Saturday, November 28, 2009

Strategi UMNO/BN Rampas Kembali S'ngor Terus Berjalan.

Oleh Lee Ban Chen

Benarkah DAP Hina Islam?


KEMPEN media aliran perdana untuk memburuk-burukkan DAP sebagai parti anti-Islam telah berhasil buat sementara.

Sekurang-kurangnya polis mengambil keputusan untuk memanggil Ketua Pemuda DAP Loke Siew Fook dan ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi untuk disiasat bawah Akta Hasutan 1948.

Perkembangan terbaru ini tindakan susulan selepas Perdana Menteri Najib Razak meminta pihak berkuasa menyiasat kes-kes terbabit akibat desakan agar Akta Hasutan atau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan terhadap pemimpin-pemimpin DAP terbabit, yang kononnya menghina Islam.

Rasanya kempen ini bukan insiden terpencil terhadap DAP semata-mata, ia mungkin sebahagian strategi Umno/BN yang lebih besar, bertujuan untuk merampas kembali kuasa pemerintahan di Selangor.

Anwar Ibrahim memberi amaran tentang konspirasi Umno/BN tersebut, dan Najib sendiri juga tidak sembunyikan agendanya hendak merampas kembali kuasa pemerintahan negeri tersebut daripada Pakatan Rakyat.

DAP dituduh sebagai anti-Islam, pada masa yang sama Anwar dituduh sebagai pengkhianat bangsa dan agama, dan PAS sebaliknya dipelawa untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bersama Umno, taktik-taktik ini berpusat pada strategi yang sama.

Iaitu mengadudomba PAS dengan DAP dan PKR bawah slogan menyatupaduan Melayu dan penganut Islam, agar Pakatan Rakyat berpecah-belah dan kuasa pemerintahan Selangor boleh dirampas seperti yang berlaku kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Mari kita meneliti kes-kes dakwaan menghina Islam secara lebih perinci. Kes pertama, Jeff Ooi yang disiasat bawah Akta Hasutan padahal beliau hanya menyifatkan Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebagai pertubuhan ekstremis, dan beliau telah menarik balik ulasan terbabit atas arahan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Sama ada JIM pertubuhan ekstremis atau tidak terpulanglah kepada tanggapan masing-masing. Yang penting, kita harus bersikap liberal dan menghormati kebebasan bersuara setiap rakyat Malaysia membuat kritikan dan kritikan balas.

Tidak dapat dinafikan bahawa kritik-mengkritik atau berdebat secara rasional dan membina menjadi amalan lumrah dalam sesebuah demokrasi yang matang. Mendesak agar Akta Hasutan atau ISA digunakan untuk menindas kebebasan bersuara jelas sekali bertentangan dengan semangat demokrasi, tidak kira dengan apa alasannya.

Ketika insiden desakan gabungan NGO Cina, Suqiu, pada 2001, pimpinan Dong Jiao Zong (DJZ) pernah dicap oleh perdana menteri masa itu, Dr Mahathir Mohamad sebagai "komunis dan al Maunah". DJZ terpaksa mempertahankan pimpinannya melalui sanggahan dan perdebatan menurut amalan demokrasi.

Dalam peristiwa kafir-mengkafir antara PAS dan Umno, yang diuji ialah dakwah dan ajaran Islam yang lebih sempurna, bukan kekuatan Akta Hasutan atau ISA.

Malah apabila cadangan Nik Aziz Nik Mat agar Kelantan PAS bekerjasama dengan kerajaan persekutuan BN diputarbelitkan sebagai hasrat PAS ingin bekerjasama dengan Umno, tok guru begitu marah sekali sehingga menengking: Pergi jahanamlah Umno!

Namun, tiada pihak yang menganggap kenyataannya itu sebagai menghina Melayu atau Islam, dan mendesak agar tok guru didakwa bawah Akta Hasutan atau diambil tindakan ISA.

Logiknya mudah saja: mengkritik Umno tidak boleh disamakan dengan mengkritik orang Melayu atau Islam; justeru, mengkritik JIM atau ahlinya juga tidak boleh disamakan dengan mengkritik Islam.

Sekalipun pertubuhan Islam berasa terhina, ia juga tidak boleh disamakan dengan Islam pada keseluruhannya telah dihina!

Lantaran itu, jika Ooi menyifatkan JIM sebagai pertubuhan ekstremis, maka terserahlah kepada JIM untuk respons. Oleh kerana JIM tidak sama dengan Islam, maka tidaklah logik jika ulasan itu diperbesar-besarkan dan disamakan dengan Islam telah dihina, lalu didesak agar Akta Hasutan atau ISA diambil terhadap Ooi.

Dalam kes exco kerajaan Selangor Ronnie Liu daripada DAP dituduh sebagai campur tangan dalam tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang merampas minuman keras di kedai 7-11 di Seksyen 8, Shah Alam, penjelasan Liu juga perlu diambil kira.

Menurut Liu, penjualan bir yang kandungan alkoholnya kurang daripada 8.8 peratus, mengikut Akta Eksais 1976 yang digunapakai sekarang, tidak memerlukan lesen.

Ia bermakna serbuan dan rampasan bir oleh MBSA sebenarnya salah di sisi undang-undang yang dikuatkuasakan sekarang, dan kesalahan ini telah diakui oleh pihak berkuasa yang terbabit.

Sebagai ahli exco yang bertanggungjawab untuk menyelia portfolio terbabit, Liu padahal hanya menjalankan tugasnya untuk membetulkan tindakan yang salah di sisi undang-undang, supaya bir yang dirampas itu dipulangkan kepada pemilik kedai terbabit.

Dalam hubungan ini, Liu tentu tidak boleh dituduh sebagai menghina Islam.

Yang menghairankan, inisiatif untuk membelasah Liu secara terbuka bukan datangnya daripada Umno atau BN, tetapi seorang lagi exco Selangor merangkap pesuruhjaya PAS negeri Dr Hasan Ali. Nampaknya kes ini mungkin ada udang di sebalik balik batu!

Kes ketiga yang lebih menggemparkan berkaitan dengan ahli parlimen Rasah dan ketua Pemuda DAP Anthony Loke Siew Fook. Beliau dituduh menulis beberapa artikel menghina Islam dan juga Sultan Perak serta Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

Antara lain, ahli parlimen Kulim, Zulkifli Noordin, membelasah laman sjsandteam.wordpress.com yang memuatkan kenyataan akhbar Loke dan kemudiannya menyiarkan komen, yang menurut pemimpin PKR itu, menghina agama Islam dengan bahasa kesat, lucah, biadab dan melampau terhadap Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Loke mengaku beliau mengeluarkan kenyataan akhbar yang bertajuk "Ridhuan Tee harus minta maaf daripada keluarga Teoh Beng Hock" untuk mengecam penulis kolum itu kerana membuat "ulasan yang kejam dan tanpa hati perut berkaitan isu bayi Teoh yang belum dilahirkan" dan "menyeru agar Dr Mohd Ridhuan segara meminta maaf daripada keluarga Teoh, China Press dan Nanyang Siang Pau".

Namun beliau menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan pemunya laman web yang tidak bertanggungjawab serta komen-komen terbabit.

Dalam laman Rocky's Bru, "artikel asal" yang didakwa ditulis oleh Loke telah disiar semula, sekali lagi tanpa pengesahan dengan Loke (sama ada beliau penulisnya seperti yang didakwa).

Maka terletuslah hamburan sumpah seranah dan caci maki rasisme yang amat melampau sekali, lantas menjadi perdebatan dan konfrontasi aneka jurusan (sudah lebih 200 komen pada saat ini) antara mereka yang berbeza latar belakang ideologi dan politik, dan terbahagi menjadi dua kumpulan besar, iaitu pro-Umno dan anti-Umno.

Dalam surat kepada Rocky, Loke dengan sekeras-kerasnya menafikan beliau pernah menulis artikel menghina Sultan Perak dan Raja Nazrin seperti dituduh.

Tambahnya, beliau tidak tahu-menahu tentang laman web sjsandteam.wordpress.com sebelum ini. Satu-satunya blog miliknya lokesiewfook.blogspot.com.

"Saya tidak pernah menulis sebarang artikel untuk menghina keluarga diraja, Melayu atau Islam di sepanjang hayat saya. Ada usaha hendak menfitnah Pemuda DAP dan saya dengan sebaran penipuan bahawa kami ini anti-Islam dan anti-keluarga diraja.

"Saya tidak tahu gerangan siapakah yang mengendalikan laman web terbabit, saya tiada sebarang hubungan dengannya.

Sebagai seorang pengendali laman web yang bertanggungjawab, menjadi harapan saya kamu membuat pengesahan mengenai faktanya sebelum membuat sebarang dugaan.

"Saya akan membuat aduan polis hari ini untuk menafikan saya yang menulis artikel terbabit, dan saya harap kamu akan siarkan penjelasan saya untuk menjernihkan suasana. Terima kasih," kata Loke seperti diterbitkan di Rocky's Bru.

Rocky sudah menyiarkan surat Loke dalam lamannya seperti yang diminta dan Loke juga telah membuat aduan polis di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi untuk menafikan beliau pernah menulis artikel untuk menghina Islam, Sultan Perak dan Raja Nazrin seperti yang dituduh.

Kini, Loke dan Ooi sedang disiasat polis bawah Akta Hasutan. Moga-moga keadilan akan tercapai akhirnya. (Malaysiakini)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails