Monday, November 30, 2009

Hidup Begini Pun Ada Dalam Negara Makmur, Kaya....

GAMBAR ini diambil dari MyMetro hari ini. Kisah di Johor Bahru. Disebabkan kedaifan hidup, sepasang suami isteri mualaf yang mempunyai 12 anak terpaksa bergantung pada sumber air parit dicemari sisa baja dan bangkai untuk kegunaan seharian, termasuk membancuh susu bayi mereka yang baru berusia sebulan. Akibatnya, 14 beranak itu kini digelar ‘keluarga jijik’ oleh segelintir penduduk di sekitar penempatan setinggan Kampung Sungai Plentong di sini.

Ketua keluarga berkenaan, Mohamad Jeeva Abdullah, 43, berkata meskipun menyedari penggunaan air parit boleh memudaratkan kesihatan dirinya dan anak-anak, keluarganya tidak mempunyai pilihan kerana tidak berkemampuan mendapatkan bekalan air bersih dari luar. Dia dan isterinya, Salmah Abdullah, 40, serta anak-anak sudah lali dengan keadaan ini kerana hanya air parit dan air hujan saja boleh diperoleh secara percuma.

Mohamad Jeeva memeluk Islam sembilan tahun lalu manakala hati Salmah terbuka untuk menerima agama Islam pada Oktober lalu. Menyingkap sejarah hidupnya memeluk Islam, Jeeva berkata, dia ingin mencari kebenaran dan petunjuk dalam hidupnya. Menurutnya, dia dan isterinya tabah menghadapi pelbagai dugaan termasuk bagi menyara kehidupan 12 cahaya mata termasuk anak ketiga mengalami masalah lembam.

Pasangan berkenaan dikurniakan tujuh anak perempuan dan lima lelaki termasuk Raju, 16, Shalini, 11, Sarla, 11, Sakti, 9, Visali, 9, Tavita, 8, Roja, 7, Deevankumar, 6, Uganindran, 4, Priya, 2, Selvakumar, berusia setahun dan Arvind, bayi berusia sebulan. Akibat kesempitan hidup, Jeeva berkata, dua daripada cahaya matanya terpaksa menumpang di kediaman saudara-mara bagi memudahkan mereka ke sekolah memandangkan dia tidak dapat menghantar mereka kerana tidak berkemampuan memperbaharui cukai jalan dan insurans motosikalnya.

Sementara itu, Salmah berkata, dia yang memeluk Islam sehari sebelum melahirkan anak bongsunya juga berhajat mengislamkan semua anaknya dengan secepat mungkin. Bagaimanapun, katanya dia sekeluarga menghadapi kesulitan hendak ke pejabat agama di pusat bandar raya bagi menyelesaikan urusan kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk tambang pengangkutan awam ke sana.

“Saya boleh mengucap kalimah syahadah dan begitu juga dengan anak-anak yang tidak sabar menjalani kehidupan sebagai umat Islam.

“Kami berharap pihak berkuasa menyediakan bimbingan dan panduan agama selain sayangi kami sebagai saudara Islam.

“Kami berharap mampu menjalani kehidupan yang lebih bermakna pada tahun depan di mana anak-anak turut menunjukkan minat bagi mengikuti kelas Fardu Ain secepat mungkin,” katanya sambil menunjukkan sijil perakuan Islamnya yang dikeluarkan pihak berkuasa agama Islam negeri. Berita penuhnya boleh lihat di MyMetro.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Dalam negeri yang kononnya kaya, makmur, membangun, dan mengaku negara Islam pun masih ada kehidupan rakyatnya begini. Tidak ingatkah kita kepada sabda Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Hakim yang bermaksud "Bukanlah orang Mukmin yang tidur kekenyangan sedang jiran di sebelahnya tidur kelaparan".

Bukan Mukmin kalau ia tidur kenyang, mewah dalam istana dan singgahsana, bazir duit sana sini, sedang jiran se negeri atau se nagaranya masih dalam kemiskinan dan kelaparan. Bayangkan nilai jumlah perbelanjaan sebuah keluarga miskin, masih belum sama dengan perbelajaan makan se ekor anjing mainan milik orang kaya.. (2MA)

Ada kaitan...

'American Dream': Rakyat Jadi Pelarian Di Bumi Sendiri.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails