Sunday, December 20, 2009

Hijrah: Ceramah Yusuf Al-Qardhawi Di Shah Alam.


KIRA-KIRA 4,000 hadirin memenuhi dewan solat Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam bagi mengikuti syarahan perdana yang disampaikan oleh ulama tersohor, Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi malam tadi. Dr Yusuf yang baru sahaja dianugerahkan tokoh Ma'al Hijrah pada tahun ini kelmarin, menyampaikan syarahan perdana yang menyentuh tentang pengajaran yang diperolehi oleh umat Islam dalam peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah.

Syarahan beliau memakan masa selama dua jam, bermula kira-kira 7.35 malam termasuk terjemahan syarahannya yang dipimpin oleh Abdul Ghani. Kami sedut sebahagian dari Malaysiakini. com..

'Hijrah satu kemenangan'


Dalam syarahan beliau itu, Dr Yusuf menegaskan hijrah Rasullullah SAW adalah satu pertolongan daripada Allah SWT yang benar-benar berlaku dan bukannya satu khayalan.

"Dalam al-Quran jelas Allah menurunkan tentera (malaikat) yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar . Allah tampilkan mereka tidak lain adalah untuk membantu baginda. Ini jelas di dalam Al-Quran.

"Hijrah adalah satu kemenangan kerana mereka (umat Islam di Mekah) percaya (kepada Allah), mempertahankan prinsip akidah, walaupun dianiaya, diseksa dan pelbagai bentuk penyeksaan," katanya sambil membaca sepotong ayat Al-Quran untuk menguatkan hujahnya.

Dalam kesempatan itu, beliau juga mengemukakan contoh bagaimana sahabat baginda, Sumayyah dan Ammar ibn Yasir diseksa oleh kaum kafir Quraisy kerana menerima ajaran Nabi Muhammad SAW sebelum baginda berhijrah ke Madinah.

Mereka adalah antara sahabat baginda yang terawal mati syahid dalam sejarah Islam, tambah ilmuan Islam itu.

Menurut Dr Yusuf, selain faktor penyeksaan yang diterima oleh para sahabat baginda, ahli keluarga dan kaum kerabat turut baginda dikenakan tekanan sosial dan diboikot dalam bidang ekonomi, menyebabkan Allah memerintahkan baginda berhijrah ke sana.

Dr Yusuf berkata antara pengajaran lain yang perlu dicontohi oleh umat Islam daripada peristiwa agung itu adalah "bagaimana Rasullullah SAW mengatur, merencanakan dan merancang strategi untuk berhijrah".

Katanya baginda mengatur strategi antaranya, memilih Abu Bakar Al-Siddiq menemani beliau sewaktu berhijrah, memilih Ali Abi Talib bagi menggantikan beliau ditempat tidur baginda, dan melantik Asma Abu Bakar menjadi sumber berita kepada Rasullah SAW sewaktu berhijrah.

'Harus atur strategi'

Sebahagian strategi Rasulullah SAW juga ialah memilih penunjuk jalan yang benar-benar arif ke Madinah supaya terhindar daripada kaum kafir Quraisy, tambah ilmuan Islam itu.

"Oleh itu setiap orang Islam harus mengatur strategi dan operasi supaya perjalanan hidup dapat bergerak dengan cara yang betul dan kemudiannya kita berserah kepada Allah. Allah akan membantu kita selepas itu," kata Dr Yusuf sambil membaca sepotong ayat yang dibaca oleh baginda Rasulullah SAW kepada Abu Bakar meminta beliau tidak bersedih dan gusar dengan kaum kafir Quraisy.

Dalam peristiwa hijrah juga, Dr Yusuf berkata bahawa Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW bukan agama yang bersifat individualistik.

Sebaliknya katanya, Islam itu menganjurkan manusia agar hidup berjamaah atau berkumpulan dengan baginda mengasaskan masyarakat Islam dengan mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj, yang dinamakan sebagai kaum Ansar.

"(Ia adalah) permulaan kepada sesebuah masyarakat itu berasaskan kepada Islam... tidak mungkin penyebaran Islam akan berlaku tanpa ada orang yang mempertahankan Islam.

"Berjamaah (atau berkumpulan) adalah sesuatu yang disuarakan oleh Allah dalam al-Quran," katanya sambil membaca ayat keempat dan kelima dari surah al Fatihah, yang menggalakkan manusia hidup berkumpulan bukan bersikap individualistik.

Menurut Dr Yusuf lagi, pengajaran dari peristiwa hijrah tidak terhenti di situ sahaja, apabila baginda membina masyarakat yang berteraskan kepada iman dan Islam.

Menurutnya, baginda mempersaudarakan kaum Ansar dan kaum Muhajirin (umat Islam yang berhijrah ke Madinah), sebagai asas membina masyarakat Islam 'Rabbani Insani' di situ.

Bina masjid


Ini kerana, wahyu yang turun di Madinah, secara umumnya mengisahkan tentang akhlak termasuk pensyariatan solat, puasa, urusan bermuamalat dan sosial di kalangan mereka termasuk perlaksanaan hukum qisas dan pengurusan hutang piutang berlaku selepas peristiwa hijrah.

Dr Yusuf berkata, bagi tujuan tersebut, Rasulullah SAW membina sebuah masjid sebagai pusat sosial dan pertemuan dengan cara menunaikan solat berjamaah serta tempat bermesyuarat.

Baginda juga menubuhkan sebuah pasar bagi meningkatkan kegiatan ekonomi umat Islam, yang menjadi tempat singgahan para pedagang dari luar, tambahnya.

"Pasar itu mempunyai pelbagai seksyen seperti buah-buahan, sayur-sayuran, lembu, unta dan baginda menjadi pemantau terhadap sikap peniaga dan pedagang (yang berniaga)," katanya sambil menceritakan kisah seorang peniaga yang menipu dengan menjual tamar yang tidak elok.

Maka Dr Yusuf membaca sepotong hadis sahih yang menceritakan teguran Rasulullah SAW terhadap perbuatan peniaga tersebut, yang cuba menipu pelanggan.

Sebelum beliau mengakhiri syarahan beliau, ilmuan Islam itu, mengingatkan agar sentiasa berhati-hati dengan "orang munafik yang sentiasa menyebarkan fitnah dalam masyarakat Islam".

'Pendustaan kaum munafik'

Katanya, mereka ini mengaku beriman kepada Allah, tetapi hakikatnya mereka benci kepada Islam. Menurutnya, terdapat ayat-ayat dalam surah Al-Taubah yang menjelaskan sikap, sifat dan ciri-ciri orang munafik.

Katanya, pendustaan kaum munafik di zaman ini "lebih dahsyat daripada zaman silam".

Beliau memberi contoh bagaimana isteri baginda Rasullah SAW, Aisyah Abu Bakar difitnah mempunyai hubungan dengan seorang sahabat, yang terkenal dalam sirah baginda sebagai kisah 'Hadith Al-Ifki'.

Dalam peristiwa ini, orang munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubay menyebarkan fitnah berhubung perkara tersebut dalam masyarakat Islam di Madinah, menyebabkan ada di kalangan sahabat terpedaya dan termakan dengan fitnah tersebut.

"Ayat-ayat di dalam surah ini, Allah mendedahkan tipu daya mereka kerana mereka begitu mudah menjatuhkan martabat orang lain.

"Mereka menuduh (Aisyah) tanpa menampilkan saksi bagi tuduhan tersebut. Ia perlu ditampilkan empat orang saksi. Tidak menampilkan empat orang saksi, maka mereka adalah sesat dan dusta," katanya.

Selepas menyampaikan ceramah, Dr Yusuf diminta membaca doa untuk kesejateraan umat Islam dan hadirin baramai-ramai mengaminkannya, sebelum diiringi dengan laungan takbir. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails