Monday, December 21, 2009

Kes Ragut, Perlu Fikir Semula Perundangan Islam

Kes ragut melanda negara ini, perlukan penyelesaian yang lebih berkesan..
KUALA LUMPUR: Dis 21. Tertarik pihak kami melihat paparan myMetro hari ini mengenai banyak kes ragut, malah membabitkan kematian dilaporkan kebelakangan ini. Walaupun tinjauan mereka sekitar wanita yang seolah-olah memandang ringan keselamatan mereka dengan masih ‘mempamerkan’ barangan berharga termasuk beg tangan dan barang kemas secara sewenang-wenangnya..


Tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan termasuk di Bangsar dan Puchong mendapati, masih ramai wanita yang membawa beg tangan sambil lewa dan tidak mengikut cara yang betul dan selamat. Malah, ada yang memakai barang kemas berlebihan dan mampu mengundang padah jika diragut.

Mangsa ragut, Intan Shahrizza, 24, mendakwa pernah diragut ketika sedang menunggang motosikal yang menyebabkan dia kehilangan beberapa dokumen penting dan peristiwa terbabit menyebabkan dia lebih berhati-hati. Dia berkata lagi, bagi mereka yang tidak pernah terbabit dalam kejadian ragut mungkin tidak akan sedar risiko yang bakal ditanggung dan mereka akan terus lalai mengenai keselamatan diri sendiri.

“Saya sentiasa lebih berhati-hati selepas kejadian terbabit dan semua orang terutama wanita perlu berwaspada kerana trauma menjadi mangsa ragut memang sukar digambarkan,” katanya.

Pendapat sama dikongsi Rogayah Baharin, 42, yang mahu polis meningkatkan rondaan, tetapi pada masa yang sama orang ramai perlu menjaga harta dan keselamatan diri sendiri. “Sukar untuk mengharapkan bantuan polis dan setiap masa dan sepatutnya kita sama-sama membantu daripada menjadi mangsa ragut dengan sentiasa bersikap hati-hati,” katanya.

Bagi Hisham Harun, 46, kejadian ragut yang disaksikannya walaupun terdapat pondok polis berhampiran menunjukkan peragut seperti tidak takut pada undang-undang. “Pernah suatu ketika satu kejadian ragut berlaku di depan mata saya, mereka seolah-olah tidak bimbang walaupun ada pondok polis berhampiran,” katanya.

Dia berharap semua pihak sentiasa berwaspada dan jangan menyangka bahawa kes begini hanya akan berlaku kepada orang lain, tetapi tidak diri mereka sendiri. “Kelalaian memang boleh membawa kecelakaan dan kerana itu kita kena sentiasa beringat bagi memastikan semua itu tidak terjadi kepada kita,” katanya.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Sebenarnya, pihak bertanggung jawab perlu memikirkan bersungguh-sungguh mengenai undang-undang mencegah ragut yang lebih berkesan. Perlu difikirkan kembali undang-undang Islam dalam kes ragut. Kita sebagai orang Islam yakin, bahawa Islam adalah penyelamat manusia. Mustahil ulama-ulama atau ilmuan Malaysia tidak mampu memikirkan jalan penyelesaian sesudah undang-undang yang ada seolah-olah menemui jalan buntu. Allahu Aklam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails