Thursday, November 19, 2009

Kes Haji Tok Guru: 19 Tahun Jadi MB, Tidak Kaut Kekayaan Diri.

by Asyok Kumar.

NOV 19 2009. Isu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebenarnya perlu ditangani dengan baik, supaya jelas kedudukan yang sebenarnya. Umpamanya, apabila meletup kes ini, rakyat awam perlu diberitahu bagaimana telusnya kehidupan Tok Guru, 19 tahun jadi Menteri Besar tidak mengaut kekayaan semahu-mahu macam pemimpin lain, apa lagi pemimpin-pemimpin parti pemerintah di negara ini.

Demikian dinyatakan oleh editor Blog Ibnu Hasyim, Dr Hj Mohd Hasyim ketika diminta mengulas keputusan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membatalkan hasrat mengerjakan haji ke Makkah tahun ini yang dianggap Menteri di JPM, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz boleh menyelesaikan isu, dan menyetujui MB Kelantan itu sebagai bukan seorang perasuah.

"Isu ini sepatutnya perlu ditangani dengan baik. Takrif rasuah sebenarnya perlu dipaparkan ke tengah masyarakat, dan perlu dibetulkan supaya sesuai menurut kehendak agama Islam." Kata Dr Hj Mohd.

Ditanya apakah takrif rasuah meneurut Islam, Hj Mohd menjelaskan, di dalam kitab ‘Riadhus Sholihin’ (Fasal 1 .Haram berlaku zalim dan perintah mengembalikan hak orang’, hadis no 7) dinukilkan sebuah hadis Abu Humaid (Abdurrahman) bin Saad Assaidy RA berkata…Rasulullah mengangkat seseorang (jadi pegawai) untuk kumpulkan zakat. Namanya Ibnu Allutbiyah dari suku Al’azd. Setelah beliau kembali dari bertugas bertemu Rasulullah (dan serahkan apa yang patut) katanya, “Yang ini untuk kamu (kerajaan pimpinan Rasulullah) dan yang ini saya dapat hadiah dari orang-orang itu!”

Maka Rasululah SAW cepat-cepat naik atas mimbar, setelah memuji syukur kepada Allah kata beliau, “Amma ba’du, adapun saya mengangkat seseorang untuk satu tugas yang diberikan Allah kepada saya, lepas itu dia datang dan berkata, ini bahagianmu dan yang ini saya sendiri dapat dari orang-orang (yang dikutip itu)! Mengapa dia tidak duduk saja di rumah ibubapanya hingga datang hadiah itu kepadanya kalau benar-benar demikian (yakni kalau benar-benar orang-orang itu hendak memberi kepadanya bukan kerana tugasnya ke sana sebagai pemungut wang zakat, duduk di rumah pun dapat juga)? Demi Allah, tiada seseorang yang mengambil sesuatu yang bukan haknya, pasti akan dipikulnya di hari kiamat. Akan saya tahu juga seseorang yang memikul unta, lembu atau kambing yang mengembek. (yakni orang itu tidak lepas dari tanggungjawab dan dihisab di akhirat).”

Dalam kes Tok Guru Nik Aziz ini, kata Hj Mohd, "Kalau Tok Guru tak jadi MB pun, hadiah pakej haji itu datang juga kepada beliau, maka layaklah beliau terima! Memang ramai pun Tok-tok Guru pondok dulu yang dihadiahkan pakej pergi haji.. "

Menurut beliau lagi, "Tetapi yang penting sangat ialah isu ini mendedahkan ketelusan dalam kehidupan Tok Guru. Seolah-olah suatu cadangan dan pandangan kepada pemimpin-pemimpin negara, termasuk PR sendiri. Bukan sahaja kepada BN dan PR, tetapi juga kepada mereka yang bernaung di bawah ketiak PAS. Mereka yang menumpang tuah pemimpin-pemimpinnya hidup sederhana macam Tok Guru, tetapi mereka memiliki cara hidup sebaliknya.

"Pada saya, sepatutnya pemimpin parti Islam pembawa amanah Rasul, kewangan mereka pun perlu telus kepada parti atau rakyat yang mengundi dan menaikkan mereka. Supaya rakyat tahu cara hidup pemimpin mereka. Orang bukan Islam pun akan kagum dengan kehebatan agama Islam dalam menjaga amanah rakyat secara bersungguh-sungguh. Sejarah sahabat-sahabat Nabi seperti Khalifah Ar-rasyidin ada contohnya.

"Rakyat juga ingin tahu ke mana mereka yang berpendapatan tinggi menghabiskan duitnya. Dari mana mereka dapat wang itu, di mana mereka membayar zakat dan sedeqahnya? Semuanya baik dijelaskan untuk menunjukkan kepimpinan yang bersih. Apalagi kalau mereka adalah pemimpin yang dermawan, sebagai suatu panduan yang sihat." Kata beliau yang juga Presiden Grup Universiti Ulu Kalang, selangor. (AK)

Rujukan, sila klik tulisan lalu...

No comments:

Post a Comment