Monday, November 02, 2009

Blog, Termasuk Dalam Plan Kemenangan -Husam Musa

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Exco Kelantan, Datuk Husam Musa mencadangkan suatu plan kemenangan Pakatan Rakyat dibentangkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat peringkat nasional pada 12 Disember depan.

Cadangan itu diperlukan demi memastikan Pakatan benar-benar bersedia menggantikan Umno dan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak. "Konvensyen ini akan bermakna jika suatu plan khusus merangka kemenangan Pakatan (dan) PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13 kelak dibuat sekarang," jelas Husam ketika ditemuramah di luar Pejabat Agong PAS, di sini.

"Kita perlu buktikan yang kita bersedia...ada perancangan dan komitmen bersama (dalam) setiap parti (PAS, PKR dan DAP) agar rakyat lebih yakin dengan kemampuan kita...(untuk) menggantikan Umno BN kelak."

Beliau yang juga AJK PAS Pusat menjelaskan plan kemenangan itu perlu merangkumi soal persiapan jentera secara profesional dan soal pembangunan media baru. "Kesungguhan PAS dan Pakatan mesti diterjemahkan...dengan wujudkan sekretariat di semua peringkat...untuk jelaskan plan ini dan latih jentera hingga profesional," jelasnya. "Kalau perlu diwujudkan pasukan media baru seperti blog atau satu akhbar khusus untuk kemenangan Pakatan dalam PRU depan, maka konvensyen ini perlu meluluskan suatu bajet khusus (dan) secara serius."

Beliau yang juga AJK PAS Pusat dan Adun Salor, Kelantan mencadangkan suatu kajian lapangan dilancarkan untuk mengenal pasti mood sebenar rakyat. "Kalau boleh, lancarkan suatu kajian lapangan khusus untuk lihat apa kemahuan rakyat dan apa yang perlu PAS dan Pakatan ubah supaya rakyat tertarik serta pastikan menyokong kita, (Pakatan)."

Beliau turut mencadangkan beberapa badan penyelidikan seperti Ilham Center, Pengajian Zentrum (Universiti Malaya) dan Merdeka Center untuk mendapatkan persepsi sebenar rakyat terhadap para wakil rakyat Pakatan. "Banyak (badang penyidikan)...seperti Ilham, Zentrum, Merdeka Center...kerana mereka boleh bantu beri persepsi dan penilaian sebenar rakyat pada kita (Pakatan) (selama) sepenggal memerintah (kerajaan) negeri dan jadi wakil (rakyat) di Parlimen," katanya.

Tambahnya lagi, plan kemenangan itu adalah sesuatu yang selari dengan perintah Allah dalam al-Quran. "(Plan kemenangan) ini disebut wa 'a'iddullahum (dan persiapkanlah)...Allah dalam Surah al-Anfal ayat 60 suruh kita siapkan segalanya," tegasnya lagi.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan persiapkanlah (diri kamu dalam) menghadapi mereka (dengan) apa (sahaja) yang kamu mampu dari (bentuk-bentuk) kekuatan, dan dari kuda yang disiap siaga. Dan dengan kekuatan itu, kamu menakutkan musuh Allah dan musuh kamu."

Ditanya tentang usaha mendaftarkan PR sebagai pertubuhan berdaftar, Husam menjelaskan bahawa kepimpinan PAS sekarang lebih layak menjawab soalan tersebut. Pun begitu, beliau menyokong pendirian Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang, iaitu mahu PAS bersama-sama PKR dan DAP demi mengukuhkan PR.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS akan mengadakan Seminar Memperkasa PAS pada 7 November ini. Seminar itu menurut Abdul Hadi, menggantikan Muktamar Luar Biasa (EGM) seperti yang dicadangkan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sebelum ini.

Menurut Hadi lagi, seminar itu juga bertujuan memperkukuh muafakat PAS bersama-sama PKR dan DAP dalam PR. Usaha pengukuhan itu sekaligus menolak sebarang bentuk persefahan politik lagi antara PAS dan Umno, seperti sebelumnya.

Sekiranya perbentangan Plan Kemenangan Pakatan Rakyat yang dicadangkan itu dilaksanakan, PR bukan sahaja kian kukuh, malah rakyat kian yakin bahawa PR bersedia menggantikan kerajaan yang sedia ada kelak.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Blog-blog sila ambil perhatian, bersiaplah untuk bertarung. (Sumber: Harakah)

No comments:

Post a Comment