KUALA LUMPUR, 30 Dis: Sebut sahaja Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur, pasti terbayang suasana kehidupan gelap penghuninya yang terdiri daripada golongan gelandangan serta marhaen, anak-anak pekerja seks, penagih dadah dan mak nyah.
Melihat sendiri realiti kehidupan komuniti di Lorong Haji Taib, pelakon dan pengarah terkenal tanah air, Erma Fatima mendapat inspirasi untuk mengangkat permasalahan sosial yang telah sekian lama bersarang di lorong berkenaan ke dalam drama 'Tersasar Di Jalanmu'.
Kekuatan drama yang terletak pada nilai kemanusiaan, kekeluargaan dan paparan kasih sayang yang ditonjolkan itu akhirnya melayakkan ianya diangkat sebagai karya terbaik di Anugerah Skrin 2009 (ASK 2009), baru-baru ini.
Kemenangan itu didedikasikan khas kepada komuniti yang tinggal di lorong berkenaan yang merupakan golongan yang tidak seharusnya disisihkan, sebaliknya perlu didekati dan diselami perasaan dan naluri mereka.
Sebagai menghargai kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh warganya sepanjang pembikinan drama berkenaan, satu majlis jamuan penghargaan diadakan khas untuk mereka di Lorong haji Taib malam tadi.
Harakahdaily merupakan salah satu media yang diundang untuk sama-sama meraikan golongan yang kurang berasib baik itu. Biarpun dalam keadaan yang sederhana, namun majlis berkenaan tetap meriah dengan kehadiran warga lorong Haji Taib termasuk kira-kira seratus anak-anak dari Rumah Nur Salam, iaitu sebuah pusat aktiviti dan rumah perlindungan untuk kanak-kanak di Chow Kit.
Dihadiri barisan pelakon yang menjayakan drama berkenaan, majlis malam tadi diisi dengan persembahan berbentuk Islamik seperti nasyid dari kumpulan Brothers dan penasyid solo yang sedang mencipta nama, Muaz yang juga anak kepada Ahli Parlimen Kuala Selangor dari PAS, Dr. Dzulkifli Ahmad.
Majlis turut diserikan dengan selawat dari anak-anak Rumah Nur Salam selain acara tayangan drama berkenaan yang sebahagian besar lokasi penggambarannya dibuat di Lorong Haji Taib. Erma ketika ditemui harakahdaily semasa majlis berkenaan,mengakui bahawa perubahan terhadap komuniti di lorong berkenaan tidak akan berlaku dalam sekelip mata namun beliau yakin dengan bantuan pemimpin-pemimpin yang mahu melihat perubahan positif terhadap komuniti ini, lorong yang sudah sebati dengan segala macam gejala sosial itu dapat dibersihkan.
"Perubahan tidak boleh dibuat dengan mendadak, tapi harus dibuat perlahan-lahan dan setiap perubahan itu kena betul caranya.Tidak boleh ada paksaan sebab mereka yang tinggal di sini pun bukan mereka yang baru tinggal sehari dua.
"Saya percaya pemimpin-pemimpin tahu caranya untuk secara perlahan-lahan membersihkan tempat ini menjadi tempat yang biasa, bukan lagi lorong gelap," katanya yang telah banyak mengarahkan drama, filem dan teater yang memberikan iktibar dan pengajaran kepada masyarakat.
Ditanya samaada beliau sedia berkerjasama dengan PAS dalam manjalankan program kemasyarakatan, Erma berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak yang sudi menghulurkan bantuan.
"Sebenarnya kita perlukan sokongan daripada mana-mana pihak.kita tidak ada masalah dalam usaha itu dan saya tidak meletakkan politik itu sebagai halangan atau politik itu sebagai satu keharusan kerana dalam hal membantu masyarakat ia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.
"Cuma kalau ia dilakukan secara berkumpulan, sudah tentu kita lebih kuat dan lebih mudah.Soal nak bekerjasama dengan ahli politik,dengan NGO atau nak bergerak sendiri, ia agak subjektif asalkan ada usaha," katanya mengakhiri perbualan.
Drama "Tersasar Di Jalanmu' berkisar kepada permasalahan sosial yang bermaharajalela di kawasan Lorong Haji Taib terutamanya di kalangan orang Melayu. Drama itu turut mempamerkan watak seorang kanak-kanak perempuan, Ayu yang mempunyai semangat dan bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang Menteri demi mengubah kehidupan penghuni Lorong Haji Taib.
Turut hadir pada majjlis berkenaan, Ahli Parlimen Balik Pulau dari PKR, Yusmadi Yusuf. Sementara itu, Ahli Parlimen PAS, Dr. Lo' Lo' Ghazali yang pada awalnya merancang untuk bersama-sama pada malam tadi tidak dapat berbuat demikian akibat faktor kesihatan.
PAS dan Lorong Haji Taib
Lorong Haji Taib sudah menjadi sebahagian daripada tangungjawab PAS memandangkan Pejabat parti itu terletak di kawasan berkenaan. Sejak mula operasi berpindah dari Markaz Taman Melewar ke Lorong Haji Taib, PAS seolah-olah sudah sebati dengan kehidupan penghuninya malah usaha mendekati mereka dilaksanakan dari awal lagi.
Pelbagai program direncanakan sebagai langkah membantu golongan ini. Usaha kebajikan yang popular di kalangan gelandangan di kwasan sekitar dan menjadi rutin wajib bagi kakitangan pajabat PAS ialah pemberian nasi percuma pada setiap Jumaat. Sudah hampir dua tahun rutin itu berjalan malah sudah menjadi sesuatu yang mesti kepada golongan ini untuk menjengah pejabat PAS setiap jam enam petang Jumaat untuk mendapatkan sebungkus nasi tanpa perlu bersusah payah mencari sumber lain untuk hari itu.
Selain rutin wajib itu, beberapa program lain turut diadakan diadakan di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS. Terbaru, pada Ramadhan lalu, hampir sehari lajnah ini menyantuni penghuni Lorong Haji Taib. Bermula jam 2 petang dengan membuka kaunter pemeriksaaan kesihatan dan nasihat guaman dan beberapa kaunter lagi sehinggalah kepada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan raya kepada mereka.
Usaha-usaha murni ini walaupun tidak seratus peratus membawa perubahan kepada penghuninya, namun sedikit sebanyak ianya memberi kesan kepada kehidupan mereka. Para pimpinan dan petugas PAS pula sudah semestinya tidak pernah berputus asa dalam menyantuni golongan ini malah akan meningkatkan usaha untuk membuat perubahan kepada persekitarannya. (Harakah/AK)
Ada kaitan...
No comments:
Post a Comment