Wednesday, December 16, 2009

Nik Aziz Puji PM, Tetapi Dukacita Dg Bekas PM Thai


KOTA BHARU, 16 Dis 09: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulas mengenai kenyataannya sebelum ini, iaitu memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana berani melawat selatan Thailand katanya, manusia ada baik dan tak baiknya.

“Ketika dia melakukan kebaikan kita kena puji, begitu juga dalam kes nak aniaya Kelantan untuk memberikan wang ihsan, itu tidak baik, dia kena bagi royalti,” ujarnya.

Sementara itu, Perdana Menteri dalam kenyataannya semalam memberitahu beliau tidak terkejut dengan pujian diberi Tuan Guru Nik Abdul Aziz terhadapnya. Menteri Besar bagaimanapun melahirkan rasa dukacita terhadap tuduhan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra (gambar di atas) yang mendakwa Kelantan sebagai pusat militan.

Dakwaan itu dibuat ekoran tertangkapnya beberapa lelaki yang menghasilkan bom di sebuah rumah di Pasir Mas semalam. Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, perbuatan yang boleh mencetus keganasan adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam perkembangan lain beliau mengajak rakyat Kelantan menyertai solat hajat yang akan diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad ke-IV Jumaat ini.

Katanya, solat hajat tersebut akan diadakan selepas kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu. “Bulan Muharram yang akan tiba merupakan bulan baik, bertuah dan mulia tambah-tambah lagi pada 1 hingga 10 Muharam umat Islam diharuskan berpuasa sunat dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT.

“Sebelum ini Allah SWT telah banyak menyelesaikan segala masalah yang timbul dan mudah-mudahan dengan banyak berdoa Allah sekali lagi akan menolong kita menyelesaikan kekusutan yang berlaku,” jelasnya. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails