Thursday, December 03, 2009

Misteri Rahsia Di Balik TF 2010 & 'Kolonel Mat'


Rumah ini termasuk dalam usaha Malaysiakini menyelidik misteri TF2010 & Kolonel Mat.

MENURUT Malaysiakini, setelah beberapa pencarian dibuat, Task Force 2010 (Malaysia) dibentuk daripada gabungan dua agensi penyelaras di negara ini dan Thailand pada Januari 2007 bagi membawa keamanan di tiga wilayah yang sedang bergolak, Pattani, Yala dan Narathiwat.

Penubuhannya dibuat hasil perbincangan antara PM ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan pengerusi Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand, Jeneral Sonthi Boonyaratglin yang mahu mengembalikan kestabilan di selatan Thailand. Bagaimanapun, fungsinya dilaporkan akan ditamatkan pada penghujung tahun ini dan segala peranannya akan diambil alih oleh agensi-agensi kerajaan yang sedia ada.

Awal minggu ini pula, nama pasukan petugas tersebut muncul kembali apabila Nik Abdul Aziz berkata terdapat usaha menjatuhkannya yang melibatkan seorang pegawai tentera, dikenali sebagai 'Kolonel Mat'. Sumber dekat tidak menolak kemungkinan pegawai tentera itu mempunyai kaitan dengan Task Force 2010 walaupun mereka masih tidak jelas sama ada watak tersebut benar-benar wujud atau hanyalah kiasan semata-mata.

Menjelang muktamar pemilhan PAS Jun lalu, yang menyaksikan pertarungan sengit jawatan nombor dua parti itu antara exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa dengan penyandangnya Nasharuddin Mat Isa, nama Task Force 2010 mula diperkatakan. Laporan di blog-blog mendakwa Nasharuddin mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin pasukan petugas khas itu dan cuba membabitkan Nik Abdul Aziz tetapi Mursyidul Am PAS didakwa tidak menunjukkan minat.

Selain Nasharuddin, exco kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali juga turut dikaitkan dengan Task Force 2010 yang mula menukar arahnya kepada isu "Perpaduan Melayu" susulan keputusan pilihan umum 2008 yang memihak kepada pembangkang. Penulis blog yang aktif menulis tentang pasukan itu, antaranya, Abdul Rahman Abdul Talib (Malaysia Waves) yang sering mendedahkan konflik dalaman PAS, Abu Bakar Mohd Rashid (Penarik Beca) yang mengamat politik dalaman parti Islam itu dan bekas pegawai perhubungan awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kickdafella), yang bertembung secara terbuka dengan menantu Nik Aziz.

Soalnya apakah benar pasukan petugas untuk keamaan di Selatan Thailand, Task Force 2010, ada kaitan dengan usaha mewujudkan kerajaan perpaduan PAS-Umno? Ada kaitan dengan desakan diadakan muktamar khas bagi membincang pembabitan beberapa pemimpin parti itu dalam usaha tersebut? Tetapi, selepas perbincangan diadakan, muktamar itu digantikan dengan seminar politik yang berlangsung bulan lalu, apakah ini juga ada kaitan?

Terakhir melibatkan demontrasi meminta Nik Aziz letak jawatan dan besok akan berlaku demontrasi balas pula di Kota Bharu. Inilah keindahan dan kesenian politik Malaysia yang perlu ditangani dengan baik. Sekurang-kurangnya untuk mematangkan mutu kepimpinan, dan meneroka ruang bagi meletakkan Islam ke tempat tertinggi seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Ruang itulah yang perlu dicari sekarang, walau sebanyakpun pun kemelut yang melanda.

Rahsia itulah yang perlu diperolehi. Berdoa dan berusahalah, insya Allah. (2MA)

Oleh Megat Ali Megat Alang

1 comment:

hussin said...

nape suka tuding jari kat orang luar, sedangkan diri sendiri tidak berhati2 dan terhegeh2 tak sedar diri?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails