KUALA TERENGGANU: “Sebaik tangan disentuh, saya seolah-olah dalam khayalan... saya nampak apa berlaku, tapi kelu dan tak dapat berbuat apa-apa kerana seperti dipukau.
“Saya nampak seorang daripada mereka (penjenayah) menyusup masuk ke bilik kebal dan mahu memaklumkan kejadian itu kepada pemilik kedai, namun keliru dan tidak keruan,” kata Suhaida Abdul Wahab, 33.
Suhaida antara saksi utama kejadian samun disyaki menggunakan ilmu pukau di sebuah kedai emas di Jalan Sultan Zainal Abidin berhampiran Pasar Besar Kedai Payang di sini, membabitkan kerugian kira-kira RM1 juta, kira-kira jam 2 petang semalam.
Menurutnya, sebelum kejadian, seorang pengedar barangan kemas memasuki kedai berkenaan dan menyimpan tiga beg berisi barangan kemas dibawanya dalam peti besi sebelum ke pasar berhampiran untuk makan. Katanya, selepas beberapa minit pengedar berkenaan meninggalkan kedai terbabit, empat lelaki dan seorang wanita dipercayai warga Arab terus memasuki premis itu sambil berpura-pura mahu membeli barangan kemas dipamerkan dalam rak pameran.
“Sejurus memasuki premis berkenaan, tiba-tiba seorang terus menyentuh saya, dipercayai untuk memukau.
“Walaupun nampak apa yang mereka (perompak) buat dalam premis itu, saya tidak mampu bersuara dan hanya melihat pergerakan kumpulan berkenaan,” katanya.
Suhaida berkata, dalam keadaan separuh sedar, dia melihat seorang perompak membawa keluar tiga beg berisi barangan kemas dari kedai berkenaan sebelum meluru ke kereta diletakkan di depan kedai terbabit.
“Saya sempat mengecam wanita berusia 50-an itu menerusi seluar jeans dipakainya manakala tiga lagi lelaki tidak diketahui kerana ingatan saya samar-samar.
“Selepas beberapa minit kumpulan perompak berkenaan keluar dari premis terbabit, saya kebingungan dan cuba memberitahu kejadian berlaku kepada pemilik kedai yang ketika itu turut dipukau kumpulan terbabit,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.
Anak pemilik kedai emas berkenaan, Norizah Safura Zakaria, 11, berkata dia tidak sedap hati sebaik seorang warga Arab terbabit memintanya mengambil sebentuk cincin konon untuk dipadankan ke jarinya.
“Ketika melihat wajahnya, tiba-tiba saya berasa takut dan berdebar, apatah lagi saya langsung tidak faham bahasa mereka,” katanya.
Bapanya, Zakaria Yusof, 46, juga mengakui mereka dipukau kerana secara tiba-tiba badan kebas dan khayal selepas disentuh kumpulan penjenayah Timur Tengah terbabit.
“Saya mula sedar apabila seorang pelanggan memberitahu perompak melarikan beg diambil dari peti besi, namun kelibat kumpulan perompak sudah tidak kelihatan.
“Sebaik menyedari kejadian itu, saya segera meminta rakan mengejar perompak terbabit tapi gagal dan sempat mengecam Proton Persona serta nombor pendaftaran dinaiki perompak terbabit sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pengedar berkenaan dan polis,” katanya.
Menurutnya, dia percaya kumpulan berkenaan merancang melakukan rompakan itu kerana beberapa rakannya mendakwa pernah melihat mereka berkeliaran di kawasan pasar berkenaan sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menyiasatnya mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Beliau meminta orang ramai terutama peniaga emas berhati-hati dengan kumpulan penjenayah terbabit yang dianggap licik menggunakan ilmu pukau sebelum melakukan jenayah.
“Saya meminta orang ramai memiliki maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi memudahkan siasatan,” katanya.(Sumber Mymetro)
No comments:
Post a Comment