Tuesday, December 22, 2009

Tidak Halal: Bak Kut Teh Sup & Daging Babi? -Jakim

bak kut teh..

Jakim: Bak kut teh halal tak boleh dianggap halal.

PETALING JAYA, Dis 22 — Penggunaan istilah bak kut teh halal boleh mengelirukan umat Islam di samping bertentangan hukum syarak kerana bercanggah dengan kaedah fiqah yang ditetapkan oleh Islam.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) Lokman Abdul Rahman berkata, bak kut teh tidak boleh dianggap halal kerana ia masih mengekalkan penggunaan nama yang haram mengikut hukum Islam.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, makanan itu tidak akan mendapat sijil halal berdasarkan prosedur yang ditetapkan oleh Jakim.

“Walaupun mereka mungkin akan membuat permohonan, Jakim tidak akan meluluskan makanan bak kut teh halal itu kerana sudah jelas ia tidak mengikut hukum yang telah ditetapkan di dalam Islam,” katanya.

Tegas beliau Jakim bimbang masyarakat Islam akan salah faham dengan membuat tanggapan bahawa makanan itu sudah halal dimakan jika Jakim memberi pengiktirafan halal.

Menurut Lokman, berdasarkan hukum, bak kut teh adalah merujuk pada sup dan daging babi seperti yang diketahui oleh orang ramai.

“Sehubungan itu saya syorkan penggunaan nama makanan terbabit ditukar kepada nama lain sebaik-baiknya, jangan gunakan lagi nama bak kut teh,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia.

Makanan kegemaran masyarakat Cina itu yang pertama kalinya disediakan dengan menggunakan resepi halal boleh dinikmati di karnival “Fabulous Food 1 Malaysia” di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang berlangsung dari Dis 18 hingga 20 lalu.

Ia akan disediakan oleh chef eksekutif Hotel J W Marriot Zaffar Abdul Samad untuk 300 pelanggan setiap hari.

“Seperti makanan tradisi masyarakat Melayu iaitu nasi lemak yang boleh dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia, kami juga mahukan makanan tradisi popular masyarakat Cina ini mampu dirasai oleh kaum lain,” kata Eileen Chew, pengarah projek dan perhubungan awam Expomal International yang menganjurkan karnival itu bersama-sama Pelancongan Malaysia awal bulan ini.

Antara ramuan yang digunakan termasuklah ayam, makanan laut dan sayur-sayuran bagi menggantikan penggunaan babi dalam bak kut teh yang bermaksud daging, tulang dan teh. Ia dimasak dengan 10 jenis herba seperti anjalika, bunga cengkih dan kulit oren.

Menurut Zaffar, ketiga-tiga hidangan itu dijamin 100 peratus halal dari segi ramuan dan bahan-bahan.

Makanan bak kut teh halal itu mengulangi kontroversi yang sama dengan pengenalan “bir halal” minuman malt tanpa alkohol yang dikenali sebagai Istak di Pameran Halal Antarabangsa 2009 (Mihas 2009) pada Mei 7 lalu.

Malt adalah salah satu ramuan dalam pembuatan minuman beralkohol.

Ia juga ditentang oleh Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman.

Beliau tidak bersetuju dengan pengenalan makanan bak kut teh halal itu.

Maamor berpendapat, langkah itu sebagai salah satu cara halus mengurangkan rasa jijik masyarakat Islam pada babi.

Oleh itu beliau bimbang penyalahgunaan istilah itu akan membuatkan umat Islam lama kelamaan tidak lagi rasa jijik terhadap babi.

“Saya harap Jakim dapat bertindak tegas dengan tidak memberikan logo halal terhadap makanan berkenaan,” katanya. (Pelbagai sumber)

Komen Blog Ibnu Hasyim: Bak kut teh, lebih kurang 'setaraf' dalam pandangan umum macam 'beer halal' atau anjing panas (hot dog).

3 comments:

Anonymous said...

Salam.

Awat dah tak dak sup lain ka depa nak mentekedarah...sup ikan ada, sup ekoq ada, sup gearbox ada, sup kepala lembu pun ada. Awat yg depa kebuloq sgt makanan cina nihh. Tak mati pun kalau tak makan 'bak kut teh'.

Anonymous said...

Betui tu.

Anonymous said...

xpyh la Jakim buat benda2 ni sume..'bir halal' la,'bak kuk teh halal la'..xpyh la..nnt ramai org islam yg keliru..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails