Saturday, September 05, 2009

Ujian Kes Arak: Dr Hasan Ali dipanggil menghadap Sultan.



Mstar Online: Exco Dr Hasan Ali dipanggil menghadap Sultan Selangor

SHAH ALAM Sabtu September 5, 2009 : Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mohamed Hasan Ali hari ini telah dipanggil menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah kerana didakwa tidak memaklumkan kepada Baginda berhubung arahan untuk menangkap orang Islam minum arak di tempat awam negeri itu.

Dr Hasan dilihat memasuki perkarangan Istana Bukit Kayangan pada pukul 11.50 pagi dan meninggalkan istana pada pukul 2.25 petang.

Beliau bagaimanapun tidak langsung memberhentikan kenderaannya ketika melalui sekumpulan wartawan yang mahu mendapatkan komennya mengenai agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

Pada 25 Ogos lalu, Dr Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adatadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Selangor berkata pegawai masjid yang terdiri daripada Nazir, Imam, Bilal dan Siak di lebih 370 masjid di negeri itu telah diberi surat kuasa untuk membantu Jabatan Agama Islam Selangor untuk menangkap orang Islam yang minum arak di tempat awam.

Menurutnya, perkara tersebut dilakukan tertakluk di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Dr Hasan yang juga ADUN Gombak Setia berkata, bagi kesalahan meminum arak di tempat awam, mereka boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Sehubungan dengan itu, Dr Hasan yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata, antara kesalahan yang diberi penekanan untuk dibanteras pada bulan Ramadan ialah makan, minum dan menghisap rokok di khalayak ramai pada masa berpuasa.

Sementara bagi orang Islam yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, menyimpan atau membeli arak pula, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali

Usaha menghubungi Dr Hasan untuk mendapatkan komen beliau mengenai pertemuannya dengan Sultan bagaimanapun tidak berhasil.

Pegawai perhubungan awam dari pejabat Menteri Besar memberitahu pemberita bahawa Menteri Besar, Tan Sri Mohd Khalid Ibrahim tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung mesyuarat tersebut.

Bagaimanapun, Setiuasaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, memaklumkan bahawa mesyuarat antara Baginda Sultan dan Dr Hasan adalah untuk berbincang mengenai isu-isu harian.

Ketika ditanya adakah isu penempata semula kuil turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan, Mohamad Munir hanya ketawa tanpa memberi satu jawapan yang jelas. (AK)

Blog Ibnu Hasyim: Teruskan perjuangan menegakkan keadilan Islam dan kemanusiaan.

Tips Ramadzan: Puasa & Sains


PENYELIDIK ilmu perubatan telah membuktikan bahawa puasa dapat membuang toksik/ racun-racun dari badan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit.

Satu: Menurut Dr. Mac Fadon, seorang doktor dari Amerika, “Puasa adalah seperti tongkat ajaib dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut.” Banyak kejayaan beliau mengubati pesakit-pesakitnya dengan menganjurkan mereka agar berpuasa sebagai alternatif kepada ubatan moden.

Kedua
: Puasa bukan sahaja dapat menjaga kesihatan dan melawan penyakit bahkan dapat menajamkan minda. Dalam ilmu biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal berkesan.

Dr. Alan Cott,
seorang pakar perubatan Amerika Syarikat melaporkan terhadap penyelidikan psikologi telah membuktikan bahawa puasa boleh mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian dilakukan terhadap sekumpulan orang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa. Keputusannya, ternyata menunjukkan orang rajin berpuasa memperolehi skor (markah) yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang tidak berpuasa.

Ketiga: Puasa juga insyaAllah dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Suatu kongres antarabangsa bertemakan “Kesihatan dan Ramadhan” telah diadakan di Casablanca, Morocco pada tahun 1996. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia.

Keputusan didapati, kongres itu telah menekankan 4 fadhilat berpuasa dari sudut kesihatan yang jelas. Rupanya sama dengan 4 resolusi Pertubuhan Kesihatan SeDunia dalam mengenal pasti pelbagai punca penyakit masa kini disebabkan sindrom metabolik. Empat perkara yang sama itu ialah..

1. menurunkan gula darah,
2. tekanan darah,
3. lipid darah dan
4. berat badan atau obesiti
.

Jadi, berpuasa adalah sangat bersesuaian untuk mencegah penyakit sindrom metabolik yang melanda dunia masa kini.

Al-Harits
seorang doktor Arab mengatakan, “Yang banyak membunuh manusia adalah kerana manusia suka memasukkan makanan pada perut sebelum makanan dalam perut dicerna.”

Dr. Alexis Carel seorang doktor antarabangsa dan pernah memperolehi penghargaan nobel dalam bidang kedoktoran menyatakan, dengan berpuasa dapat membersihkan pernafasan.

Puasa dapat manambahkan kesegaran dan kesihatan pada tubuh, kerana perut yang sentiasa bekerja memproses makanan juga perlu berhenti bekerja buat sementara waktu. Dan ketika berpuasa itu, perut kita berehat dan mendapat kesegaran semula untuk bekerja kemudiannya. Sama juga ibaratnya seperti enjin kereta yang mungkin tidak tahan lama jika dipaksa untuk sentiasa berjalan tanpa henti.

Sila lihat tulisan lalu yang ada kaitan denga sambut Ramadzan..

Ada kaitan dengan sukan dan berpuasa...

Puasa Sehatkan Badan.. Rugi Yang Tak Puasa.

SUKAN
Waktu terbaik bersukan adalah 45-60 minit sebelum berbuka dengan ambil masa 30 minit. Boleh di rumah saja tak semestinya ke gym. (SuaraMedia News)

PUASA Ramadzan memang istimewa. Selain bernilai ibadah, puasa juga bermanfaat menyehatkan badan. Bagaimana menjaga tubuh supaya tetap segar bugar dan bersemangat selama puasa walaupun sudah berlalu seminggu lebih? Anda masih tetap semangat berpuasa kan?

Menurut seorang dokter specialis anak RS Pondok Indah Jakarta, Dr Adi Tagor SpA DPH, walaupun telah berusia 73 tahun, lelaki yang dipanggil DrTagor ini tetap semangat berpuasa Ramadan. "Kuncinya ialah menjaga cairan tubuh, itu saja," ucapnya.

Jadi, menurut ilmu perubatan, menjaga kecukupan cairan dalam tubuh merupakan kunci utama puasa yang segar dan berstamina. Dokter, yang juga berpraktikal di sebuah klinik di kawasan Prapanca dan Pondok Pinang itu mengingatkan orang yang berpuasa supaya tidak malas minum air waktu berbuka hingga imsak tiba. Pada malam hari, umumnya orang cenderung tidak merasa haus kerana sistem hormon dan mekanisme nokturnal tubuh telah mengaturnya demikian.

"Akibatnya, orang jadi lupa minum di waktu malam, apalagi kalau di ruangan ber-AC. Padahal, saat puasa seharusnya banyak minum pada malam harinya." kata Tagor, kepada www.suaramedia.com. Kesimpulannya, puasa boleh sehatkn badan, maka rugilah bagi mereka yang tidak berpuasa. (AK)

Sila lihat tulisan lalu yang ada kaitan denga sambut Ramadzan..

Ada kaitan dengan sukan dan berpuasa...

Kuil: Dailog Dengan MB S'ngor -PR Prihatin Pada Rakyat.





BERNAMA: Kerajaan Selangor tangguh cadangan pindah kuil

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri menangguhkan dan akan mengkaji semula cadangan memindahkan Kuil Sri Maha Mariamman dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, mendengar rintihan dan bantahan yang dikemukakan penduduk kawasan itu semasa dialog mengenai isu itu berlangsung.

Turut hadir dalam sesi dialog itu ialah Exco Kerajaan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Batu Tiga, Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md Noor dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Othman Omar.

Abdul Khalid berkata, pemindahan kuil dari Seksyen 19 yang terletak berhampiran kawasan penempatan akan diteruskan, kerana isu itu telah berlarutan hampir 20 tahun dan ia perlu diselesaikan dengan mencari tapak lain yang sesuai.

“Ini bukan senang, langkah seterusnya kita akan berbincang dengan PKNS (bagi mencari) satu tempat yang sesuai dengan Jawatankuasa Kuil Seksyen 19, dan penduduk sekitar yang bakal terbabit. Ia perlu dilakukan segera, pemindahan kuil perlu diselesaikan, kalau tidak jadi isu antara penduduk," katanya. - Bernama

Komen Blog Ibnu Hasyim: Mengikut laporan Bernama ini, walaupun cuba ditonjolkan kelemahan pimpinan PR Selangor, namun hal ini membuktikan kprihatinan PR kepada rakyat berbagai kaum. Tetapi siapa dalang dibelakang 'demontrasi kepala lembu' itu perlu dibongkar dan didedahkan kepada rakyat, terutama pada pengundi bukan Melayu di N31. Jangan bagi can!

Analisis N31: Isu Perkauman Senjata UMNO Makan Tuan.



SEORANG blogger Umno yang juga bekas ADUN Pulau Manis, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (sakmongkol.blogspot.com) membayangkan Umno tidak boleh menggunakan isu ekonomi, demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Demikian kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di KL hari ini, berikutan pilihan raya kecil N31 DUN Bagan Pinang P132 T/Kemang yang dijangka akan diadakan berikutan kematian ADUNnya Allahyarham Azman Mohd Noor semalam.

"Jika digunakan isu ekonomi, rakyat akan bertanya mengapa hanya kroni tertentu sahaja yang mengaut sebahagian yang amat besar dari kek ekonomi? Jika digunakan isu demokrasi dan kedaulatan undang-undang, rakyat akan mempersoalkan adakah Umno menjunjung nilai-nilai demokrasi dan kedaulatan undang-undang? Satu-satunya isu yang boleh digunakan oleh Umno ialah menakut-nakutkan orang Melayu kononnya kepentingan mereka terancam," Salahuddin menjelaskan.

Sebab itulah, kata beliau, Umno mengapi-apikan perkauman.

"Sambil itu, Umno terus menyembunyikan hakikat bahawa Tanah Rezab Melayu susut kira-kira 44 peratus sepanjang pemerintahannya, RM52 bilion dari RM54 bilion saham yang diperuntukkan kepada bumiputera dari 1984 sehingga 2005 hilang entah ditelan kroni siapa, nasib malang orang-orang Melayu di Pulau Pinang, setinggan-setinggan Melayu dizalimi seperti yang berlaku di Kampung Berembang ketika Umno memerintah Selangor dan pelbagai pengkhianatan lain ke atas orang-orang Melayu ketika di bawah pemerintahan Umno dan BN," kata beliau.

Ditanya mengenai 4,925 undi pos di kawasan itu, Salahuddin berkata, PAS akan membincangkan tindakan yang akan diambil mengenai perkara itu. Dalam pilihan raya umum lalu, Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi di mana 66 peratus darinya Melayu, 10.5 peratus Cina, 19.9 India dan 3.5 peratus bangsa-bangsa lain. Dari carian yang dibuat, kawasan itu mempunyai 4,925 pengundi pos.

Mereka adalah dari Pusasda Kem Si Rusa (1,903 undi), 2 KAD Kem Sunggala (1,130 undi), IJED Kem Kg Sawah (847 undi), IPDA Port Dickson (407 undi), 1 Kompeni KPD Kem Si Rusa (265 undi), 1 WKSP Bgd Kem Sg Sawah (165 undi), Sekolah Pertukangan Perintis (105 undi) dan ILMI Port Dickson (103 undi).

Meskipun demikian, dalam pilihan raya umum lalu, calon PAS Ramli Ismail berjaya memperolehi 4,097 undi, hampir kesemuanya dipercayai dari 9,267 pengundi yang tidak mengundi melalui undi pos. Calon BN, Allahyarham Azman Mohd Nor yang meninggal dunia semalam memenangi kerusi itu dengan mendapat 6,430 undi dengan majoriti 2,333 undi.Salahuddin juga mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Azman dan berharap roh beliau dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

Komen Ibnu Hasyim..

Pertama: Dulu dikatakan PAS, DAP adalah parti perkauman bila berkempen di kawasan majoriti Melayu atau Cina. Menyebabkan PAS kalah di kawasan Cina dan DAP kalah di kawasan Melayu. Kerajaan terus meminda kawasan pilihan raya menjadikan undi bukan Melayu sebagai kuasa penentu dalam setiap pilihan raya. Inilah sebenarnya senjata BN.

Tapi suasana kini sudah berubah, rakyat pun sudah muak dengan tingkah laku pemimpin-pemimpin BN. Senjata kuasa penentu pada pengundi bukan Melayu sudah berubah menyokong pembangkang. Senjata BN itu sudah makan tuan. Yang mempertahankan UMNO kini tinggal di kawasan di kawasan majoriti Melayu. Memandangkan N31 DUN Bagan Pinang ini kawasan majoriti Melayu (66%), maka isu perkauman menjadi peluru ampuh bagi pertahankan kawasannya. Mungkin isu pilihan raya kali ini adalah isu perkauman.

Kedua:

Dikatakan UMNO menjadi penaja kepada 'demontrasi kepala lembu' di Shah Alam baru-baru ini, bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangaor, setelah mereka berjaya menjatuh kerajaan PR di Perak. Isunya sudah merebak ke peringkat antarabangsa, contohnya terdapat kecaman dari Yayasan Penganut Hindu Amerika (HAF). Bahkan, kini ianya menjadi isu penting jika dibongkarkan berterusan dan mampu mendedahkan pekung busuk perkauman UMNO kepada pengundi, terutamanya yang bukan Melayu (10.5 % Cina, 19.9% India dan 3.5% bangsa-bangsa lain), pasti boleh menggugat BN dalam pilihan raya kecil tersebut. Sekali lagi, senjata UMNO makan tuan!

Ketiga: Ya. Moga-moga berkubur lagi UMNO dalam pilihan raya kecil kali ini. Apalagi di Negeri Sembilan yang BN menang rapuh.

Akhirnya, Blog Ibnu Hasyim mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Azman wakil rakyat BN itu, dan berharap roh beliau dicucuri rahmat oleh Allah SWT. Amin. (AK)

DATA PILIHANRAYA UMUM 12

P132 TELOK KEMANG (PKR)
Jumlah Pengundi: 60,186 [ M: 40.6% C: 36.1% I: 22.2% L: 1.1%]
1. Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR) (23,348)
2. Datuk S. Sothinathan (BN) (20,544)
3. Mohd. Rashid (Bebas) (601)
Majoriti: 2,804
Jumlah undi: 45,792 Peratus mengundi: 76.08% Undi rosak: 1,299
Penyandang: S. Sothinathan (BN) (Majoriti: 17,777 undi)

N29 CHUAH (PKR)
Jumlah Pengundi: 10,159 [M: 26.4% C: 57.7% I: 21.7% L: 0.09%]
1. Chai Tong Chai (PKR) (4,415)
2. Foo Ming Chee (BN) (3,091)
Majoriti: 1,324
Jumlah undi: 7,670 Peratus mengundi: 75.5% Undi rosak: 164
Penyandang: Foo Ming Chee (BN) (Majoriti: 3,234 undi)

N30 LUKUT (DAP)
Jumlah Pengundi: 11,276 [M: 17% C: 62.3% I: 20.7% L: 0.07%]
1. Ean Yong Tin Sin (DAP) (5,579)
2. Cheok Leong Huat (BN) (3,161)
Majoriti: 2,418
Jumlah undi: 8,920 Peratus mengundi: 79.11% Undi rosak: 180
Penyandang: Datuk Dr. Yeow Chai Thiam (BN) (Majoriti: 1,504 undi)

N31 BAGAN PINANG (BN)
Jumlah Pengundi: 14,192 [M: 66% C: 10.5% I: 19.9% L: 3.5%]
1. Azman Mohd. Nor (BN) (6,430)
2. Ramli Ismail (Pas) (4,097)
Majoriti: 2,333
Jumlah undi: 10,911 Peratus mengundi: 76.88% Undi rosak: 384
Penyandang: Mohd. Faizal Ramli (BN) (Majoriti: 4,411 undi)

N32 LINGGI (BN)
Jumlah Pengundi: 12,711 [M: 55.2% C: 24.1% I: 19.8% L: 0.9%]
1. Ismail Taib (BN) (5,510)
2. Ramlan Roes (PKR) (3,935)
Majoriti: 1,575
Jumlah undi: 9,741 Peratus mengundi: 76.63% Undi rosak: 296
Penyandang: Ismail Taib (BN) (Majoriti: 5,262 undi)

N33 PORT DICKSON (PKR)
Jumlah Pengundi: 11,848 [M: 33.9% C: 36.6% I: 29.1% L: 0.4%]
1. Ravy Munusamy (PKR) (4,475)
2. Datuk T. Rajagopalu (BN) (3,742)
3. Jeeva Kumar Marimuthu (Bebas) (196)
Majoriti: 733
Jumlah undi: 8,550 Peratus mengundi: 72.16% Undi rosak: 137
Penyandang: Datuk T. Rajagopalu (BN) (Majoriti: 1,893 undi)

ADUN Pelabuhan Kelang Sertai UMNO? -The Star.


Adun Pelabuhan Klang akhirnya bersuara

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah hari ini muncul dengan kenyataan rasmi buat pertama kalinya sejak isu yang mengaitkannya untuk menyertai Umno tersebar luas dengan membidas bosnya sendiri Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang mengatakan beliau tidak sihat untuk melaksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat.

Bercakap secara eksklusif dengan akhbar The Star, Badrul menafikan segala dakwaan negatif yang dilemparkan ke atas dirinya apatah lagi dalam soal yang mengaitkannya dengan Umno dan juga isu berkaitan kedudukan mentalnya selepas kononnya terlibat dalam kemalangan.

“Saya tidak terlibat dalam kemalangan sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak termasuk Menteri Besar. Jadi saya tak faham kenapa saya diserang secara peribadi. Apa yang Menteri Besar takut sangat ni?’’ tanya beliau.

Berhubung spekulasi yang beliau akan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Badrul menjelaskan, dia masih wakil rakyat Pelabuhan Klang mewakili PKR.

Dan apabila ditanya kenapa selama ini beliau menghilangkan diri, jawab Badrul, beliau tidak pernah menghilangkan diri tetapi sengaja menjauhkan diri daripada pemimpin PKR dan juga majlis rasmi PKR untuk mengelak tercetusnya sebarang kontroversi lagi.

“Tapi saya nak beritahu, saya tidak menghilangkan diri dari kawasan saya dan juga pengundi saya. Saya bertemu dengan mereka selalu khususnya semasa terawih,’’ ujarnya. Sumber-sumber memberitahu The Star, perasaan di anaktirikan oleh pejabat Menteri Besar bukan dirasai oleh Badrul seorang malah beberapa lagi Adun yang lain khususnya dalam soal pembahagian peruntukkan pembangunan kepada kawasan Dewan Undangan Negeri berjumlah RM500,000 setiap kawasan.

The Star difahamkan, Khalid Ibrahim telah melantik Setiausaha Politiknya, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Adun Seri Setia untuk menguruskan peruntukkan pembangunan bagi Dun Pelabuhan Klang sejak tersebarnya cerita kononnya Badrul tidak sihat untuk melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat. (Star Online/AK)

Malaysiakini Kena Buang 2 Video Ini -SKMM







SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta Malaysiakini membuang dari lamanwebnya dua video yang didakwanya berunsur provokatif, termasuk klip mengenai perarakan kepala lembu.

Dalam suratnya kepada Malaysiakini, SKMM berkata video tersebut mengandungi kandungan yang ofensif dengan niat untuk menimbulkan kemarahan, terutama kaum India.

Pemangku pengarah kanan bahagian pemantauan dan penguatkuasa SKMM, Abdul Halim Ahmad, dalam suratnya yang bertarikh 3 September berkata, ia adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 211/233 AKta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Di bawah undang-undang komunikasi dan multimedia, mereka yang didapati bersalah menyiarkan kandungan tidak senonoh, lucah, palsu, ugutan, atau ofensif, dengan niat untuk menimbulkan kemarahan, menyalahguna, mengungut dan mengganggu mana-mana pihak, boleh didenda sehingga RM50,000 atau dijatuhkan hukuman penjara. (Sumber: Malaysiakini/AK)

Dalam kes ini sila klik ....

Pengalaman 3 AP PR Tinjau Politik Jerman -Khalid Samad.

“SEKADAR pengalaman melawat dan meninjau Politik Jerman,” kata Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad sewaktu membentang laporan lawatan tiga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat meninjau suasana Politik Jerman dalam Seminar Memperkukuhkan Pakatan Rakyat yang diadakan pada 13 Ogos 2009.

Sila lihat klip vedeo ini...







Pembentangan ini dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Serdang, YB Teo Nie Ching yang turut serta melawat Jerman pada 6 ogos lalu bersama-sama Khalid dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dato’ Johari Abdul. (Sumber Jiwa Kelate/AK)

Friday, September 04, 2009

Jangan Tunduk Desakan SIS, JAG -Nasharuddin Mat Isa.


SHAH ALAM - Kerajaan tidak perlu tunduk dengan desakan Sister In Islam (SIS) dan The Joint Action Group for Gender Equality (JAG) yang mahu Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah dikaji semula

Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, berkata kes yang melibatkan model sambilan, Kartika Sari Dewi adalah kompleks memandangkan ia merupakan insiden pertama yang berlaku di bawah Undang-Undang Syariah di Malaysia.

Menurutnya, kedua-dua pertubuhan tersebut telah menjadikan asas syarak, garis panduan hukuman, perundangan dan perlembagaan serta pematuhan terhadap polisi di peringkat antarabangsa untuk dijadikan perbahasan seterusnya untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

“Bagaimanapun, saya tidak bersetuju dengan gesaan drastik pihak SIS dan JAG terhadap kerajaan untuk mengkaji semula Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah di Malaysia bagi membolehkan semua kesalahan jenayah yang dilakukan oleh rakyat di negara ini ditadbir di bawah Kanun Keseksaan peringkat persekutuan.

“Bagi saya ini adalah satu campur tangan di luar daripada bidang kuasa pihak yang mengemukakan cadangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, di bawah Perlembagaan Persekutuan, terdapat peruntukan yang jelas mengenai Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 (1).

Oleh yang demikian katanya, sekiranya Perdana Menteri melayan tuntutan pihak tersebut, pendekatan itu sekali gus mengeruhkan lagi keadaan sehingga mampu menyentuh bidang kuasa Sultan, asas agama dan institusi-institusi Islam di Malaysia.

“Saya khuatir kes Kartika ini akan di manipulasi untuk meminggirkan dan memandang prejudis terhadap Islam, umat Islam perlu berhati-hati dengan usaha pihak-pihak tertentu yang dilakukan secara terancang untuk cuba mengganggu gugat urusan agama Islam termasuk mendoktrinkan kefahaman yang salah daripada ajaran yang sebenar,” katanya. (Sumber Sinar Harian)

Tulisan ini ada kaitan..

P'Raya Kecil N31 DUN Bagan Pinang P132 T/Kemang.

SEREMBAN Jumaat September 4, 2009 : Nampaknya negara akan menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil iaitu pilihan raya kecil yang ke-9 apabila ADUN Bagan Pinang, Azman Mohd Noor meninggal dunia sebentar tadi. DUN Bagan Pinang terletak di dalam kawasan Parlimen P132 Telok Kemang.

Pada pilihan raya umum yang ke 12, Azman memenangi kerusi tersebut dengan menewaskan Ramli Ismail dari Pas dengan majoriti 2,333 undi. Beliau memperolehi 6,430 undi manakala Ramli pula 4,097 undi. Kawasan tersebut mempunyai komposisi 66% pengundi Melayu; 19.9% India; 10.5% Cina dan 3.5% lain-lain kaum.

Menurut laporan awal, kematian Azman adalah disebabkan serangan jantung. Beliau dilaporkan meninggal dunia pada jam 2.30 petang di Hospital Pakar Seremban. Azman berusia 55 tahun. Kerusi DUN Bagan Pinang secara tradisinya adalah kubu BN. Sebelum ini calon BN, Mohd Faizal Ramli memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 4,411 undi. Bagaimanapun dalam situasi politik negara sekarang, adalah jelas sekali, pilihan raya kecil yang bakal diadakan nanti pasti menyaksikan persaingan yang sengit.

Apatah lagi Parlimen Telok Kemang sekarang dikuasai oleh Parti Keadilan Rakyat. Terdapat lima DUN di dalam kawasan Parlimen Telok Kemang. Tiga dikuasai oleh pembangkang manakala BN dua kerusi. Kerusi-kerusi yang kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat ialah DUN Chuah (PKR), DUN Lukut (Dap) dan DUN Port Dickson (PKR). Manakala DUN yang dikuasai BN pula selain Bagan Pinang ialah DUN Linggi. (AK)

18 Ditahan Cuba Cetus Rusuhan

GEORGETOWN - Lapan belas termasuk peguam, Darshan Singh Khaira selepas menimbulkan kekecohan dan menghalang polis menjalankan tugas semasa kerja meroboh rumah penduduk Kampung Buah Pala, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid berkata, tiga daripada yang ditahan adalah wanita.

“Mereka ditahan kerana cuba melakukan rusuhan. Kehadiran wakil parti politik dan beberapa pertubuhan yang mencetuskan kekecohan yang tidak sepatutnya berlaku. Dua pegawai polis dipukul dalam kejadian itu,” katanya.

Azam berkata, tindakan penduduk dan pihak luar menghalang operasi pemaju untuk merobohkan rumah penduduk adalah salah sama sekali memandangkan pada 13 Ogos lalu, mereka bersetuju mengosongkan penempatan itu.

“Setakat hari ini (semalam), empat rumah telah dirobohkan pemaju manakala penghuni rumah yang lain telah memohon pemaju memberi tempoh sehingga lima hingga tujuh hari bagi mencari penempatan baru.

"Operasi merobohkan penempatan penduduk juga adalah sah kerana mereka telah menerima perintah mengosongkan rumah oleh mahkamah bagi tujuan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini, semalam.

Azam berkata, beliau tidak menolak kemungkinan antara pihak luar terlibat adalah ahli-ahli MIC, Makkal Sakti dan Hindraf yang dilihat bersatu hati dalam mempertahankan perkara yang ‘salah’.

Menurutnya, kecederaan pertama yang berlaku sewaktu pergelutan yang berlaku antara polis dan pihak luar dialami oleh rakan pemaju tatkala ia dipukul penduduk dan mengalami kecederaan di peha ketika hendak memasuki rumah penduduk untuk dirobohkan.

“Polis akan menjalankan siasatan dengan secepat mungkin dan ianya akan dilengkapkan dengan segera," katanya.

Kesemua ditahan atas kesalahan mencetuskan rusuhan di bawah Seksyen 147 dan kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas mengikut Seksyen 186. (Sumber: Sinar Harian)

Syabas Zunar, Seorang Kartunis Hebat! -Ibnu Hasyim.


Bawah: Zunar dengan kartun hebatnya..
KETUA Editor majalah humor politik Gedung Kartun, Zulkiflee Anwar Ulhaque atau Zunar menegaskan bahawa pihaknya tidak akan mengemis pada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung permit majalah tersebut.

“Kalau hendak lulus, luluslah. Kalau tidak, kami tidak akan mengemis pada KDN.

"Kami boleh buat (terbitkan) dalam bentuk lain,” kata kartunis Zunar yang terkenal dengan 'kartun hidung besar' mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mengulas cabaran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada Gedung Kartun supaya membawa KDN ke muka pengadilan jika tidak berpuas hati dengan rampasan majalah tersebut minggu lalu. Hishammuddin dilaporkan berkata, majalah satira politik itu diterbitkan tanpa permit dan bercanggah dengan undang-undang sedia ada.

Menteri itu juga dilaporkan menyarankan supaya Zunar yang juga bekas editor Suara Keadilan itu, bertemu dengan pegawai KDN terlebih dahulu berhubung perkara itu. Mengulas kenyataan Hishammuddin itu, Zunar berkata, pihaknya tidak berniat memanjangkan isu tersebut ke mahkamah kerana ia bukan tujuan Gedung Kartun diterbitkan.

“Apa ertinya cabaran ini? Kami bukan mahu mencabar atau minta dicabar. Kita sudah jawab apa yang perlu, kita berikan fakta kita, KDN perlu jawab.

"Kalau mereka kata permit (Gedung Kartun) dalam proses, kita hendak tahu pendirian mereka, lulus atau tidak?," katanya.

Ekoran kenyataan Hishammuddin itu, pihak pengurusan majalah tersebut turut membatalkan hasrat mereka hendak bertemu menteri berkenaan seperti yang dirancang sebelum ini.

“Kalau dia (Hishammuddin) cakap macam itu, buat apa hendak jumpa. Buang masa,” kata Zunar.

Selasa minggu lalu, pejabat majalah itu diserbu lapan pegawai kementerian dan 408 naskhah majalah dirampas. Sehari kemudian, kilang percetakannya di Seri Kembangan, Serdang pula diserbu sekumpulan pegawai KDN dan 18 plet percetakan dirampas. Tindakan itu dipercayai berkaitan kandungannya, antaranya memaparkan gelagat Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Isteri perdana menteri, Rosmah Mansor, pula digambarkan sebagai dalang yang menggerakkan wayang kulit berkepala suaminya, selain seorang yang menggunakan khidmat bomoh dan dilabelkan sebagai "Rosmoh."

Setebal 68 halaman, Gedung Kartun juga menggelarkan Najib sebagai "Datuk Nazak", dipercayai singkatan namanya dan bapanya Tun Abdul Razak Hussain.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Syabas Zunar, anda seorang kartunis yang hebat. Teruskan perjuangan anda demi kebenaran dan keadilan. (Sumber: Malaysiakini/AK).

Thursday, September 03, 2009

Take Beer! Take Beer! Jijiknya UMNO.. Hanipa Maidin


Benarkah UMNO Jijik Pada Arak?

Oleh MOHAMED HANIPA MAIDIN


HAMPIR 200 ahli UMNO berhimpun di hadapan pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan pihak berkuasa tempatan itu merampas minuman keras di sebuah kedai serbaneka di Seksyen 8 di sini pada 29 Julai lalu.

Dalam perhimpunan yang bermula pukul 3 petang itu, kesemua mereka turut mengutuk tindakan Exco Selangor, Ronnie Liu yang mengarahkan MBSA memulangkan semula 70 tin dan botol minuman keras kepada kedai serbaneka terbabit serta membenarkan penjualan minuman tersebut kepada penduduk di situ yang majoritinya adalah penganut Islam.

Kesemua penyokong Umno tersebut turut membawa beberapa sepanduk yang antaranya tertulis 'Ajar Ronnie dengan ISA'; 'Pakatan Rakyat Halalkan Arak' dan 'Pas Dulu Takbir, Sekarang Take Beer (ambil arak)

"Kami mengutuk tindakan Ronnie menghalang dan memaksa MBSA memulangkan semula arak berkenaan selain mengatakan bir bukan minuman keras adalah satu kenyataan yang dangkal, bodoh serta tidak bertanggungjawab," kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Shah Alam, Azhari Shaari selepas menyerahkan memorandum sokongan kepada Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md. Nor.

Tambah Azhari, kenyataan Ronnie itu juga satu bentuk penghinaan kepada umat Islam kerana arak tidak kira berapa kandungan alkoholnya adalah haram dan ia dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran serta difatwakan oleh Majlis Fatwa Selangor dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Secara peribadi saya merasa simpati kepada saudara-saudara kita dalam Umno tersebut. Mengapa? Saya yakin dan percaya mereka tidak tahu apa yang mereka buat . Mereka membantah hanya kerana ingin membantah dan kerana kepentingan politik yang sempit. Memandangkan isu ini melibatkan Pakatan Rakyat , Umno mengambil peluang menjaja isu ini tanpa memahami isu ini dengan betul. Inilah perangai Umno. Semasa isu babi dahulu mereka mainkan isu itu macam orang gila babi- berbuih -buih mulut mereka. Akhirnya dilaporkan ada pemimpin mereka yang terbabit dalam industri tersebut.

Jika ahli-ahli Umno tersebut membuka sedikit mata mereka nescaya mereka akan sedar sebenarnya Umnolah yang menjadi punca mengapa arak sehingga kini dibenarkan dijual di kedai-kedai serbaneka seperti 7 Eleven.

Untuk saudara-saudaraku dalam Umno perkara pertama yang kamu kena faham adalah penjualan arak atau minuman keras di kedai serbaneka adalah dibenarkan oleh Akta Eksais 1976 ( Akta 176 ). Penjualan itu juga dikawal oleh Peraturan-Peraturan Eksais ( Penjualan Liqour yang memabukkan ) 1976.Undang-undang tersebut digubal oleh Umno kerana ia terletak di bawah bidangkuasa Kerajaan Pusat yang dikuasai oleh Umno dan sekutu-sekutunya.

Ya , benar dari segi hukum Islam sesuatu mimuman adalah dikira haram meskipun kandungan alkoholnya adalah sedikit misalnya 1 peratus sahaja. Dalam keadaan hukum fiqah yang sudah terang dan jelas Umno masih boleh lagi menggubal undang-undang yang bercanggah dengan hukum fiqh yang jelas itu dengan menyatakan bahawa jika kandungan minuman yang dijual di kedai serbanika yang mengandungi kandungan kurang dari 8 peratus maka ianya “tidak haram” dan dibenarkan dijual di kedai serbanika tersebut.

Atas dasar itu Umno tidak sepatutnya menyalahkan Ronnie Liu kerana Ronnie hanya merujuk kepada undang-undang yang Umno gubal sendiri – undang-undaang yang membenarkan beer dijual di kedai-kedai serbanika. Mengapakah selama ini dan sehingga sekarang ini Umno tidak pernah membuat bantahan atau berdemonstrasi menentang undang-undang yang mereka gubal tersebut. Kalau betul Umno jijik dengan arak parti tersebut sepatutnya meminta Kerajaan Pusat yang dikuasai Umno meminda undang-undang yang saya nyatakan tersebut supaya penjualan beer di kedai-kedai serbanika dapat dihentikan.

Perkara kedua yang sepatutnya Umno perlu buat jika mereka benar-benar jijik pada arak adalah mereka juga sepatutnya terlebih dahulu membuat bantahan atau demonstrasi di negeri-negeri yang Umno kuasai . Sehingga kini di negeri-negeri yang Umno kuasai seperti Johor misalnya masih membenarkan minuman beralkohol seperti beer dijual dikedai-kedai serbanika seperti 7 Eleven. Mengapa kita tidak dengar bantahan oleh Umno sehingga kini. Adakah arak hanya haram di Selangor dan tidak di Johor dan negeri-negeri yang Umno perintah. Nampaknya ada “pengharaman terpilih” di sini.

Perkara ketiga jika Umno benar-benar jijik pada arak atau dalam Islam dipanggil “ummu al-khabaith (ibu segala perkara buruk ) mengapakah Umno tidak pernah membantah tindakan Kemeneterian Dalam Negeri (KDN) yang membenarkan akhbar-akhbar bahasa Inggeris menyiarkan iklan-iklan arak di akhbar-akhbar tersebut.

Untuk makluman Umno , Pemuda PAS pernah menghantar memorandum bantahan kepada pihak KDN tentang hal tersebut . Semasa kami berjumpa dengan Setiausaha sulit Menteri yang bertanggungjawab beliau menyatakan kepada kami “ mengapa perlu risau iklan arak kalau kita kuat iman”. Saya menjawab kepada beliau tanda orang kuat iman adalah beliau mengharamkan apa yang Allah dan RasulNya haramkan.” Lihatlah mentaliti pemimpin Umno.

Perkara Keempat mengapa sehingga kini Umno tidak bersuara tentang hidangan arak dalam kapalterbang milik MAS. Jika Umno benar-benar peka kepada pekerja-pekerja Islam di 7 Eleven mengapa mereka tidak peka kepada nasib para pramugara dan pramugari Islam yang terpaksa menghidang arak kepada para penumpang MAS ? Dan adakah Umno sedar pembayaran Duti Eksais arak dikecualikan kepada Syarikat Air Asia X Sdn Bhd melalui Perintah Duti Eksais ( Pengecualian ) ( Pindaan ) No 2 ( 2008 ) yang diwartakan dan berkuatkuasa 1 hb Julai 2008.

Akhirnya jika Umno benar-benar jijik kepada perkara haram seperti arak dan judi mengapa sehingga kini Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan dan Perbendaharaan masih tidak segan silu “muntah kedarah” cukai hasil –hasil haram ini. Adakah Umno sedar di bawah Perbendaharaan sahaja ada lebih kurang 6 Akta yang berkaitan dengan perjudian iaitu Akta Pertaruhan 1953 ( Akta 495 ), Akta Betting & Sweepstake Duties Act 1948 ( Akta 201 ), Akta Rumah Judi Terbuka 1953 ( Akta 289 ), Akta Cukai Perjudian 1972 ( Akta 65 ), Akta Loteri 1952 ( Akta 288 ) dan Akta Pertaruhan Pool 1967 ( Akta 384 ).


Diangkat dari BLOG PEGUAM PAS (AK)


Dalam kes ini sila klik ....
1....Apa Erti Kepala Lembu Berdarah Di Depan Pagar?

2..Ini Bukti, Siapa Di Belakang Demo Kepala Lembu Itu...


Sokong PAS Pahang 5 Deklarasi B/M'sia... Bahasa Cina?

Oleh Asyok Kumar

KL. Blog Ibnu Hasyim menyokong PAS negeri Pahang yang akan menyerahkan lima deklarasi kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menuntut kerajaan memartabatkan semula Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, seperti yang dinyatakan oleh editornya Dr Hj Mohd Hasyim ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau menyokong Ketua Penerangan PAS Pahang, Hasanuddin Salim yang berkata lima deklarasi bahasa yang telah diperolehi hasil Kovensyen Memartabatkan Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Rasmi dan Pembudayaan Bangsa anjuran PAS Pahang, di Jerantut, baru-baru ini menuntut kepada pemerhatian serius kerajaan yang memerintah.

"Selain dari angka 3 juta pelajar jadi korban akibat pengamalan dasar PPSMI sebagaimana yang didedahkan Muhyiddin, saya juga bersetuju dengan tuntutan supaya bahasa Malaysia itu sendiri hendaklah menjadi bahasa pembudayaan negara. Saya juga melihat pembudayaan bahasa amat penting bagi memperkukuhkan jati diri bangsa. Bahasa juga boleh berperanan membentuk perpaduan nasional." katanya.

"Walaupun begitu bahasa Cina juga perlu dimartabatkan," Jelas Dr Mohd lagi. "Kalau perlu di Malaysia ini diletakkan Bahasa Malaysia bahasa utama, bahasa Cina bahasa kedua dan meletakkan bahasa Inggeris di bawahnya.”

Dr Mohd pernah mencadang di dalam blognya 4 sebab, mengapa beliau berpandangan begitu?

Pertama
: Kerana penduduk berbangsa Cina adalah bangsa kedua ramainya di Malaysia, sesudah bangsa Melayu. Bangsa Eropah yang menggunakan bahasa Inggeris tidak termasuk bangsa yang ramai bahkan bangsa penjajah yang telah mengekalkan penjajahannya dari berbagai sudut sejak dulu hingga sekarang. Kini kita sudah merdeka, mengapa masih mengekalkan bahasa mereka terutama dalam pentadbiran negara? Menganggap tiada menggunakan bahasa itu sebagai menghalang kemajuan adalah bukan realiti dan boleh dibahaskan lagi.

Kedua: Bahasa Cina adalah bahasa yang digunakan oleh penggunanya bangsa yang teramai di dunia, bahkan bertebaran di serata negara. Ianya dapat membantu orang Malaysia di luar negara seperti juga penggunaan bahasa Inggeris yang sudah lama didaulatkan di negara ini.

Ketiga: Mengseimbangkan pengetahuan bahasa di kalangan bangsa-bangsa di Malaysia terutamanya orang Melayu. Kalau orang Cina wajib tahu bahasa Melayu, maka adalah lebih baik juga orang Melayu tahu bahasa Cina. Kalau ada yang menganggap tidak tahu bahasa Cina antara penyebab kelemahan orang Melayu dalam perniagaan, maka hal ini dapat diatasi.

Keempat: Suatu kejayaan dan keuntungan dalam politik Islam, apabila dapat menarik orang Cina menyokong Islam, walaupun mereka tidak perlu masuk Islam. Yang penting sekali ialah agama, bukan sahaja bahasa dan bangsa.

Dr Mohd yang juga pernah mencadangkan supaya Presiden PAS belajar bahasa Cina dalam blognya juga bersetuju dengan kenyataan Nik Abdul Aziz baru-baru ini bahawa, Pas juga sedia dirombak asalkan parti yang baru ditubuhkan itu mengamalkan dasar dan prinsip Islam sama seperti yang diperjuangkan selama ini.

"Tok Guru Nik Aziz memang pandang jauh kedepan!" Jelas Dr Mohd yang juga Presiden Grup Universiti Ulu Klang. (AK)

Rujukan:
Antara Artikel Merdeka dalam blog ini..

MLTR: Lucu, JPM Tegur Maksiat Bulan Puasa Saja.

HALAMAN HIBURAN
Konsert Michael Learns To Rock: Jamil Khir tegur penganjuran pada bulan Ramadan

KUALA LUMPUR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom hari ini menegur penganjur konsert Micheal Learns to Rock kerana menganjurkan konsert itu pada bulan Ramadan.

Beliau berkata tindakan penganjur meneruskan konsert itu Sabtu ini di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang tidak menghormati bulan Ramadan dan tidak peka dengan sensitiviti umat Islam di negara ini.

"Sewajarnya mereka peka apabila di bulan Ramadan yang mulia lagi suci ini umat Islam menjalani ibadah puasa pada waktu siangnya dan ibadah terawih dan tadarus pada malamnya," katanya dalam kenyataan di sini.

Jamil Khir berkata teguran beliau itu harus dilihat selaras dengan semangat 1Malaysia demi perpaduan dan kesejahteraan semua pihak. BERNAMA

Komen Blog Ibnu Hasyim:
Apa punya JPM, dah nak buat baru tegur? Pemuda PAS sudah seminggu lebih sebelum itu memberi amaran. Majlis Fatwa pun diam juga. 'Hantu bisu'! Itu gelar Nabi kepada ulama yang diam tidak mahu menyatakan kebenaran. Hantu atau syaitan satu perkara, bisu pula satu perkara lagi. Sudah 2 kali salah.

Dah la tu, ustaz JPM cuma tegur maksiat dalam bulan puasa sahaja. Ertinya waktu lain boleh. Memang orang kampung kata 'ulama ketam tumpul'. Mengetam, hendak melicinkan kayu atau papan yang berserabut.. bila terhalang dengan teras kayu atau buku keras, tukang ketam itu angkat. Tak mampu nak tekan. Sepatutnya di situlah kena tekan lagi kuat! Kalau begitu bila papan atau kayu nak licin? Itulah ulama-ulama anak didik UMNO, ampusana, ampusini!

Lanjutnya sila klik...

1..Kapan Partai Islam Indonesia Mahu Ikut PAS?
2..MLTR: UMNO & Majlis Fatwa Hina Islam? -Dr Mohd Hasyim...

Anwar Temui 9 ADUN, Proses Awal Tawan Terengganu?

Malaysiakini: Anwar sendiri temui 9 ADUN Umno

KETUA Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengadakan pertemuan bersama sembilan ADUN Umno Terengganu tetapi tidak pasti ia melibatkan usaha menggulingkan kerajaan negeri.

Wakil rakyat Hulu Besut, Nawi Mohamad hari ini mengakui bahawa pertemuan antara Anwar dan sembilan orang wakil rakyat itu – yang diura-urakan menyertai PKR sebelum bergabung dengan lapan ADUN PAS – memang telah diadakan.

Nawi bagaimanapun menjelaskan tidak mempunyai maklumat lengkap kandungan perbincangan kedua-dua pihak berkenaan.

"Saya tidak tahulah apa yang dibincangkan dan ia juga tiada kena-mengena dengan saya," katanya, sambil menegaskan beliau sendiri tidak tersenarai dalam sembilan ADUN yang akan meninggalkan parti.

"Yang sembilan orang itu tidak termasuk saya. Kalau sepuluh orang pun tidak termasuk lagi," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, beliau tidak termasuk daripada 10 ADUN Umno yang bertindak memboikot persidangan DUN Terengganu, April lalu.

Tidak lama selepas insiden yang mengejutkan itu, kedengaran ura-ura PKR mendekati beberapa ADUN Umno untuk meninggalkan parti dan menyertai PKR.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Apakah Terengganu akan tumbang kepada PR? Sila klik dan baca artikel di bawah... Pilihan Raya Di DUN Terengganu Pula? (AK)

Kenyataan Nik Aziz Lama Ditunggu -Hu Pang Chaw


BERNAMA: Bukan Islam mahu tahu hak mereka bila sertai PAS

PEMIMPIN PAS diminta terlebih dahulu meyakinkan masyarakat bukan Islam mengenai kesungguhan parti itu mempelawa mereka menyertai PAS, termasuk kesediaan mengubah dasar dan perlembagaan parti.

Pengerusi Kelab Penyokong Pas Kebangsaan, Hu Pang Chaw, berkata masyarakat bukan Islam juga ingin mengetahui hak-hak yang akan mereka peroleh termasuk sama ada suara dan pandangan mereka diterima oleh parti itu.

"Kami takut suara kami tidak diambil kira manakala hak lain pula dipinggirkan," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam bahawa sudah sampai masanya parti itu membuka keahliannya kepada bukan Islam selaras dengan dasar PAS yang tidak berteraskan perkauman.

Hu berkata kenyataan Nik Aziz itu sebenarnya sudah lama ditunggu masyarakat bukan Islam yang menyokong parti itu memandangkan cadangan membuka keahlian parti sudah lama dibincangkan namun seolah-olah tidak diendahkan parti itu.

"Jika serius segerakanlah perkara ini dan ubahlah perlembagaan bagi membolehkan kami menyertai PAS," katanya.

Hu berkata kelab itu mempunyai 20,000 orang anggota di seluruh negara. BERNAMA

Jawapan ekoran dari kenyataan ini.. klik..

Setuju Tubuh Kompenan, PAS Sedia Dirombak -Nik Aziz

Wednesday, September 02, 2009

Ini Bukti, Siapa Di Belakang Demo Kepala Lembu Itu..

JOM KREATIF
CUBA lihat gambar ini. Demontrasi mengarak kepala lembu berdarah yang berlaku beberapa hari lalu. Dikatakan Umno bukan sahaja didakwa cuba menjatuhkan kerajan Pakatan Rakyat di Selangor melalui isu cadangan pembinaan kuil di Seksyen 23, di sini; malah parti itu cuba mencipta pergelutan dengan penganut agama Hindu di Selangor melalui aksi ekstrem pihak terbabit.

Di sebalik klip youtube yang merakamkan insiden tersebut, sebenarnya ada jawapan yang tersembunyi. Lihat analisis emperikel bersama dua Exco Pemuda PAS Selangor Nadzham Hj. Ahmad Nazir dan Mohd Khairul Afandi Ibrahim..



Berdasarkan klip youtube tersebut, Nadzham mendakwa bahawa dalang sebenar perhimpunan terbabit adalah Pengerusi Penaja Umno Cawangan Seksyen 23, Hj. Azmir Md. Zain, di sini. Jelasnya, Azmir merupakan adik kandung kepada bekas Adun Kota Anggerik Dato’ Nawawi Md. Zain (dalam Parlimen Shah Alam); yang mewakili Umno dalam pilihanraya umum ke-12 lalu.

“Kalau dah ada Ketua Penaja Umno (cawangan) Seksyen 23 menjadi kepala demontrasi itu, siapa lagi dalangnya,” katanya. “Kalau orang PAS, kita (ahli-ahlinya) tidak akan demontrasi isu perkauman, (sebaliknya) kita akan demontrasi isu hak asasi dan Islam. Sudah lama kita (pemimpin PAS) ditangkap, kena gas pemedih mata, dibelasah FRU (atau) dikenakan Akta Hasutan serta iSA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).”

Jelasnya lagi, Azmir turut dikenali khalayak tempatan sebagai salah seorang samseng yang menguasai kawasan panas, Up-Town Shah Alam. "Dia (Azmir) salah seorang yang kuasai Up-Town Shah Alam. Itu sebab walaupun penduduk setempat bantah (dan) pungut tandatangan bantahan disebabkan (bunyi) bising-bising, sampai sekarang tak berjaya (dipindahkan); sebab Dato’ Nawawi (abang kandung Azmir) di belakangnya…antara gangsternya (adalah) Achai, juga pemuda Umno Shah Alam.”

Nadzham yang pernah dikenali sebagai ‘otai’ Pemuda Umno Shah Alam pada era reformasi 1998, sebelum menyertai PAS turut mendedahkan bahawa Gangster bernama Achai juga merupakan orang penting kepada pemimpin pemuda Umno tempatan, Dato’ Nawawi Md. Zain.
“Achai ini bukan (saja) kawan dia (Azmir), tapi adik pada Zack (iaitu) Setiausaha Kerja kepada Dato’ Hj. Nawawi Md Zain. Dia (Achai) orang penting pemuda Umno.”

Tambah Nadzham lagi, antara demontran yang cuba menyamar sebagai pemuda PAS dalam demontrasi ekstrem tersebut adalah bekas Bendahari Pemuda Umno Shah Alam sendiri, selepas meneliti klip youtube Malaysiakini. Menurut Khairul Afandi pula, demontrasi melampau tersebut turut disertai oleh Ketua Pemuda Umno Selayang, Sohaimi Shahadan. (AK)

Dalam kes ini sila klik ....
..Apa Erti Kepala Lembu Berdarah Di Depan Pagar?

Mengenai jom kreatif sila klik..