Yusuf Islam berwajah baru?
YUSUF ISLAM, penyanyi yang popular dengan nama Cat Stevens, kini kembali mengadakan konsert. Tetapi, kemunculan semula Yusuf berbeza dengan zaman kemuncaknya pada 1960-an dan awal 1970-an yang menyaksikan dia berpakaian baju denim ketat dan kalung manik.
Yusuf yang membuat persembahan di Dublin semalam, kali pertama sejak berhenti menyanyi di atas pentas selepas memeluk Islam pada 1977, muncul dengan berpakaian gedoboh dan berjambang lebat. Ketika era kemuncaknya, Yusuf bersaing dengan The Beatles, Jimi Hendrix dan kumpulan pasangan kembar, Paul dan Barry Ryan. Jualan albumnya mencatatkan jutaan keping dan banyak lagunya, termasuk Wild World, The First Cut Is The Deepest, Father And Son dan sebagainya dirakam oleh artis lain.
Kegemilangan muzik pada awal 1970-an menyaksikan ramai pemuzik menjelajah untuk mencari kebenaran bagi mengisi kekosongan jiwa. George Harrison memeluk agama Buddha. Jeremy Spencer daripada kumpulan Fleetwood Mac menyertai ajaran Children of God. Jim Morrison didakwa menjadi tukang sihir. Dan Cat Stevens yang nama asalnya dan anak kelahiran London, . beralih kepada Islam selepas mendapat hidayah ketika hampir lemas ekoran satu kemalangan.
"Tiga puluh tiga tahun adalah tempoh yang lama dan saya tidak pernah terbayang akan membuat persembahan di atas pentas sekali lagi," kata Yusuf yang kini berusia 61 tahun.
Selain Dublin, dia akan membuat persembahan di Birmingham (23 November), Liverpool (5 Disember) dan Royal Albert Hall di London (8 Disember) dengan lagu baru dan lama yang disatukan dalam muzikal yang digelarnya Moonshadow.
"Dengan Moonshadow, dia menyatukan lagu lama dan baru menjadi satu cerita menarik mengenai budak bernama Stormy. Ia berkenaan perjalanan hidup, tema yang menjadi kemahiran Yusuf," kata promoter veteran, Harvey Glodsmith yang menguruskan projek persembahan itu.
Namun, perjalanan hidup sebenar Yusuf jauh lebih menarik. Dia yang terbabit dalam cinta bebas zaman hippi, kini tidak selesa jika ada wanita yang menyentuhnya. Walaupun sekian lama meninggalkan dunia selebriti, Yusuf mendapati dirinya menjadi tajuk akhbar apabila dia tidak dibenarkan menjejakkan kaki di Amerika Syarikat pada 2004 selepas namanya muncul dalam senarai yang disediakan FBI, kononnya untuk menghapuskan pengganas.
Dia disyaki menyokong badan kebajikan yang didakwa menyalurkan bantuan kewangan kepada kumpulan pengganas, tuduhan yang dinafikannya. Bagaimanapun, dia dulu pernah dengan lantang dan terbuka membahaskan isu besar politik dan menyokong hukuman paling berat terhadap mereka yang menghina Islam. Pernah dia berkata dalam satu wawancara televisyen, dia lebih suka melihat Salman Rushdie dibakar daripada melihat orang membakar patung penulis itu.
Kini, dia lebih bersikap berdiam diri mengenai isu seumpama itu, sebaliknya sering bercakap mengenai perlunya menentang keganasan. Meskipun wujud salah faham akibat keputusannya memeluk Islam, penyanyi itu berkata, hidup di luar dunia pop memberikannya pengalaman baru yang mungkin tidak dapat dirasainya. jika berterusan menjadi penyanyi.
"Penulis menulis menerusi pengalamannya. Dengan lebih banyak pengalaman, lebih banyak yang anda dapat menulis. Saya merasakan, itu antara hadiah terbaik untuk selama 33 tahun kerana ia memberi lebih banyak masa kepada saya untuk membuat lebih banyak perkara daripada menjadi penyanyi sepanjang tempoh itu," katanya.
Penerbitan album Roadsinger awal tahun ini disambut baik sesetengan pihak yang menganggapnya sebagai tanda kemunculan semula Yusuf Islam dalam dunia muzik. Menurut Yusuf, dia mahu membuat perubahan dengan lagu barunya. Dengan kepercayaan bahawa banyak lagu lamanya mengandungi mesej moral yang kuat, dia berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan kemunculan semulanya di pentas satu acara yang akan diingati penonton.
Konsert di Dublin semalam menyaksikan Yusuf bermain gitar akuistik diiringi kugiran pada babak pertama, diikuri dengan muzikal barunya, Moonshadow yang turut menyelitkan lagu popular ketika dia menjadi Cat Stevens, seperti Wild World dan Morning Has Broken.
Komen Ibnu Hasyim: Begitulah indahnya Islam, jika dilaksanakan dengan kefahaman yang betul, bernyanyi pun dikira sebagai amal kebajikan. Menghibur, sedangkan diri sendiri pun terhibur dengan janji Allah. Kini naik pentas sebagai artis berwajah baru. Allahu Akbar!.(Sumbar MyMetro dll/2MA.)
No comments:
Post a Comment