▼
Sunday, December 27, 2009
Enjin Hilang: Mengapa Jadi Begitu? -Nik Aziz
KOTA BHARU, 27 Dis: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengelak daripada persoalan membawa ke arah perbincangan dakwaan bahawa kemenangan tipis pihak Kerajaan ketika membentangkan Bajet 2010 yang baru lalu itu, menggambarkan kelemahan pimpinan paling ketara dalam sejarah Perdana Menteri Malaysia.
Beliau melihat dalam sudut lain, katanya, "Saya tidak hendak pergi ke situ (persoalan itu), tetapi perasaan wakil rakyat Umno-BN ni mereka tidak berasa serupa kita (pemimpin PAS), di mana kita memahami bahawa sembahyang yang ditunaikan dengan tidak sempurna itu adalah berdosa, maka begitu juga dengan berpolitik.
"Sekiranya tidak sempurna politik Islam, maka berdosa termasuk menghadiri sidang Dewan Negeri atau Parlimen. Semasa berkempen, kita berkempen, demikian juga ketika mengundi, kita mengundi.
"Namun Umno dengan sebab mereka tolak Islam, dan mengambil 'kebangsaan' (sebagai dasar parti mereka), mana ada dosa pahala, menyebabkan manusia kini mencuri, (bahkan) mencuri enjin jet pejuang. Perbuatan (tergamak) mencuri enjin itu adalah kerana mereka dididik dengan kemewahan dan hidup berseronok.
"Oleh itu untuk mencapai tahap kemewahan dan keseronokan itu, perlukan wang walau pun (terpaksa) mencuri dan menjual harta kerajaan, sanggup dilakukan asalkan dapat wang," katanya.
Beliau juga menegaskan, akibat didikan politik Umno terhadap rakyat di negara sejak lebih 52 tahun lalu dengan ajaran 'politik suku, agama suku' menyebabkan pimpinan parti sekular itu mengenepikan aspek dosa dan pahala, syurga dan neraka dalam pemerintahannya sehingga ada yang sanggup mencuri enjin jet pejuang milik megara, seperti yang dihebuhkan.
Beliau berkata, sama ada wujud dakwaan yang menggesa supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tanggungjawab atau tidak terhadap peristiwa kecurian enjin jet pejuang Malaysia itu, sememangnya Najib bertanggungjawab.
"Sama ada kita suruh dia (Najib) bertanggungjawab atau tidak, dia memang bertanggungjawab, dunia dan akhirat. Itu benda (kedudukannya).
"Saya sebagai Menteri Besar yang menjaga negeri (Kelantan) ini pun, saya bertanggungjawab (terhadap pemerintahan negeri ini), sekadar mana yang termampu, kecuali Allah swt tahu (bahawa) saya tidak mampu, itu apa boleh buat.
"Jadi masalah Perdana Menteri kita ni, dia mengertikah atau tidak tanggungjawab dunia dan akhirat itu atau dia tidak faham, itu saya tidak tahu, tetapi dengan sebab parti dia (Umno adalah) parti sekular, yang tidak mempedulikan dosa pahala, syurga dan neraka, maka terjadilah (seperti peristiwa kecurian enjin jet pejuang itu).
"Dan banyak lagi pada masa hadapan benda (kejadian) yang 'karut maruk' begini berlaku (insya Allah adalah) hasil daripada didikan kerajaan (diterajui Umno-BN) terhadap rakyat dengan ajaran 'agama lain, politik lain'. Itulah penyakit besarnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini semalam. (2MA)
No comments:
Post a Comment