HALAMAN HIBURAN
BARU kelmarin pementasan teater terbaru arahan penggiat teater kreatif, Erma Fatima 'Natrah' membuka tirainya di pentas Panggung Sari, Istana Budaya. Namun, khabarnya agak 'kurang enak' mengenai teater itu. Sebilangan besar penonton menyuarakan ketidakpuasan mereka terhadap skrip dan jalan cerita 'Natrah' yang dianggap 'longgar' dan 'berat sebelah' kepada pihak Belanda.
"Sebagai seorang penggiat seni, saya mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menyampaikan naskah saya kepada masyarakat. Maka, fakta tetap fakta," jelas Erma Fatima, pengarahnya.
Menurut Erma setiap perincian di dalam skrip dan penceritaan 'Natrah' telah diperhalusi dan dikaji dengan teliti sebelum pementasan bermula bagi memastikan setiap paparan itu bersifat sahih dan benar.
"Mungkin ada pihak yang kurang bersetuju dengan olahan cerita 'Natrah' dan merasakan bahawa apa yang dipersembahkan itu seolah berat sebelah dan memenangkan pihak Belanda. Tetapi, itu adalah hakikatnya.
"Tidak mungkin saya boleh sesuka hati mengubahsuai fakta sejarah semata-mata untuk memenangi hati mana-mana pihak. Jika itu yang tercatat dalam sejarah, maka itulah yang saya paparkan," katanya.
Mengulas lanjut mengenai desas-desus yang mendakwa skrip tersebut bersifat kurang patriotik kerana lebih memartabatkan perjuangan watak ibu kandung Natrah, Adeline (lakonan Samantha Schubert) berbanding ibu angkat Natrah, Che Aminah (lakonan Umie Aida), Erma tegas mempertahankan sebab di sebalik penceritaan tersebut.
"Sebagai pengarah, saya berusaha untuk memaparkan perjuangan kedua-dua ibu Natrah dengan seadil-adilnya. Baik Aminah mahupun Adeline, mereka berjuang mempertahankan hak masing-masing dengan cara dan nahu tersendiri.
"Hanya kerana paparan cerita itu seolah memihak kepada Adeline yang beragama Kristian dan bukan Melayu, ini secara tidak langsung telah meluluhkan simpati penonton terhadap perjuangan Aminah. Pada saya, dakwaan itu kurang berasas.
"Walaupun ada pihak yang berpandangan sebegitu, namun ia sama sekali tidak ada kena-mengena dengan jati diri bangsa atau agama yang lemah. Penonton perlu faham apa yang saya cuba tonjolkan melalui kedua-dua watak itu adalah perjuangan mereka tanpa memanipulasi isu agama atau bangsa," jelas pengarah yang berpengaruh.
Tambah Erma, mungkin kisah 'Natrah' perit untuk diterima, namun penonton sepatutnya mengambil mesej yang tersirat di sebalik kekalahan orang Melayu sebagai kemenangan kepada semangat dan jati diri bangsa Melayu.
"Walaupun secara fakta, orang Melayu kehilangan Natrah, namun di sebalik kekalahan itu, orang Melayu sebenarnya menang dari aspek penyatuan bangsa. Fakta itu yang saya cuba tekankan.
"Ia sepatutnya dibanggakan oleh orang Melayu dan anak Malaysia amnya. Biarpun pada mata kasar kita tewas, tetapi di dalam semangat dan jiwa bangsa Melayu kita sebenarnya menang besar melalui penyatuan bangsa kita," kata Erma lagi.
Bertha Hertogh atau Natrah, nama Islamnya pada satu ketika dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda, pada Julai 8, 2009 lalu. Beliau meninggal dunia akibat leukemia pada usia 72 tahun. Bertha menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.
Bertha ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam serta 'nikah gantung' dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi. Namun begitu, undang-undang British/Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin. Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandungannya di Belanda.
Keputusan mahkamah itu menimbulkan kamarahan masyarakat Islam di Singapura, sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah. Dilaporkan seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam, melibatkan Prof Dr Burhanuddin dipenjara.
"Hingga sekarang perlaksanaan undang-undang Islam masih belum terlaksana sepenuhnya di negara ini. Contohnya hukum murtad, hukum zina, perasuah menurut Islam dan lain-lain. Kita masih mengekalkan undang-undang penjajah, walaupun penduduk negara ini majoritinya bukan bangsa penjajah, tetapi Melayu, Cina, India, Bumiputera, Asli dan lain-lain." Jelas Hj Mohd sewaktu dihubungi melalui telefon sebentar tadi.
Pementasan teater 'Natrah' tersebut dibintangi oleh Maya Karin sebagai Natrah ketika berusia 13 dan 20 tahun, Remy Ishak (Mansor Adabi), Umie Aida (Che Aminah), Sofia Jane (Natrah ketika berusia 70 tahun) dan Samantha Schubert (Adeline). Teater ini sedang berlangsung di Istana Budaya bermula 30 November hingga 9 Disember depan. (AK)
Rujukan klik...
1 comment:
Dulu Erma begitu teguh dalam usahanya untuk memuliakan Rasulullah s.a.w. menerusi teater Sirah Junjungan.
Kalo sungguh memuliakan Rasulullah s.a.w. tinggalkan unsur maksiat dalam semua teater arahannya...
Bukankah memuliakan Rasulullah s.a.w. azam sepanjang hidup kita?
Post a Comment