Friday, December 04, 2009

Penasihat Salah Nik Aziz, Presiden PAS Tepuk Air Di Dulang..



Aziz tidak tahu siapa beri nasihat salah

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui bahawa beliau tidak mengetahui individu yang didakwa memberi nasihat yang salah kepadanya sebagaimana yang dinyatakan oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Dilaporkan oleh Sinar Harian hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sebarang nasihat yang diterima akan dipertimbang dan difikirkan dengan sebaiknya sebelum beliau memutuskan sama ada menerima atau menolak cadangan yang diberikan.

“Saya pun tidak tahu siapa dia penasihat saya yang tidak betul... orang beri nasihat, saya pilih yang betul... saya tidak tahu... tanya dialah( Abdul Hadi) siapa yang betul, siapa yang tidak betul,” katanya selepas hadir di Majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Kelantan 2009 di Kota Darul Naim di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Hadi yang mengatakan Nik Aziz menjalankan tugas dengan ikhlas, tetapi individu di sekelilingnya tidak memberi nasihat perundangan dan politik yang betul kepada beliau.

Ditanya adakah beliau menerima semua nasihat yang diberikan penasihatnya, Nik Aziz berkata: “Bila diberi nasihat pada saya, saya bincang dulu... kalau saya berasa puas hati saya terima, tak puas hati saya tolak... Bergantung kepada sayalah... saya tak terima bulat- bulat.”

Dalam pada itu, mengulas mengenai tahap integriti yang ada dalam Kerajaan Negeri, Nik Aziz berkata, beliau masih belum berpuas hati dan perkara itu boleh dipertingkatkan dari masa ke semasa.

“Mana ada puas hati, kita manusia mana boleh puas hati... kita nak tidur pun tidak puas hati ada nyamuk ada sejuk... puas hati ini tidak berlaku di muka dunia,” katanya. (Sinar Harian)

Komen Blog Ibnu Hasyim:

Pertama. Ada orang kata, kali ini kenyataan Presiden PAS mungkin salah langkah, dan membuat perhitungan silap. Bagaikan menepuk air di dulang.. akhirnya muka sendiri yang terpercik. Nampak kuman di seberang lautan, gajah di depan mata tak nampak.

Kedua, hakikatnya, Tok Guru Nik Aziz akur dengan muhasabah dan teguran PAS Pusat dan menghormati kehendak PAS Pusat. Soalnya sekarang adakah Presiden mahu meniru jejak langkah baik yang telah ditunjukkan oleh Mursyidul Am itu?

Contohnya, Mesyuarat Khas AJK PAS Pusat baru-baru ini secara majoriti telah mengkehendaki supaya Pesuruhjaya PAS Selangor ditukar. Ia adalah kehendak jumhur AJK PAS Pusat dan berasaskan kepada bukti-bukti yang kukuh lagi sahih. Tiada sebab untuk Presiden menolak kehendak AJK PAS Pusat. Namun, kehendak AJK PAS Pusat tetap ditolak.

Ketiga. Ada yang bertanya, siapa sebenarnya Presiden PAS sekarang ini? Adakah Presiden ataupun SUnya? Itu yang sepatutnya dilihat disamping mengatakan penasihat Nik Aziz yang salah. SU yang pernah ditolak perlantikan dalam beberapa Muktamar Agung dan mesyuarat AJK Agung sebelumnya? Dan masih diterima lagi?
Jangan sampai dalam air lagi berpeluh!

2 comments:

Yanaam said...

Saya kira, pendapat TGHA itu betul. Amat malang, kebanyakan daripada pendapat beliau kini sentiasa dilihat dari sudut yang penuh prasangka, penuh kebencian dan enggan berlapang dada.

Nasihat yang salah tidak semestinya disengajakan. Ia juga mungkin dikata salah hanya kerana ia kurang lengkap, penilaian pro dan kontra yang kurang menyeluruh, salah pandang akan impak daripada keputusan dan berbagai lagi.

Apa yang penting, TGNA sudah mengambil keputusan yang nyata lebih baik dan bijak.

Tukang nasihat yang silap tidak boleh dilihat sebagai sengaja berbuat begitu atau mempunyai agenda peribadi yang lain. Kita hanya merancang. Bukankah banyak yang PAS dan PR pelajari daripada apa yang sudah berlaku dalam PMBK itu ?

Ayuh, jangan asyik buang masa dengan berburuk sangka sesama sendiri. Kita sepatutnya saling melengkapi membaiki apa yang kurang dan menambah baik apa yang sudah sedia baik.

Ibnu Hasyim said...

T.kasih.. sdr Yanaam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails