Friday, December 18, 2009

Faham 1 Malaysia Sesat, Apa & Di mana Asasnya?


DILAPORKAN oleh banyak media massa Malaysia, Datuk Seri Najib Razak berkata semangat hijrah yang diamalkan dalam Islam sangat bertepatan dengan konsep Gagasan 1Malaysia yang merupakan kesinambungan prakarsa ke arah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Perdana menteri berkata gagasan yang berteraskan kepada nilai murni yang berpaksikan prinsip keadilan sosial dan prinsip penerimaan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara demi kemakmuran bersama.

Dalam perutusan Maal Hijrah 1431, beliau berkata cabaran paling besar yang dihadapi sepanjang 52 tahun penubuhan Malaysia ialah membentuk perpaduan rakyat, tetapi ironinya ialah, perpaduan boleh dipupuk melebihi sempadan politik demi kepentingan negara.

"Kejayaan ini tidak datang bergolek sebaliknya memerlukan semangat hijrah yang tinggi, kesetiaan dan ketabahan.

"Kita telah melaksanakan agenda penghijrahan dalam bidang ekonomi dengan melakukan penghijrahan ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian.

"Sekarang, kita melaksanakan pula hijrah ke bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi.

"Ini semua bagi menjayakan transformasi ekonomi ke arah memacu Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi secara holistik dan mapan, mengutamakan bidang inovasi dan kekal relevan dalam persaingan ekonomi global," katanya. (Pelbagai sumber rujukan)

Komen Blog Ibnu Hasyim: Kami sanggah pendangan PM yang 'sesat' di atas ini kerana..

Pertama: Katanya 'semangat hijrah yang diamalkan dalam Islam sangat bertepatan dengan konsep Gagasan 1Malaysia'. Itu tidak betul kerana cara kempennya bertentangan dengan agama.

Contohnya, ucapan salam 1Malaysia kini seperti menjadi peraturan yang diwajibkan (diarahkan) kepada pembaca berita di media elektronik di negara ini. Ucapan itu dilafazkan ketika awal dan akhir membaca berita. Mengapa buat bidaah dengan ucapan 'salam satu Malaysia' tidak 'assalamu 'alaikum', hingga yang menjawabnya pun sudah beroleh pahala? Jadi ianya tidak Islamik, dan tidak sesuai dengan semangat 'hijrah'.

Kedua: Salam satu Malaysia adalah suatu salam nasionalisme, dan perkauman kedaerahan, membawa kepada asobiyah yang bertentangan dengan Islam. Salam yang mengasah perkauman. Islam melebarkan salam sesuai dengan dunia global tanpa batasan, tiba-tiba ada yang mengecilkan kepada tempurung satu Malaysia sahaja. Rasulullah SAW tidak pernah mengajar 'Salam 1Madinah' ketika baginda mula-mula menegakkan kerajaan Islam, walaupun selepas beliau diusir oleh Quraisy dari sempadan batasan kerajaan Mekah'.

Ketiga: Apalagi bila PM menyebutkan 'semangat hijrah yang diamalkan dalam Islam' bertepatan dengan 'konsep gagasan 1 Malayisia', solah-olah Islam ikut 1 Malaysia, sedangkan Islam datang jauh lebih dahulu dari penubuhan Malaysia sendiri.

Keempat: Kita jadi curiga terhadap slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kerana dalam ajaran Islam mestilah Allah SWT didahulukan dalam segala hal. Allah dan Islam yang menjadi matlamat segala-segalanya. Tauhid amali tidak mahu dilaksanakan oleh kerajaan BN (dulunya PERIKATAN) dari sejak awal merdeka lagi. Iaitu konsep tauhid 'La ilaha illallah' tidak menjadi dasar pemerintahan negara, Islam tidak dimartabatkan, sebab Allah SWT tidak didahulukan. Bahkan Islam dan hak Allah, tidak ditunaikan.

Kelima: Bolehkah dikatakan penganut faham 1 Malaysia itu telah mensyirikkan Allah SWT,
dengan menduakan sistem perundangan, sehingga ada yang menyebutnya sebagai 'syirik nasional'? Ia adalah suatu fahaman sesat?

Keenam: PM berkata 'cabaran paling besar yang dihadapi sepanjang 52 tahun penubuhan Malaysia ialah membentuk perpaduan rakyat', sedangkan perpaduan sebenarnya ialah 'berpegang teguh dengan tali Allah dan jangan berpecahbelah'. Tali Alllah seperti yang disebutkan dalam Al-Quran itu, adalah Islam dengan segala peraturannya. Bukan sekadar mengajak rakyat bersatu di atas dasar seperti diamalkan di United State America.

Ketujuh: PM juga menyebutkan, 'Kejayaan ini tidak datang bergolek sebaliknya memerlukan semangat hijrah yang tinggi, kesetiaan dan ketabahan.' Hijrah ertinya pindah. Pindah ertinya tinggal semua yang lama termasuk maksiat, bina yang baru, tidak termasuk maksiat.

Tetapi kalau hanya 'melaksanakan pula hijrah ke bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi.' seperti yang disebut PM itu, maknanya kecil sangat taarif hijrah... Belajarlah mengenal 'hijrah' seluas keluasan Islam yang global itu sendiri.

Saranan:

Bahagian Agama JPM perlu mengkaji semula dan mengambil pandangan dari semua para ulama yang adil secara keseluruhan, bukan dari kelompok kerajaan semata-mata untuk menilainya, samada dalam atau luar negara. Sekian, Allah Maha Tahu.

No comments:

Post a Comment