Monday, December 28, 2009

Royalti Minyak: Nik Aziz sokong MB Terengganu


KOTA BHARU, 28 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong seratus peratus tindakan yang dilakukan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang tetap bertegas meneruskan saman terhadap Petronas berhubung pembayaran royalti minyak kepada Terenngganu.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Kelantan mungkin akan meniru cara yang dilakukan Terengganu itu berhubung dengan pembayaran royalti minyak kepada Kelantan, katanya pada satu majlis di Medan Ilmu di sini baru-baru ini.

Dalam sidang Dun Terengganu baru-baru ini, ketika menjawab soalan lisan PAS Rhu Rendang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ahmad Said berkata kerajaan negeri menolak jumlah bayaran dari kerajaan pusat.

Menurutnya, Kerajaan Negeri telah menjelaskan secara detail kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak betapa perlunya Kerajaan Pusat mengembalikan hak rakyat Terengganu mengikut perjanjian asal.

Selain itu, Terengganu memutuskan bahawa royalti dibayar terus oleh Petronas kepada Kerajaan Negeri, manakala semua pembayaran yang telah dibuat oleh Petronas kepada Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 2000 hingga 2009 adalah dianggap pembayaran royalti kepada Terengganu.

Jumlah royalti yang dituntut Kerajaan Negeri Terengganu bagi 2000 hingga 2009 sebanyak RM2.792 bilion, namun Kementerian Kewangan tetap dengan keputusannya untuk membayar balik wang itu sebanyak RM1.686 bilion saja.

"Selagi perkara itu tidak diselesaikan, (maka) perjanjian (berkaitan) tidak akan ditandatangani.

"Dan kerajaan negeri Terengganu akan menarik balik kes mahkamah jika kerajaan negeri berpuas hati dengan jumlah royalti yang akan dibayar, " tegas Ahmad Said. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails