanya lagi.
"Ia sengaja digunakan untuk mendiskriminasikan kerajaan dan rakyat Kelantan."
Sehubungan itu, kata Husam, kerajaan negeri mahu wang ehsan dibayar terus kepada Kelantan dan sebuah badan penyelaras ditubuhkan yang turut dianggotai wakil kerajaan pusat untuk memantau penggunaan wang tersebut.
"Sekali lagi kami berharap perdana menteri berfikir semula dan mengambil kira tuntutan ini atas prinsip kesaksamaan, kedaulatan wilayah dan semangat federalisme yang utuh serta penghormatan perjanjian yang termaktub demi kesejahteraan dan keharmonian negara malaysia," katanya.
Mengenai penubuhan panel guaman tersebut, Husam berkata, antara isu yang dicadang dipertimbangkan oleh panel guaman ini ialah:
1. Kemungkinan mengambil tindakan mahkamah membatalkan perjanjian penyerahan hak kepada Petronas untuk mencari gali dan mengeluarkan sumber petroleum dan lautan negeri Kelantan 1975 jika sekiranya tuntutan royalti minyak tidak dipatuhi.
2. Kemungkinan untuk kerajaan negeri mengambil tindakan mahkamah di luar negara termasuk perintah injunksi menghentikan pengeluaran di JDA (Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand) dan CAA (Kawasan Pengurusan Komersial Malaysia-Vietnam) yang melibatkan entiti dan syarikat antabangsa.
"Walau bagaimanapun, keputusan muktamad akan ditentukan kemudian selepas pandangan daripada panel guaman tersebut," kata Husam lagi.
Dalam kenyataan itu juga, beliau turut mempersoalkan mengapa wang ehsan harus diurus oleh kerajaan pusat
"Pengumuman perdana menteri bahawa Kelantan hanya layak menerima 'wang ehsan' dan bukannya royalti dan wang ini pula akan diuruskan oleh kerajaan pusat, adalah satu keputusan politik.
"Ia membelakangkan semangat federalisme, kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap perjanjian dan menekankan kepentingan politik semata-mata," katanya.
Di samping itu, tambahnya, keberkesanan pengurusan oleh kerajaan pusat juga boleh dipertikaikan.
"Sebagai bukti, dengan jumlah royalti yang besar untuk Terengganu bagi tempoh 20 tahun lalu, masih gagal membanteras kadar kemiskinan yang kekal tinggi di Terengganu," kata Husam.
"Kerajaan negeri tidak (dapat) menerima bayaran wang ehsan yang diumumkan hari ini bagi menggantikan bayaran wang royalti minyak kepada Kelantan," katanya dalam laporan Bernama.
Bagaimanapun, tambahnya, kerajaan negeri menganggap pemberian wang ehsan itu satu langkah pertama hasil inisiatifnya dalam tuntutan royalti minyak.
Menurutnya, kerajaan negeri akan terus mengadakan rundingan dengan kerajaan pusat berhubung tuntutan royalti itu.
Kelantan sebelum ini telah mengemukakan surat rasmi kepada kerajaan pusat bagi menuntut bayaran royalti minyak berjumlah RM1 bilion sejak 2004 berdasarkan laporan Jabatan Statistik, (Sumber Malaysiakini/AK)
NAJIB adalah balaci Maddey.
ReplyDeleteTeknik dan taktik Maddey digunakan diulangtayang untuk tontonan generasi SATUMalaysia.
Setelah didendangkan dengan tarian dan nyanyian lawak bodoh. generasi SatuMalaysia ini akan diperbodohkan demi projek dengan bintang Hollywood atau siapa saja dari negeri Maharastra dan Kerala.
Tunggu.
tayangan baru akan disiarkan selaps Januari nanti.
lebih menarik dan lebih sensasi.
Bila Tokeh Karpet akan menjadi penasihat ekonomi dalam selok belok SatuMalaysia!
mamak bendahara kini mula menjelma dalam wajah baru.