Thursday, December 17, 2009

Rupanya Hang DKK, Nu..

CATATAN SANTAI

Di atas adalah keratan yang menunjukan penulis Zaini Hassan mogok menulis pada minggu ini. Dan dibawah pula adalah surat saya kepada Utusan Malaysia yang disiarkan.

SEMALAM saya terbaca berita ini di Utusan Malaysia ditulis oleh kawan saya, rupanya dia DKK.. Dia mengulas artikel Zaini Hassan yang terbit minggu lepas , mengenai kaum India di Malayia. Oi, hang DKK nu!

Cuba baca tulisannya..

India Malaysia bersyukurlah

SAYA merujuk kepada artikel saudara Zaini Hassan bertajuk Alkisah India di India dan India di Malaysia.

Saya boleh dikategorikan sebagai DKK seperti yang disebutkan oleh saudara Zaini Hassan dalam cuitan beliau. Saya ingin menceritakan pengalaman serta kisah yang diceritakan oleh ayah saya mengenai asal- usul orang India di Malaysia.

Saya ke Madurai, Tamil Nadu, tempat asal ibu saya baru-baru ini. Kebanyakan orang India yang berada di Malaysia pada hari ini sama ada Islam atau Hindu berasal dari wilayah ini. Kisah suasana di India telah diceritakan dengan tepat dan terperinci oleh saudara Zaini dalam artikelnya.

Sewaktu di India, saya berulang kali bersyukur kepada datuk dan moyang saya yang membuat keputusan nekad untuk berpindah ke Tanah Melayu pada zaman itu. Saya sering juga berkata kepada ayah saya, jika datuk dan moyang saya masih hidup, sudah pasti mereka adalah orang yang saya akan peluk erat dan ucap terima kasih kerana membawa keturunan kami ke Tanah Melayu.

Saya mula bertanya kepada ayah saya tentang apa yang dia tahu tentang asal-usul orang India di Malaysia.

Ayah saya menceritakan bahawa orang India di Malaysia terbahagi kepada dua golongan utama iaitu orang Hindu dan orang Islam. Orang Islam terdiri daripada peniaga dan pekerja kapal yang datang berdagang ke Tanah Melayu sejak zaman Melaka dan pada 100 tahun kebelakangan ini mereka lebih banyak berpusat di Pulau Pinang.

Sebab itulah majoriti orang India Muslim berada di bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Ramai juga yang berkahwin dengan rakyat tempatan dan ramai juga yang sudah terasimilasi dalam bangsa Melayu. Ramai yang tidak tahu lagi bercakap Tamil walaupun paras wajahnya pekat India.

''Bagaimana pula dengan orang Hindu dan kenapa kebanyakan mereka berada di estet?'' tanya saya kepada ayah saya seperti seorang budak kecil yang ingin tahu.

Mereka ini telah diambil oleh British dari Tamil Nadu dan dibawa ke Tanah Melayu untuk mengusahakan ladang getah milik British. Mereka ini tidak mendapat gaji tetap. Sekadar diberikan duit untuk makan minum serta sedikit duit lebihan untuk minum arak dan berjudi.

''Jika begitu, teruklah orang British ini. Mereka menipu orang India Hindu ini,'' kata saya kerana berasa terganggu dengan tindakan kejam British ini.

Ayah saya menyambung hujahnya bahawa saya tidak tahu menahu bagaimana kehidupan orang India yang dibawa ke Malaysia sewaktu mereka di India. Mereka ini bersetuju untuk bersama British kerana keadaan mereka di kampung mereka itu tersangat teruk. Mereka ini bukan sahaja menjadi hamba kepada seorang tuan, malah mereka ini akan diperlakukan sebagai hamba untuk sebuah kampung.

Untuk mencari sesuap nasi pun sangat susah pada musim kering. Untuk mendapatkan air, mereka perlu berjalan sejauh 10-15 kilometer. Anak- anak mereka tidak mendapat pendidikan langsung. Malah anak-anak ini akan dilatih untuk menjadi hamba untuk keturunan yang seterusnya.

Jadi kebanyakan orang India Hindu yang sampai ke Semenanjung sangat bersyukur pada zaman itu dengan kehidupan yang mereka terima di estet di Malaysia, di mana mereka tidak perlu lagi menjadi hamba kepada orang lain.

Mereka boleh hidup berkeluarga dengan bebas, boleh bekerja, mendapat sedikit duit untuk makan. Ini adalah jasa besar British kepada mereka.

Saya terdiam. Dalam kekejaman British itu rupanya terdapat hikmah.

Bukanlah niat penulis ingin mengungkit kisah lama atau menghina sesiapa. Tiada apa yang hina dalam menyatakan kebenaran.

Sepatutnya orang India di Malaysia perlu bersyukur dengan apa yang mereka ada pada hari ini. Pendidikan sehingga mereka mampu bercakap dengan berani. Makanan yang mewah. Rumah yang luas dan selamat. Kenderaan untuk ke sana dan ke mari.

Terima kasih juga kepada orang Melayu yang telah menerima bangsa asing ini dengan hati terbuka untuk berkongsi tanah bertuah ini. Sehingga kepada apa yang kita ada pada hari ini. Sebuah negara berbilang kaum yang aman damai dan sejahtera. Moga Tuhan kekalkan apa yang kita ada pada hari ini. Bersyukurlah.

Malaysia tidaklah buruk seperti kata saudara Zaini Hassan.

SHAHABUDEEN JALIL

DKK

Begitulah istimewannya peranan kaum India dengan peranan 'hijrah'nya dalam membangunkan umat dan ketamadunan di Tanah Melayu. Oleh itu saya bersetuju DKKnya.

Tapi bukan DKK Darah Keturunan Keling sahaja, bahkan DKK, Dah Kaya Kini... kerana keusahawanan dan semangat agamanyanya... Sekian.

Ibnu Hasyim, Catatan Sanai.
ibnuhasyim@gmail.com
Dis 17, 2009
KL.

Lihat..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails