DIS 20 — Kita mengadakan konvensyen ini sebagai menyambut suara rakyat. Rakyat telah bersuara pada 8hb Mac
Apakah yang rakyat mahu?
Rakyat telah memberikan kita sedikit kepercayaan. Tsunami politik 2008 memcerminkan rakyat telah muak dengan kerenah rasuah, politik perkauman dan taktik jelek adu domba Umno-BN. Mereka marah dengan skandal V.K. Lingam, dan tatkala harga petrol melabung mereka tidak yakin BN bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat.
Maka rakyat memberikan dokongan kepada gagasan Keadilan, DAP dan PAS. Jika kita lihat persiapan jentera pilihanraya, kerjasama antara parti-parti kita yang masih longgar, dan kita melihat pula jaganath pilihanraya Umno-BN, dengan propaganda licik dan penuh fitnah, semua merasa mustahil kita mampu memperoleh kemenangan yang begitu besar. Tidak ada pendita politik yang mempercayainya, dan sebahagian besar kita sendiri tidak mempercayainya.
Tetapi rakyat memberikan kita kepercayaan. Maka kita harus insaf dan bersifat tawadhu. Kita memperoleh kemenangan tersebut bukan kerana kekuatan kita atau jentera parti. Kita di Dewan Rakyat, di tampuk pemerintahan negeri kerana rakyat memberikan kita sedikit keyakinan. Kita jangan sekali jadi seperti kaduk naik junjung.
Rakyat mahu mencuba kita, rakyat mahu menguji kita. Maka kita jangan mengkhianati kepercayaan tersebut. Kita perlu yakin dengan kebijaksanaan rakyat. Meskipun mereka dihujani dengan propaganda murahan, dan mereka disekat dengan pelbagai instrumen pemerintahan, tetapi bila tiba saatnya, rakyat akan membuat pilihan dan penentuan yang benar dan adil.
Maka kita mengadakan konvensyen ini bukan untuk mencerca dan mengkritik BN dan Umno. Pemerintahan yang ada sekarang sudah kehilangan keabsahan moral, legitimasi moral mereka sudah terhapus. Kita berada di sini untuk mengungkapkan dasar dan kebijakan Pakatan Rakyat, bukan sekadar sebagai gabungan parti-parti politik, tetapi juga sebagai gerakan politik. Pakatan Rakyat is not merely a political alliance, it is first and foremost a political movement.
Perjuangan yang kita bawa ini bukan milik parti-parti politik semata-mata. Agenda perubahan, agenda reformasi yang kita bawa turut menjadi milik lembaga swadaya masyarakat (NGO), blogger, pemikir, penyair dan seniman.
Dengan kepercayaan rakyat yang kita perolehi kita kini berada di persimpangan zaman. Kita tidak berjuang sekadar untuk mengganti satu kekuasaan dengan kekuasaan yang lain. Kita tidak berjuang untuk membuat perubahan runcit-runcitan. Kita berjuang untuk membuat perubahan besar, big change, fundamental change. Semangat dan hati nurani rakyat menuntut ini dan mendorong kita membuat lompatan yang jauh. Maka kita perlu ada keberanian kebenaran, the courage of truth, keyakinan terhadap semangat rakyat, faith in the power of the spirit of the people.
II. FALSAFAH KEBANGSAAN
Apa yang hendak kita lakukan adalah tidak lain dari membina semula sebuah bangsa dan sebuah Malaysia yang berteraskan kekuatan moral rakyat. Dan kekuatan moral rakyat adalah berteraskan prinsip karamah insaniah, kemuliaan darjat insaninya “walakad karamna bani Adam.”
Prinsip ini turut diungkapkan oleh seorang pejuang kemanusiaan dan rakyat; Martin Luther King, “A nation where its people will not be measured by the colour of their skin but by the content of their character." Rakyat sudah merdeka 50 tahun, dan rakyat mahu keluar dari kepompong perkauman yang dibikin oleh ahli-ahli politik yang berfikiran kecil dan sempit.
Maka yang mendasari segala dasar dan kebijakan yang kita bentangkan hari ini adalah prinsip moral sejagat. Ini bukan gimik politik. Kita yakin perjuangan yang tidak dipandu oleh prinsip moral sejagat akan menemui jalan buntu, tidak akan membawa keadilan dan kesejahteraan untuk semua.
Kita berpegang kepada prinsip moral kerana rakyat mahu ahli-ahli politik meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud. Inilah falsafah kebangsaan yang kita maksudkan, satu kebangsaan yang inklusif, adil, tanpa diskriminasi. Surah al Hujurat ayat 13 jelas menganjurkan agar kita meninggalkan perkauman sempit ini:
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
Prinsip karamah insaniah dan litaarafu inilah yang menggembeling keyakinan baru di kalangan umat Melayu dan Bumiputera untuk membanteras sikap perkauman dan membantah sebarang dasar yang meminggirkan golongan lain atas pertimbangan ras. Justeru itu jangan ada yang mahu menggantikan satu bentuk rasisme dengan rasisme yang baru, dengan membidas perkauman Umno semata-mata dari perspektif kepentingan kaum tertentu. Kepada kaum Cina, India, Kadazan, Iban dan Melayu, ingin saya jelaskan di sini perkauman sempit tidak boleh ditewaskan dengan perjuangan serta tuntutan perkauman sempit juga.
Jika ini berlaku, maka tidak akan ada kemajuan dalam perjuangan melawan perkauman. Perjuangan melawan perkauman hanya akan berjaya jika didorong oleh keadilan sejagat dan kesederhanaan sikap.
Rakyat Malaysia dari pelbagai kaum mempunyai moral resources, khazanah akhlak, yang kaya untuk memerangi fikiran sempit dan perkauman, dan menggantikannya dengan keadilan sejagat untuk semua, menghapuskan prasangka dan menyemai benih persaudaraan insaniah. Inilah yang dituntut oleh Saidina Ali Karamallahu Wajhah apabila ditanya mengenai persaudaraan sesama insan:
Akhukum fil Insaniah (Persaudaraan sesama insan) yang mana turut bergema dalam tradisi Tamil: ontre kulam oruvane thevan (satu jiwa kerana kemanusiaan) dan juga dalam tradisi Cina yang diungkapkan oleh mahaguru Kung dalam kitab Lun Yu,“si hai zhi nie jie xiong di” yang membawa maksud (empat lautan terbentang luas, semua manusia bersaudara).
III. MENJANA MUAFAKAT
Saya menghargai keringat dan buah fikiran rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama yang sanggup berbincang secara terbuka dan ikhlas. Ini belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia. Maka hari ini kita mencipta sejarah. Bukan mudah untuk sampai kepada suatu muafakat yang boleh disebut sebagai overlapping consensus sepertimana yang diungkapkan oleh filasuf John Rawls.
Proses perbincangan yang intense dan rancak dari kalangan yang berbeza latar, fahaman dan kepercayaan. Kita menghormati falsafah perjuangan parti-parti masing, yang punya sejarah gemilang dan getir melawan kerakusan kuasa dan mengalami pelbagai bentuk penindasan. Kita berbincang secara terbuka dan ikhlas. Perkara-perkara yang selama ini dianggap sensitif kepada parti masing-masing dan kaum-kaum tertentu.
Kerana ada kejujuran maka kita berjaya mencapai muafakat.
Dengan muafakat yang kita perolehi, bangsa Malaysia boleh berrgerak ke hadapan mengharungi abad ke 21 dengan penuh keyakinan, bangsa Melayu punyai keyakinan, bangsa Cina perolehi keyakinan, bangsa India perolehi keyakinan, bangsa Iban perolehi keyakinan dan bangsa Kadazan perolehi keyakinan. Kita tidak membina satu muafakat dengan rasa ketakutan atau rasa tidak selamat.
IV. EKONOMI
Cabaran terbesar yang dihadapi oleh negara adalah dalam sektor ekonomi. Jika ekonomi lembap, kesejahteraan rakyat akan terhakis, ramai rakyat akan hilang pekerjaan. Dasar-dasar yang ada sekarang menyebabkan negara kita jauh ketinggalan dengan negara-negara di rantau ini seperti Singapura, Korea Selatan dan Taiwan. Pakatan Rakyat ingin merangka satu dasar yang akan mengembalikan Malaysia di barisan pertama dengan negara-negara termaju di rantau ini.
Kita mesti melakukan satu reformasi ekonomi yang mampu meransang daya saing, kecekapan dan produktiviti. Dan unsur bersepadu daam reformasi tersebut adalah menjaga kepentingan rakyat melalui satu kerangka keadilan sosial. Kita perlu memastikan pengagihan yang saksama dan menumpukan pertolongan kepada anggota masayarakat yang paling lemah, tanpa mengira kaum atau kumpulan. Kita akan mengadakan kerangka-kerangka dan kebijakan-kebijakan untuk menarik pelabur asing demi meransang pelaburan tempatan. Kita akan mesra dengan usahawan dan memastikan penyertaan bumiputera di dalam ekonomi.
Saya menegaskan di sini sebagai satu Pakatan Rakyat, hati nurani tidak boleh membiarkan sesiapapun di kalangan rakyat tidak memperolehi taraf kehidupan yang manusiawi, seperti rumah, pendidikan, pengangkutan dan lain-lain perkara asas. Malaysia adalah sebuah negeri yang kaya, usahawan kita berdaya saing dan produktif. Pekerja-pekerja rajin dan tekun dan kita mempunyai penjawat-penjawat awam yang berdisiplin. Dengan gabungan kesemua ini tidak mustahil dalam masa 15 tahun, Malaysia akan kembali ke barisan pertama negara-negara maju di rantau ini.
V. WANITA
September yang lalu telah terbit kajian yang berjudul The Female Economy dalam makalah Harvard Business Review. Menurut kajian makalah tersebut, ketakjuban ekonomi terkini bukanlah ekonomi China ataupun India, ataupun ekonomi kedua-duanya digabungkan. Ketakjuban ekonomi itu ialah ekonomi kaum hawa. Pendapatan kaum hawa seluruh dunia untuk tahun 2009 sahaja berjumlah US$13 trillion, lebih besar dari gabungan KDNK China dan India untuk tahun ini; masing-masing sekitar US$4.4 trillion dan US$1.2 trillion.
Pada masa 5 tahun akan datang jumlah pendapatan kaum hawa dijangka mencecah US$18 trillion, manakala gabungan KDNK India dan China hanya pada angka sekitar US$8.4 trillion. Maka seperti gejala globalisasi, kebangkitan ekonomi hawa adalah satu gejala yang tidak boleh dihentikan atau diterbalikkan(unstoppable dan irreversible). Oleh itu dalam dokumen Dasar Pakatan Rakyat, terdapat khusus satu bab mengenai wanita.
VI. GOLONGAN MUDA
Golongan muda seharusnya mempunyai serta memperlihatkan keyakinan yang tinggi untuk melakukan perubahan. Pakatan Rakyat sedar bahawa golongan muda memainkan peranan penting demi memastikan kejayaan pilihanraya umum yang lepas. Pakatan Rakyat menyedari untuk mengeratkan lagi hubungan antara generasi dan demi merapatkan jurang tersebut, perlu ada satu keputusan berani, bertanggungjawab dan meyakinkan. Kini kita lihat ramai pemimpin muda yang muncul, samada sebagai ahli parlimen mahupun sebagai ADUN.
Namun ini tidak seharusnya menjadikan anak-anak muda khususnya yang bersama Pakatan Rakyat cepat berpuas hati. Kita mempunyai agenda yang lebih penting, iaitu menterjemahkan janji-janji serta dasar-dasar yang kita ungkapkan. Oleh demikian pemimpin muda Pakatan, di semua peringkat, perteguhkan tekad, kefahaman serta gerak kerja berdasarkan garis besar perjuangan Pakatan Rakyat. Kita mesti meyakinkan golongan muda betapa Perubahan merupakan perkara asasi, fundamental, bukan sahaja untuk generasi sekarang, juga untuk generasi masa depan.
VII. ALAM SEKITAR
Tatkala kita merumuskan dasar Pakatan Rakyat ini, sedang berlangsung Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Copenhagen. Persidangan yang lebih dikenali sebagai COP 15 itu sungguh mustahak bagi mendapatkan persetujuan serta kesanggupan masyarakat antarabangsa untuk memastikan kelangsungan bumi yang kita diami ini.
Kita akui pembangunan sememangnya penting namun ini tidak bermakna kerusakan yang berlaku terhadap alam harus diiyakan sahaja. Makanya kebelakangan ini, laporan seumpama Stern Review, berupaya menjadi garis panduan melakar dasar nasional yang mengembalikan hala tuju pembangunan ke landasan yang tepat di samping memastikan agenda alam sekitar dan kelangsungan bumi tidak terabai. Pakatan Rakyat bersama dengan masyarakat antarabangsa yang prihatin menyatakan iltizam serta tekad untuk menangani isu perubahan iklim dan berusaha untuk mengurangkan pengeluaran karbon.
VIII. KEBUDAYAAN
Bangsa Malaysia yang kita gagaskan bukanlah satu bangsa yang eka dimensi — one dimensional nation. Kita tidak mahu Malaysia menjadi sekadar bangsa ekonomi, meskipun ekonomi itu amat penting untuk kesejahteraan. Kita mahu bangsa Malaysia itu satu bangsa yang syumul, bangsa yang mempunyai ketinggian akal budi dan segar lagi kreatif dalam pengucapan kebudayaan. Justeru itu antara unsur penting dalam Dasar Pakatan Rakyat adalah Muafakat Kebudayaan Baru. Ia tidak lain sejajar dengan semangat kemerdekaan negara yang kemudiannya perlu digilap lanjutan dari Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971).
IX. PENUTUP
Hari ini kita mencipta sejarah. Tetapi ini hanyalah titik permulaan. Dasar Pakatan yang akan dimeterai sebentar lagi adalah garis besar perjuangan rakyat. Dasar-dasar ini adalah moral compass dalam perjungan politik kita. Pakatan Rakyat akan berlayar jauh, maka kita perlu ada kesatuan fikrah, kesatuan pemikiran dan sentiasa berada di garis tengah. Kita perlu mematuhi ethics of coalition, Etika Pakatan.
Setiap kumpulan punya tuntutannya sendiri dan mempunyai legitimasi dan keabsahannya. Tetapi kita juga perlu melihat urutan keutamaan kerana tidak semua tuntutan boleh ditangani dengan sekaligus. Maka kita tidak boleh melihat tuntutan political constituency masing-masing tanpa melihat dan mempertimbangkan political constituency rakan-rakan kita. Perlu ada sikap empathy, keprihatinan terhadap pelbagai sektor dan constituency rakan-rakan kita.
Justeru menjayakan agenda Pakatan Rakyat adalah menjadi prasyarat untuk mendapat dokongan penuh dan keyakinan rakyat. Hanya dengan keyakinan rakyat , bahawa rakyat yakin kita bersatu hati, kita akan memperolehi kemenangan. InsyaAllah.
Ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membuka Konvensyen Pakatan Rakyat pada Dis 19.
# Projek Firaun, Gurauan Sinis Presiden PAS
# Saya Berasa Di Dunia Baru -Nik Aziz
# Anak Malaysia Milik Semua -Lim Guan Eng
# Apakah Yang Rakyat Mahu? -Anwar Ibrahim
# Kuasai Putrajaya, Janji PR Pembaharuan & Kesaksama...
# 'Di dada Karpal Singh ada bulan' Kata Nik Aziz. Ap...
# 4 Teras PR, Nik Aziz Dijangka Buat Ucapan Rumusan...
# Leburkan Perkauman Sempit -Sepakat 3 Parti PR
No comments:
Post a Comment