MASJID Kapitan Keling Pulau Pinang di bandaraya, depannya tepi pagar pada pukul 10 lebih, malam tadi, kami terpaksa berbaris untuk makan nasi kandar. Orang sebut 'Nasi Kandar Berbaris' antara nasi kandar tersedap di Pulau Pinang. Hanya ada waktu hampir larut malam saja hingga pagi, kerana siangnya orang lain pula yang berjual di situ.
Saya duduk bersama anak-anak muda PAS di situ. Mungkin baru lepas mesyuarat agaknya. "Bagaimana suasana ceramah sekarang?" Saya tanya setelah mereka kenal saya bekas Ketua PAS Kawasan Balik Pulau satu masa dulu. Mereka antara penggerak Unit Amal di sana.
"Kira-kira beberapa minggu lepas, Ir Mohd Nizar MB Perak PR berceramah di Seberang Jaya begitu mendapat sambutan hebat dari kaum Cina. Ramai yang duduk di barisan depan dan bersorak-sorak gembira. Antara kata-kata mereka, 'ini macam punya orang, jadi PM pun baik ooo!'. Jawab seorang dari mereka. "Lepas itu keluar perintah larangan berceramah. Ceramah Dato' Husam Musa terus dikepung polis.."
"Tetapi..." Yang tua antara mereka menambah, "Ceramah Ustaz Hadi lepas tu, polis tak marah pula?"
"Kenapa?" Saya tanya.
"Tu yang kami pelik.." Yang lain mencelah.
"Apa isi ceramahnya?"
Jawab yang tua antara mereka tadi, "Mula-mula dia ceramah seperti biasa... Lepas itu dia suruh anggota jamaah Islam mesti taat kepada ketua yang dilantik. Yang saya tertanya-tanya, akhirnya dia tekankan konsep 'kerajaan perpaduan'... Saya kurang jelas apa mesej beliau..."
"Ya. Saya ada ternampak di tv baru-baru ini beliau menyebut 'kerajaan perpaduan'. Di Indonesia 'kerajaan perpaduan' di sana, berkongsi memerintah, bila masa pilihan raya bertarung semula mengikut parti masing-masing, kata beliau." Saya pula menyampuk.
"Apakah, kita sedang dibawa ke arah 'kerajaan perpaduan?" Ada pemuda yang bertanya. "Kalau begitu marah la orang Cina yang menyokong PR, seperti yang bersorak-sorak tadi!"
"Tidak.. kalau yang berpadu itu bukan antara parti Melayu dan Islam sahaja. Mungkin termasuk juga DAP?"
"Tak mungkin. Tak mungkin!"
Wallahu 'aklam.
Ibnu Hasyim
ibnuhasyim@gmail.com
George Town.
Mac 04, 2009.