Thursday, November 12, 2009

Kes Norza: SPRM Dera Saksi?


Utusan Online: Saksi kes Norza dakwa didera pegawai SPRM

TEMERLOH 11 Nov. - Seorang saksi perbicaraan kes rasuah membabitkan Datuk Mohamad Norza Zakaria dan ejennya, Halimi Kamaruzzaman mendakwa dia terpaksa memberi keterangan palsu kerana tidak tahan didera secara fizikal dan mental.

Mohd. Taupik Hussain berkata, dia merasa cukup trauma sehingga mendorong memberi keterangan palsu kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuantan yang menyoal siasatnya pada 23 Januari lalu.

Ahli perniagaan berusia 39 tahun itu berkata demikian semasa disoal oleh peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah pada prosiding mencabar kebolehpercayaannya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azuar Che Yusof hari ini.

Menjawab soalan peguam bela yang mewakili Mohamad Norza itu, Mohd. Taupik memberitahu, dia dibawa ke pejabat SPRM Kuantan pada 22 Januari lalu ke sebuah bilik dan diarahkan menanggalkan pakaian kecuali seluar dalam.

Dia mendakwa telah diarah melakukan ketuk ketampi, tekan-tubi dan berguling-guling di atas lantai selain kepalanya turut diketuk dengan kasutnya oleh tiga pegawai terbabit mulai kira-kira pukul 5 petang.

''Paha saya disepak dan pinggul saya dipijak sambil mereka bertanya soalan yang sama berulang kali sama ada saya ada berjumpa dengan Datuk Norza dan menerima sampul surat daripada beliau.

''Proses penderaan berkenaan berlarutan sehingga pukul 11 malam sebelum saya diarahkan untuk menandatangani surat Orang Kena Tahan, sebelas minit selepas itu,'' dakwanya.

Keesokan harinya, dia mendakwa dibawa semula ke pejabat yang sama pada pukul 11 pagi sebelum keterangannya tidak bertemu dan menerima sampul surat daripada Mohamad Norza diambil.

Katanya, kira-kira enam jam kemudian, dia dibawa semula ke bilik soal siasat dan kali ini dia dihina serta diugut oleh empat pegawai SPRM.

''Mereka mengugut akan mengeluarkan waran tangkap untuk menahan saya dalam masa tujuh hari lagi sekiranya saya tidak mahu bekerjasama,'' kata Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju itu.

Akibat tidak tahan dan berasa tertekan dengan penderaan serta ugutan, Mohd. Taupik mendakwa, dia terpaksa membuat kenyataan palsu bahawa dia menemui dan menerima kira-kira 20 keping sampul surat putih.

Dia mendakwa menerima sampul surat itu yang diikat dengan getah daripada Mohamad Norza di tepi jalan berhampiran Mont Kiara pada pukul 8 malam, 19 Januari lalu.

Mohamad Norza, 43, iaitu bekas anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung UMNO Mac lepas.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu juga dituduh memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Mohd. Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan di No. 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh pada 6.30 petang, 20 Januari lalu.

Halimi, 47, pula dituduh memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar pada tarikh dan tempat yang sama.

Dalam keterangannya, Mohd. Taupik turut memberitahu, dia terpaksa mereka-reka cerita dalam kenyataan kedua kepada SPRM selain masih merasa malu, sedih dan takut dengan penderaan pegawai-pegawai berkenaan.

Menjawab soalan lain Muhammad Shafee, Mohd. Taupik menyatakan dia masih menyimpan kasut yang digunakan untuk mengetuk kepalanya oleh pegawai SPRM.

''Ya, saya masih menyimpannya dan mahu jadikan ia sebagai kenangan,'' katanya sambil mengeluarkan sepasang kasut warna hitam dari sebuah beg.

Perbicaraan bersambung esok. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails