Saturday, December 19, 2009

4 Teras PR, Nik Aziz Dijangka Buat Ucapan Rumusan.

By ASYOK KUMAR


SHAH ALAM, Dis 19, 09. EMPAT teras pegangan Pakatan Rakyat telah dirangka bagi menghayati dan melaksanakan agenda politik baru Malaysia dengan menggembleng rakyat pelbagai kaum menjelang pilihan raya umum akan datang.

Dasar itu ialah:

  • Demokrasi Telus dan Tulen,
  • Memacu Pertumbuhan Ekonomi Makmur, Lestari dan Adil,
  • Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan dan Hubungan Persekutuan-Negeri dan
  • Dasar Luar Negara.

Pakatan Rakyat (PR) mengadakan konvensyen sulungnya antara negeri yang diterajuinya, di Selangor hari ini. Kira-kira 20 bulan selepas ditubuhkan hasil keputusan pilihan raya umum ke-12. Pertemuan pertama bakal menyaksikan pembentangan Dasar Pakatan Rakyat yang terdiri daripada empat pegangan teras, digubal sedemikian rupa untuk menggambarkan bahawa ketiga-tiga komponennya, PKR, DAP dan PAS walaupun berlainan prinsip perjuangan tetapi masih mampu untuk bermuafakat dalam banyak perkara.

Blog Ibnu Hasyim difahamkan, teras Demokrasi Telus dan Tulen dijangka akan memfokus pada soal negara perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, pemisahan kuasa dan sistem pilihan raya yang bersih, bebas dan adil manakala teras Memacu Pertumbuhan Ekonomi Makmur, Lestari dan Adil, Keadilan Sosial akan memberi tumpuan kepada aspek pertumbuhan lestari dan pembangunan hijau, ekonomi demokratik dan telus, ekonomi kemahiran tinggi, dasar afirmatif berdasarkan keperluan, tenaga kerja, jaringan perlindungan sosial, perumahan, prasarana dan kemudahan awam dan alam sekitar.

Dalam pada itu, teras Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan pula akan menyentuh aspek perpaduan, agama, pendidikan, wanita, belia, keselamatan, kesihatan dan kebudayaan. Teras keempat Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara akan menyentuh sistem persekutuan, Sabah dan Sarawak dan dasar luar negara.

Difahamkan juga, PR menyediakan dasarnya itu, yang sebahagian kandungannya merupakan janji manifesto pilihan raya umum ke-12, untuk membawa rakyat Malaysia mencipta suatu muafakat baru yang berteraskan keadilan untuk semua dan prinsip perlembagaan.

“Ini adalah agenda yang mesti dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan kemuliaan insan... Hanya dengan keadilan, semua rakyat akan makmur dan bersatu padu,” bunyi dasar seperti yang dinukilkan oleh The Malaysian Insider hari ini.

Menurut The Malaysian Insider lagi, PR juga dipercayai merangka dasar itu dalam usaha untuk menyediakan satu rencana dasar dan kebijakan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing. Hasil perbincangan dasar itu, Konvensyen Pakatan Rakyat juga akan mengeluarkan deklarasi 10 perkara.

Konvensyen pertama ini akan berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam iaitu salah satu negeri yang dipimpin oleh PR. Konvensyen ini dijangka merumuskan beberapa perkara penting, antaranya pendaftaran parti gabungan Pakatan Rakyat serta penggunaan logo bersama PR dalam pilihan raya umum akan datang. Tema konvensyen ini adalah “Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan”.

Mengikut atur cara yang dikeluarkan, konvensyen akan bermula dengan ucapan perdana tiga pemimpin komponen PR iaitu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Ucapan rumusan dijangka disampaikan oleh Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Anwar.

"Kami menunggu-nunggu ucapan rumusan dari dari 'pimpinan ruhani' kami." kata seseorang yang di temui di situ.

'Pemimpin Ruhani' yang dimaksudkan itu ialah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti yang dicadangkan oleh Datuk Zaid Ibrahim, seorang anggota biro politik PKR ditugaskan untuk mengukuhkan PR. Sebelumnya Datuk Zaid mencadangkan Nik Aziz sebagai pengerusi PR.
(AK)

Sekitar Konvensyen PR Pertama..

# Projek Firaun, Gurauan Sinis Presiden PAS
# Saya Rasa Berasa Di Dunia Baru -Nik Aziz
# Anak Malaysia Milik Semua -Lim Guan Eng
# Apakah Yang Rakyat Mahu? -Anwar Ibrahim
# Kuasai Putrajaya, Janji PR Pembaharuan & Kesaksama...
# 'Di dada Karpal Singh ada bulan' Kata Nik Aziz. Ap...
# 4 Teras PR, Nik Aziz Dijangka Buat Ucapan Rumusan...
# Leburkan Perkauman Sempit -Sepakat 3 Parti PR

No comments:

Post a Comment