Saturday, November 07, 2009

Adam's Peak Sri Lanka, Lambang Kesatuan Manusia

CATATAN PERJALANAN SRI LANKA 6
Gambar atas: Inilah 'Adam's Peak', Pincak Adam. Di sini kononnya terdapat kesan tapak kaki Nabi Adam AS, se waktu diturun Allah ke dunia, seperti gambar di bawah.


Rombongan dari Malaysia pernah datang ke sini.

SETELAH Allah swt menciptakan bumi, langit, malaikat-malaikatnya; Allah mahu menciptakan pula sejenis makhluk lain yang akan menghuni dan mengisi bumi serta memeliharanya. Kerana itu Adam AS diciptakan.

Adam merupakan nabi dan juga manusia pertama yang bergelar khalifah Allah yang dimuliakan dan ditinggikan derajatnya menjadi nabi yang pertama. Baginda diutuskan kepada anak cucunya agar menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Maka di antara mereka ada yang taat dan ada ingkar. Nabi Adam AS mulanya ditempatkan di syurga tetapi telah diturunkan ke bumi bersama isterinya, Hawa.

Pertama:

Bagaimana Adam AS menurut kepercayaan Yahudi dan Kristen? Dikatakan, lukisan dinding fresco 'Penciptaan Adam'oleh Michelangelo, yang terdapat di langit-langit Kapel Sistine, di Vatikan, memperlihatkan Allah menciptakan Adam, bersama Hawa di tangan-Nya. Meskipun tidak sepenuhnya sesuai dengan kisah dalam Kitab Kejadian, lukisan ini adalah salah satu gambaran paling termasyhur tentang penciptaan Adam dan Hawa dalam seni lukis Barat.

Adam ("tanah" atau "manusia", bahasa Ibrani Standar אָדָם, Adam; "tanah" atau "coklat muda", bahasa Arab آدم, Adam) adalah manusia pertama yang diciptakan oleh Elohim menurut tradisi keagamaan Abrahamik. Kisah tentang Adam terdapat dalam Kitab Kejadian yang terdapat dalam Torah dan Alkitab, pasal 2 dan 3, dan juga disinggung sedikit dalam pasal 4 dan 5.

Beberapa rincian lain tentang hidupnya terdapat dalam kitab-kitab apokrif, seperti misalnya Kitab Yobel, Kehidupan Adam dan Hawa dan Kitab Henokh. Menurut kisah di atas, Adam diciptakan oleh Allah "menurut gambar dan rupa [Allah], yang tentunya tidak sama dengan pandangan Islam. Ia kemudian ditempatkan dalam Taman Eden yang artinya tanah daratan. Letaknya di hulu sungai Pison, Gihon, Tigris dan Efrat, di sekitar Irak sekarang. Ia kemudian diperintahkan untuk menamai semua binatang, dan kemudian Allah memberikan seorang penolong, iaitu wanita yang oleh Adam dinamai Hawa.

Adam dan Hawa tinggal di taman Eden dan berjalan bersama Allah. Namun akhirnya mereka diusir dari taman itu kerana mereka melanggar perintah Allah untuk tidak memakan buah dari 'pohon pengetahuan' tentang yang baik dan yang jahat. Setelah diusir dari taman itu, Adam harus bekerja untuk menghidupi mereka berdua. Adam dan Hawa mempunyai tiga orang anak yang disebut dalam Kitab Kejadian: Kain, Habel, Set, dan 'anak-anak lelaki dan perempuan' lainnya.

Kitab Yobel menyebutkan dua orang anak perempuan Adam dan Hawa, iaitu Azura, yang berkahwin dengan saudaranya Set, dan Awan berkahwin dengan kakaknya Kain. Baik 'Kitab Kejadian' mahupun 'Kitab Yobel' menyatakan bahawa Adam mempunyai anak-anak yang lain, namun nama mereka tidak disebutkan. Menurut silsilah Kitab Kejadian, Adam meninggal dunia pada usia 930 tahun. Dengan angka-angka seperti itu, perhitungan seperti yang dibuat oleh Uskup Agung Ussher, memberikan kesan bahawa Adam meninggal hanya sekitar 127 tahun sebelum kelahiran Nuh, sembilan generasi setelah Adam.

Ertinya, masa hidup Adam bertumpang tindih dengan Lamekh (ayah Nuh), sekurang-kurangnya 50 tahun. Menurut Kitab Yosua, kota Adam masih dikenal pada waktu bangsa Israel menyeberangi Sungai Jordan ketika memasuki Kanaan. Menurut legenda, setelah diusir dari Taman Eden, Adam pertama kali menjejakkan kakinya di muka bumi di sebuah gunung yang dikenal sebagai Puncak Adam atau Al-Rohun, yang kini terdapat di Sri Lanka.

Kedua:

Adapun diriwayatkan bahawa Nabi Adam diturunkan di atas sebuah gunung di Sri Lanka yang pada masa ini digelar Puncak Adam (Adam’s Peak). Di puncak ini dikatakan tempat Nabi Adam menjejakkan kakinya selepas diturunkan dari syurga. Tempat ini bukan saja dianggap istimewa oleh orang Islam tetapi juga menjadi tempat suci bagi penganut Buddha, Hindu dan Christian. Pada saya, di sinilah Nabi Adam AS menjadi lambang kesatuan manusia. Daripada beliaulah wujudnya manusia hari ini, setelah berlaku kemusnahan manusia pertama dalam banjir besar di zaman nabi Noh AS, tetapi tidak habis semua.

Ketiga:

Hawa pula dikatakan diturunkan di tempat yang sekarang digelar Jeddah, Arab Saudi. Jeddah berasal dari perkataan arab yang bermaksud ‘nenek’. Oleh kerana Hawa adalah ibu pertama semua manusia, maka tempatnya dinamakan Jeddah sempena beliau. Diriwayatkan juga Nabi Adam dan isterinya Hawa mengambil masa 40 tahun untuk bertemu kembali setelah diturunkan ke bumi.

Tempat pertemuan mereka adalah di Jabal Rahmah di Padang Arafah. Disinilah bertahun-tahun mereka memohon ampun daripada Allah. Wukuf di padang Arafah merupakan salah satu rukun Haji, bagi mengingati kembali peristiwa Adam dan Hawa.

Keempat: Perjalanan saya semalam seperti catatan sebelum ini tidak sampai ke puncaknya, kerana jalan kenderaan mati. Kena jalan kaki kira-kira 5 kilometer lagi. Saya lihat kedai-kedai di sana semuanya tutup, tiada jual makanan, apalagi makanan Islam, kecuali bilik sewa. "Sekarang memang tidak ramai pengunjung.. Bulan depan, Disember cuti sekolah baru ramai. Baru meriah, semua kemudahan ada.. " kata penjaga rumah sewa itu.

"Takkanlah aku nak pergi sorang-sorang, walaupun ada touris guard. Jom kita balik!!" kata saya kepada pemandu teksi itu.

Sebenarnya, saya pun bukan minat sangat. agak patut-patut saja.

Sekian. Esok sambung lagi.
Ibnu Hasyim, Catatan Perjalanan.
ibnuhasyim@gmail.com
November 7, 2009
Lagi 5 Kilimeter ke Puncak Adam, Sri Lanka.

Lihat yang berkaitan...

Marahkan Dr Aziz Adalah Primitif -Dr Hasbullah


KUALA LUMPUR, 7 Nov: Harakah melaporkan para pemimpin PAS digesa agar jangan sesekali menolak persepsi ke atas mereka kerana diabad ini persepsi sudah dianggap sebagai satu maklumat, kata Dr Abu Hassan Hasbullah.

Atas dasar itu, katanya, para pemimpin PAS mesti menerima pandangan Dr Abdul Aziz Bari sebagai satu maklumat dan diambil tindakan sewajarnya dan bukan mencari bagaimana persepsi itu terbina. Dr Hasbulah menyatakan perkara ini ketika memberikan rumusan kepada sessi percambahan minda sempena Seminar PAS di Dewan Datuk Fadzil Noor hari ini.
Abu Hassan dipercayai mengulas pandangan dan soalan sesetengah pemimpin PAS yang mempertikaikan pandangan Dr Aziz dengan mempersoalkan di mana sumber dan bukti tulisan Aziz itu.

AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik dan Setiausaha Pemuda PAS, Kamaruzaman Mohamad mengasak Dr Aziz termasuk mencabar beliau turun dan aktif dalam politik. Menurut Hasbulah, mereka yang tidak percaya kepada persepsi bolehlah dianggap sudah primitif dan masih berpijak kepada abad ke 17 dahulu. Ini kerana, di abad ini, maklumat bergerak dengan cepat dan tidak boleh lagi dibendung dengan penafian, penjelasan atau sebagainya.

Ia mesti ditangani dengan bijak bukan lagi dengan cara penafian, mencari punca atau seumpamanya. Beliau menyifatkan, para peserta seminar yang marahkan penulis atau pembentang seperti Dr Aziz adalah primitif dan hanya sesuai hidup di abad ke 17 sahaja.
Dr Hasbulah dalam penggulungan menyokong tulisan Dr Abdul Aziz dan menyifatkan penemuan melalui hasil kajian beliau selari dengan apa yang ditulis Aziz.

"Ini adalah kali ketiga kami bertemu. Kali pertama atas kapal terbang, kali kedua di lapangan terbang dan kali ketiga di sini. Jadi kami tidak berpakat," kata beliau dalam penggulungannya.
Sementara itu, menurut Malaysiakini pula, seperti dijangka, seminar politik PAS hari ini panas dengan isu kepimpinan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikritik keras seorang ahli akademik, Prof Dr Abdul Aziz Bari sebelum ini. Dalam sesi 'percambahan minda' yang melibatkan Dr Abdul Aziz sendiri, pandangannya di Sinar Harian bulan lepas dan wawancara dengan Malaysiakini semalam yang mengkritik keras kepimpinan Abdul Hadi menimbulkan pebagai reaksi daripada peserta.
Peserta yang tidak berpuas hati dengan Dr Abdul Aziz termasuklah pemimpin PAS Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik yang berkata beliau "tidak dapat melihat muka" pakar undang-undang perlembagaan itu di seminar hari ini. Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pensyarah Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah turut membentangkan pandangan dan berdiolog dalam sesi pagi tadi.
Bagaimanapun, Dr Abdul Aziz yang kelihatan enggan mengulangi lagi kritikannya di media itu dipertahankan oleh Dr Abu Hassan yang meminta semua peserta bersikap terbuka terhadap tanggapan yang dilontarkan.
(Sumber: Harakah/Malaysiakini dll/2MA)

Gadis Itu Merangkul Lenganku, Mengapa?

CATATAN PERJALANAN SRI LANKA 5

SEPATUTNYA selepas catatan perjalanan lalu, saya catatkan mengenai Orang Melayu Sri Lanka dalam pertemuan dengan mereka, tetapi kerana semalam (November 6) saya mendaki pergunungan Adam's Peak, ingin melihat kesan tapak kaki Nabi Adam AS diturunkan ke muka bumi dari syurga, maka saya siarkan gambar ini dulu.

Mula-mula dari Colombo saya naik bas menuju ke Hatton, daerah pergunungan kira-kira 125 kilometer, tidur di sana semalam. Dari situ naik bas ke pekan kecil Maskelya. Dari Maskelya naik teksi yang macam beca 19 kilometer lagi ke 'Puncak Adam'. Dari situ tiada laluan kenderaan, kena jalan kaki 5 kilimeter mendaki gunung dan batu-batan untuk ke sana. Keterangan mengenai Adam's Peak akan saya hurai lanjut.

Inilah gambar perjalanan saya dari Maskelya ke puncak itu.

Inilah kenderaan yang saya naiki. Tapi bukan saya yang memandu, cuma gaya sahaja.
Indah panoramanya.


Saya sempat bertemu dengan kanak-kanak di pinggir jalan, pekerja-pekerja ladang teh dan bergambar di tepi air terjun.





Gambar di bawah sekali ini agak lain. Samasa pemandu teksi itu ingin mengambil gambar saya dengan lelaki di sebelah kiri saya itu, tiba-tiba anak gadis itu datang menerpa untuk bergambar bersama-sama. Dirangkulnya lengan saya. Gambar sudah di ambil, saya tak dapat mengelak. Tidak ada apa-apa, kerana dia bukan orang Islam, tetapi bangsa Tamil beragama Hindu. Mungkin tiada masalah dalam budaya kampungnya. Kalau orang Islam berbudaya begitu, lain la.. Macam artis yang bergambar lelaki/perempuan bukan muhrim berpelukan di negara kita..

Jadi tajuk di atas 'Gadis itu merangkul lenganku, mengapa?'... Itu hanya tajuk untuk menarik perhatian pembaca sahaja. Gaya menerang beginilah juga yang selalu terdapat dalam Al-qur'an, di mana Allah SWT memulakan ayatNya dengan bertanya, di mana akhirnya, ayat itu yang menjawab balik.

"Mengapa bila bergambar mata tuan gelap sebelah? Nampak macam mata orang jahat, bermata satu.. adakah mata tuan rosak?" pemandu teksi itu tanya saya.

"Tidak! Bukan mata saya yang rosak, tetapi 'kaca mata' saya yang rosak.. Saya salah ganti, sepatutnya ganti kedua-dua belah. Tidak sebelah terang, sebelah gelap." Saya jelaskan.

Sebenarnya sebelah cermin mata dan kamera saya rosak sejak berada di Iran bulan lepas. Itu sebab tulisan catatan perjalanan saya di Iran agak lembab dan terlalu sedikit berbanding dengan masa berada di sana. Saya tukarkan tergesa-gesa cuma sebelah sahaja, tidak masukkan gelapmya. Sekian.
Catatan Ibnu Hasyim
Nov 6, 2009
Maskelya.

Thursday, November 05, 2009

Sri Lanka: Orang Melayu Hijrah Keluar Dari Kelompoknya.

Dikedai buku itu.. (atas & satu ke bawah)


Masjid Melayu di Colombo (gambar di bawah) & dan bersama-sama jamaahnya..



Bersama-sama orang-orang Melayu Colombo berhampiran masjid mereka (bawah).

CATATAN PERJALANAN SRI LANKA 4

TIBA-TIBA, "Stop. Stop here!" Saya ternampak sebuah kedai buku Islam agak besar dan lengkap juga, di tengah-tengah sebuah kawasan orang Islam. Pemandu teksi yang membawa saya pun berhenti, saya pun masuk.

"As-salamu 'alaikim?" Setelah menjawab salam, kami pun berkenal-kenalan. Apabila diberitahu saya dari Malaysia, pengurus kedai itu terus memeluk saya, dan berbalas-balas kemesraan.

Katanya kepada saya dengan senyum dan hormat, "Maaf tuan. Tadi semasa tuan menghormati saya, mengangguk dan tunduk hormat... Maaf tuan.. saya nak tegur sikit... Kita hanya boleh tunduk kepada Allah! Kita bukan seperti orang yang tidak faham agama, kadang-kadang menghormati bosnya sesama manusia macam tunduk patuh kepada Allah. Aftaghfirullah!"

"Allahu Akbar.." jawab saya macam mengeluh. Memang pembersihan tauhid amat penting, apa lagi di peringkat awal kebangkitan Islam di mana-mana pun. Tetapi takkanlah tunduk hormat saya ditakrifkan bagai sujud pada Allah?

Dengan penuh semangat, dia terus merapati saya menceritakan bagaimana pentingnya dakwah. Dia menyebarkan buku-buku, cd, kaset dan peralatan ibadat. Sarat kedainya. Dari pelbagai negara seluruh dunia dan pelbagai bahasa. Dia sedang memasang dan mendengar dailog antara Islam dan Kristian dalam bahasa Tamil dengan penuh kesungguhan. Kami sama-sama dengar, tapi saya tak faham.

Hal ini mengingatkan saya ketika awal tahun 80an dulu. Saya juga terlibat dalam usaha-usaha dakwah seperti beliau. Saya antara orang yang terawal menerbitkan kaset-kaset ceramah agama dan politik di Kuala Lumpur pada masa itu. Mula-mula saya keluarkan kaset atas nama 'Ad-Dakwah Recording'. Setelah keluar ribuan kaset baru nak daftar, tapi tak boleh kerana namanya 'berbau agama', kata pegawai pendaftaran. Kena dapatkan surat dari Jabatan Agama atau Pusat Islam. Agak menyusahkan, saya pakai nama Gedung Gua. Pegawai itu tanya apa makna Gedung Gua, saya jawab, "Gua punya gedung le!"

Diapun daftarkan. Itulah dasar negara sekular. Pada hal, saya ambil nama itu sempena nama surah gua (Al-Kahfi) dalam Al-Quran mengisahkan beberapa pemuda yang melawan taghut atau pemerintah zalim di zamannya. Gedung Gua hanya simbolik sahaja. Apabila ruangan media dakwah itu saya besarkan kepada penerbitan buku, majalah 'Al-Ummah', dan barangan ibadat, termasuk buah kurma dari Iran dan lain-lain, maka ditukar nama kepada GG EDAR. Ditanya pula apa GG itu?

Saya jawab, GG adalah 'Gigi Gergasi'. Melambangkan besar, kuat dan rakusnya dalam berdakwah. Waktu itu saya juga banyak menerbitkan buku-buku berkaitan gerakan Islam antarabangsa dan perjuangan PAS. Banyak juga cabaran-cabaran yang dihadapi, maklumlah waktu PAS baru kalah teruk selepas golongan ulama mengambil alih pentadbiran. PAS dianggap parti kampung dan disokong oleh orang miskin dan tak berkuasa. Banyak buku-buku dan kaset-kaset PAS diumumkan pengharamannya dalam tv Malaysia.

Contohnya buku tulisan Subky Latif 'PAS Masuk Lubuk Merbau', kaset-kaset syarahan Abdul Kadir Jealani (Tajuknya: Syahid 1, Syahid 2) & Syarifin Moloko (Tajuknya 'Penindasan terhadap Iman & Islam Di Indonesia) dari Indonesia, dan beberapa yang saya sudah tak ingat lagi. Saya juga pernah diseret ke mahkamah kerana menjual video politik PAS, yang jarang orang sanggup menjualnya waktu itu. Malangnya kisah saya dibawa ke mahkamah ini, tidak mahu dibuat liputan oleh Harakah waktu itu. Saya pun tak tanya apa sebabnya, sedangkan kisah peniaga dirampas beberapa keping keset ceramah PAS pun dikeluarkan beritanya.

Itulah antara cabaran-cabaran berdakwah dalam negara orang Islam. apa lagi kalau dalam negara bukan Islam seperti Sri Lanka. Saya hormat semangat pendakwah-pendakwah kita itu! Bila saya beritahu tujuan saya ke Sri Lanka adalah untuk menyelami dan mengetahui masyarakat Islam di sini, termasuk menyelongkar kisah Melayu Islam Sri Langka, katanya..

"Saya juga sedang meneliti hal itu. sebenarnya, bangsa Melayu Sri Lanka merupakan bangsa minoriti di Sri Lanka berbanding bangsa Tamil dan Moors (iaitu darah campuran bangsa Arab dan Tamil). Mengikut peratusan penduduk, bangsa Melayu hanya beberapa peratus dari keseluruhan penduduk Sri Lanka. Kebanyakan orang-orang Melayu di Sri Lanka tinggal di kawasan persisiran pantai seperti di Hambantota."

Katanya lagi, menurut sejarah, orang Melayu Sri Lanka telah mula wujud dan menetap di Sri Lanka sejak kurun ke-13 lagi. Terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan bangsa Melayu berhijrah ke Sri Lanka lama dahulu.

Pertama, adalah kerana askar-askar Melayu dari kepulauan Melayu di hantar ke Sri Lanka bagi membantu British di sana. Mereka di gelar sebagai Orang Rejimen (Ceylon Rifle Regiment of Malays). Mereka sangat di hormati dan di berikan gelaran-gelaran tertentu kerana keberanian dan kesetiaan mereka. Akhirnya askar-askar ini memilih untuk menjadi penduduk tetap di sini dan mereka telah di anggap sebagai kaum elit yang menerima pelbagai kelebihan dari kerajaan British. Mungkin itu sebabnya wujud Masjidul Jamiah Malay Military Mosque seperti yang disiarkan dalam gambar perjalanan Sri Lanka sebelum ini.

Kedua: Kelompok yang menyebabkan wujudnya bangsa Melayu di Sri Lanka juga disebabkan oleh golongan pembesar-pembesar dan anak-anak raja yang di buang negeri oleh British dari kepulauan Melayu ke Sri Lanka. Sebagai contoh, kisah Syeikh Yusof Al-Makasari yang di percayai merupakan golongan di raja dan bangsawan dari Tanah Jawa. Mereka kuat menentang penjajahan British di kepulauan Melayu. Disebabkan rasa terancam, pihak British telah mengambil keputusan untuk membuangnya di Sri Lanka selama 11 tahun.

Ketiga: Ada juga pendapat yang menyatakan Orang Melayu Sri Lanka pada awalnya merupakan pelayar-pelayar Melayu yang berdagang ke Sri Lanka. Melalui kawasan persisiran pantai, sebahagian dari mereka membuat keputusan untuk menetap di sana. Di sebabkan oleh itu, kebanyakan bangsa Melayu di Sri Lanka tinggal di kawasan persisir pantai dan bekerja sebagai nelayan.

"Bagaimana sekaranga?" saya tanya dia lagi.

"Kini penduduk Melayu Sri Lanka semakin pudar identitinya sebagai Bangsa Melayu." Jelasnya. Menurutnya lagi, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku.

Pertama, wujudnya tradisi kahwin campur di mana orang-orang Melayu Sri Lanka kini lebih cenderung untuk memilih pasangan dari bangsa lain sama ada Bangsa Tamil atau Moors. Apabila ini terjadi, mereka lebih selesa untuk ‘bertukar’ bangsa hingga tidak mahu lagi mengaku sebagai Melayu.

Kedua, ini ada kaitan dengan faktor pertama dimana taraf hidup orang-orang Melayu ini sendiri kebanyakannya ditindas. Hal ini yang menghalang mereka untuk maju kehadapan dan membela nasib mereka sendiri. Kerana itulah dakwah Islam perlu diperkuatkan. Memotivasi dan membangunkan umat, bukan dengan bangsa tetapi dengan agama. Agama Islam itu sendiri adalah agama motivasi.

"Bagaimana pandangan tuan Orang Melayu di sini dari sudut ekonomi?"

"Saya tidak berminat melihat okonomi dari sudut orang Melayu. Dari segi ekonomi, tidak ramai orang-orang Melayu di sini dapat sampai ke tahap yang tinggi. Malahan, golongan muda Melayu sendiri yang berjaya dalam bidang pendidikan, lebih selesa untuk berhijrah keluar dari kelompok Melayu sendiri. Ya... Hijrah keluar dari kelompok Melayu dan membawa cara hidup tersendiri!" Jelasnya lagi.

"Mengapa pula?" Saya tanya lagi.

Katanya lagi, "Antara sebab lain adalah, proses asimilasi dan sosialisasi dengan bangsa-bangsa lain yang menyebabkan bangsa Melayu terikut-ikut ataupun sebenarnya adalah satu proses penyesuaian diri dengan budaya dan cara hidup bangsa lain. Itu pandangan saya."

"Terima kasih. Saya cukup tertarik dengan pandangan tuan." Kata saya. "Oo ya. Boleh tolong perkenalkan saya dengan salah seorang orang Melayu di sini untuk...."

"..Boleh!" Sambutnya dengan serta merta. Dia terus menalefon kawannya dan atur temujanji. "Besok kita jumpa di sini jam 9 pagi, saya hantarkan encik ke tempatnya!!"

Al-hamdulillah. Pucuk dicita ulam mendatang!

Ibnu Hasyim, Catatan Perjalanan.
ibnuhasyim@gmail.com
November 5, 2009
Hatton Sri Lanka.

Lihat yang berkaitan...

E-Buku IH-3: Mencari Melayu/Islam Sri Lanka
Bab I: Sebelum pergi..
Bab II: Catatan Perjalanan..
Berjumpa di catatan perjalanan seterusnya..

Wednesday, November 04, 2009

Batalkan Janji Cari Gali Dengan Petronas? -Mesyuarat Exco


Nov4, 2009 -KERAJAAN Kelantan sedang mengkaji kemungkinan membatalkan perjanjian menyerahkan hak cari gali kepada Petronas jika royalti petroleum tidak diberikan, kata exco ekonomi dan kewangannya. Mengulas kenyataan Perdana Menteri untuk menyerahkan wang ehsan kepada Kelantan, Datuk Husam Musa berkata isu membatalkan perjanjian itu akan dikaji oleh panel peguam yang dilantik kerajaan negeri.

Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini sebagai reaksi segera Kelantan terhadap pengumuman Datuk Seri Najib Razak di Parlimen pagi ini.

Dalam satu kenyataannya, Husam turut mempertikaikan penggunaan istilah "wang ehsan" sebagai bentuk bayaran kepada Kelantan, sedangkan "bayaran royalti" digunakan untuk bayaran di Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Nyata asas yang disebut oleh perdana menteri mengenai (kedudukan lokasi cari gali di luar pesisiran pantai sejauh) 3 batu nautikal adalah tidak berasas bagi kes-kes Sabah, Sarawak dan Terengganu," katanya lagi.

"Ia sengaja digunakan untuk mendiskriminasikan kerajaan dan rakyat Kelantan."

Sehubungan itu, kata Husam, kerajaan negeri mahu wang ehsan dibayar terus kepada Kelantan dan sebuah badan penyelaras ditubuhkan yang turut dianggotai wakil kerajaan pusat untuk memantau penggunaan wang tersebut.

"Sekali lagi kami berharap perdana menteri berfikir semula dan mengambil kira tuntutan ini atas prinsip kesaksamaan, kedaulatan wilayah dan semangat federalisme yang utuh serta penghormatan perjanjian yang termaktub demi kesejahteraan dan keharmonian negara malaysia," katanya.

Mengenai penubuhan panel guaman tersebut, Husam berkata, antara isu yang dicadang dipertimbangkan oleh panel guaman ini ialah:

1. Kemungkinan mengambil tindakan mahkamah membatalkan perjanjian penyerahan hak kepada Petronas untuk mencari gali dan mengeluarkan sumber petroleum dan lautan negeri Kelantan 1975 jika sekiranya tuntutan royalti minyak tidak dipatuhi.

2. Kemungkinan untuk kerajaan negeri mengambil tindakan mahkamah di luar negara termasuk perintah injunksi menghentikan pengeluaran di JDA (Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand) dan CAA (Kawasan Pengurusan Komersial Malaysia-Vietnam) yang melibatkan entiti dan syarikat antabangsa.

"Walau bagaimanapun, keputusan muktamad akan ditentukan kemudian selepas pandangan daripada panel guaman tersebut," kata Husam lagi.

Dalam kenyataan itu juga, beliau turut mempersoalkan mengapa wang ehsan harus diurus oleh kerajaan pusat

"Pengumuman perdana menteri bahawa Kelantan hanya layak menerima 'wang ehsan' dan bukannya royalti dan wang ini pula akan diuruskan oleh kerajaan pusat, adalah satu keputusan politik.

"Ia membelakangkan semangat federalisme, kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap perjanjian dan menekankan kepentingan politik semata-mata," katanya.

Di samping itu, tambahnya, keberkesanan pengurusan oleh kerajaan pusat juga boleh dipertikaikan.

"Sebagai bukti, dengan jumlah royalti yang besar untuk Terengganu bagi tempoh 20 tahun lalu, masih gagal membanteras kadar kemiskinan yang kekal tinggi di Terengganu," kata Husam.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kota Bharu, Husam berkata kerajaan negeri mengambil langkah proaktif itu untuk memastikan tuntutan wang royalti itu berjaya.

"Kerajaan negeri tidak (dapat) menerima bayaran wang ehsan yang diumumkan hari ini bagi menggantikan bayaran wang royalti minyak kepada Kelantan," katanya dalam laporan Bernama.

Bagaimanapun, tambahnya, kerajaan negeri menganggap pemberian wang ehsan itu satu langkah pertama hasil inisiatifnya dalam tuntutan royalti minyak.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus mengadakan rundingan dengan kerajaan pusat berhubung tuntutan royalti itu.

Kelantan sebelum ini telah mengemukakan surat rasmi kepada kerajaan pusat bagi menuntut bayaran royalti minyak berjumlah RM1 bilion sejak 2004 berdasarkan laporan Jabatan Statistik, (Sumber Malaysiakini/AK)

PAS Perlu Gugurkan Pemimpinnya Untuk Pulih -Ahli Akedamik


PAS memerlukan "korban" dengan menggugurkan beberapa pemimpin kanannya untuk menyelesaikan masalah dalamannya berhubung kontroversi idea kerajaan perpaduan, kata seorang ahli akademik.

"Tidak perlu ulang apa yang saya sudah katakan. Kalau itu terlalu berat, gugurkanlah (timbalan presiden) Nasharuddin Mat Isa atau (pesuruhjaya PAS Selangor) Dr Hassan Ali, sebab terlalu jelas PAS perlukan korban," kata profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Pakar undang-undang perlembagaan itu, yang membangkitkan semula itu bulan lalu, diundang menghuraikan pandangannya berhubung masa depan PAS bawah kepemimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dianggap lemah dan perlu berundur bagi menyelamatkan parti itu. Dr Abdul Aziz dijangka mengulangi dan mempertahankan nada kritikalnya itu di seminar politik PAS di Gombak, Sabtu ini.

Ia diadakan sebagai menggantikan muktamar khas seperti disarankan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melenting selepas merujuk artikel Dr Abdul Aziz, 'Pengajaran Dari Bagan Pinang' di sebuah akhbar 19 Oktober lalu. Ahli akademik yang dekat dengan politik pembangkang itu mengkritik Abdul Hadi dan beberapa pemimpin kanan parti itu, antaranya Dr Hassan yang dianggap menimbulkan di Selangor sehingga membawa kemerosotan kepada undi PAS pada pilihan raya kecil tersebut.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Abdul Aziz berkata sekiranya PAS gagal melakukan reformasi itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh membetulkan keadaan dengan menggugurkan Dr Hassan sebagai exco kerajaan negeri. Dalam seminar 7 November ini, Dr Abdul Aziz diberikan masa 30 minit bagi menyampaikan pandangan kontroversinya itu kepada kira-kira 1,000 peserta - terdiri daripada semua barisan pemimpin kanan di semua peringkat termasuk tiga dewan utama dan kawasan.

Beliau, yang telah mengulas panjang selepas artikel di Sinar Harian itu, bagaimanapun tidak akan membentangkan sebarang kertas kerja, sebaliknya hanya berucap spontan. Seminar yang dijadual dibuka dengan rasmi oleh Abdul Hadi dijangka disertai oleh seorang lagi ahli akademik, Dr Abu Hassan Hasbullah, pensyarah Jabatan Pengajian Media di Universiti Malaya.

Walaupun agak keberatan pada mulanya untuk turut serta dalam seminar itu, Dr Abdul Aziz telah mengesahkan kehadirannya kepada pengelola seminar, Salahuddin Ayub yang juga naib presiden PAS. Ditanya sebab keberatannya untuk hadir, Dr Abdul Aziz berkata: "Saya bukan orang parti. Saya tidak ada kena-mengena dengan cerita (pergolakan dalaman) ini. Ini bukan kerja saya."

Dr Abdul Aziz yakin seminar tersebut dapat menyelesaikan masalah dalaman PAS dalam jangka masa yang panjang walaupun terdapat pihak yang mempersoalkan keberkesanan program tersebut. Mengulangi kritikan terhadap kepimpinan Abdul Hadi, Dr Abdul Aziz berkata presiden PAS itu hanya "sesuai menjadi (pemimpin) nombor 2, bukan sebagai kapten."

"Masalahnya dengan isi (idea) yang dibawa. (Contohnya) kalau beliau kata dunia ini rata, kita tidak boleh terima perkara ini walaupun kita lihat ia memang rata. (Sebab idea) ini tidak betul," katanya. Tambahnya, cadangan kerajaan perpaduan yang cuba diperkenalkan Abdul Hadi tidak masuk akal kerana "mustahil" untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang tiada pembangkang.

"Jangan cakap perkara yang beliau tidak tahu. Di England, selepas Perang Dunia Kedua, penggabungan parti-parti membentuk kerajaan kerana tiada satu pun parti yang mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan."

"Di Malaysia, situasinya jauh berbeza," kata Dr Abdul Aziz.

Dihubungi hari ini, Dr Abu Hassan pula berkata masalah parti itu kini masih di peringkat pergeseran antara tokoh pemimpin, khususnya antara "aliran agama" dengan "golongan liberal," dan bukannya melibatkan masalah institusi-institusi PAS.

"Kemunculan tokoh-tokoh moderat dalam PAS terutamanya selepas (era) Reformasi 1998 meletakkan mereka di pesisir PAS, sedangkan golongan ulama masih di teras (kepemimpinan)," katanya. "Masalah dalaman PAS ini tidak akan memungkinkan parti itu runtuh tetapi kemungkinan akan melemahkan jentera dan pengurusan parti."

Dr Abu Hassan percaya ahli-ahli akademik termasuk beliau diundang di seminar itu kerana PAS mahu mencari sudut-sudut pandangan yang dilihat bebas. Dalam kertas kerjanya nanti, beliau bukan sahaja menyentuh isu-isu konflik dalaman PAS, tetapi juga dasar parti itu, sama ada masih relevan di masa depan, tambahnya.

Kertas beliau akan menumpukan kepada tiga bahagian iaitu politik dalaman PAS, kedudukan parti itu dalam Pakatan Rakyat dan juga kepercayaan nasional terhadapnya. (Sumber Malaysiakini/AK)

Red Warriors: Tarbiah Melalui Hadiah Menang Bola

SUKAN
KOTA BHARU, 4 Nov: Kerajaan Kelantan akan membiayai pakej umrah kepada pasukan bola sepak negeri itu sebagai 'hadiah' kerana telah berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia, yang akan berlangsung Sabtu ini. Selain itu, mereka juga dibekalkan dengan 'wang saku' sebagai hadiah untuk perbelanjaan sepanjang berada di sana.

Perkara itu diumumkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini. Beliau seterusnya berkata selain kesemua pemain, turut serta dalam pekej itu penolong-penolong jurulatih, petugas, pengurus dan timbalan pengurus serta lain-lain yang terlibat.

Bagaimanapun menurut Ahmad lagi, jurulatih pasukan 'Red Warriors' B Sathianathan pula akan dibayar sagu hati sebagai tanda penghargaan untuknya. "Kerana dia bukan beragama Islam, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan wang sagu hati kepadanya sebagai hadiah terhadap kejayaannya yang semakin memberangsangkan," ujarnya.

Sementara itu, mesyuarat exco yang bersidang hari ini juga turut mengistiharkan cuti peristiwa negeri Kelantan pada hari Ahad, 8 November ini sebagai meraikan kejayaan pasukan bola sepak Kelantan memasuki perlawanan akhir Piala Malaysia 2009. Menurutnya, cuti berkenaan diberikan sebagai mengambil kira faktor keselamatan di jalan raya sama ada kepada pemain, penonton atau kepada semua yang terlibat.

Jelasnya, semoga dengan cuti peristiwa yang diputuskan itu penyokong akan dapat mengikuti perlawanan itu dengan baik atau sewaktu pulang ke rumah masing-masing. Pada masa yang sama beliau menasihati penyokong bola sepak Kelantan supaya berdisiplin serta mengikuti perlawanan akhir bola sepak itu dengan semangat kesukanan.

Jelasnya, kerajaan negeri, rakyat Kelantan keseluruhannya mengharapkan pasukan berjaya membawa kemenangan itu. "Apa yang penting kita jangan terlalu ghairah, pergi dengan keadaan yang tenang disamping membawa semangat kesukanan begitu juga sewaktu pulang ke kampung halaman keesokan harinya," ujarnya.

Terdahulu beliau memberitahu kerajaan negeri turut merakamkan tahniah kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) yang telah berjaya membawa skuad merah putih itu ke pertandingan akhir pada 7 November ini. Wakil-wakil kerajaan negeri termasuk Timbalan Menteri Besar, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Adun, Anggota Parlimen dijangka akan hadir menyaksikan perlawanan itu.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Sumbangan berbentuk tarbiah.

Malaysia Termasuk Dalam Tamil Empire?

CATATAN PERJALANAN: SRI LANKA 3

Peta Tamil Eelam menunjukkan Malaysia adalah salah satu negara yang termasuk dalam tanah tuntutan mereka atas nama The Greater Tamil State.
Masjid Melayu di Colombo

Saya kanan bersama pemimpin masjid tersebut.

Pemandangan selepas sholat subuh di sebuah lorang di pekan Islam Colombo.

PAGI 2 November, saya mula cari maklumat. Se waktu saya naik teksi round bandar Colombo, ingin melawat masjid-masjid dan markas-markas Islam, pemandu itu ada menyebutkan suatu peritiwa sejarah tidak boleh dilupakan. Peristiwa pemusnahan sebuah masjid dan pembunuhan ke atas umatIslam Sri Lanka.

"Saya tak tahu pun. Bila berlaku?" Saya tanya.

"Peristiwa ini dilakukan oleh puak-puak Tamil Eelam, kira-kira 10 tahun lalu di sebuah kawasan ratusan kilometer dari Colombo. Tuan boleh pergi lihat kesan-kesannya sehingga sekarang masih ada lagi. Untuk detailnya tuan boleh tanya orang-orang tua di tempat terjadi itu, atau di Colombo ini sebagai saksi. Saya boleh temukan dengan mereka."
Hal ini mengingatkan saya kepada tulisan seorang yang bernama bhudiagus dalam blognya pada Februari 12, 2008 bertajuk 'Kezaliman Tamil terhadap Umat Islam'. Begini bunyinya...


ADAKAH anda terkejut membaca tajuk ini. Jangan terkejut kerana ini jelas terpapar di laman webTamil Eelam, satu pertubuhan pengganas nationali Tamil yang ingin membina negara Tamil bermula dari Tamil Nadu , Utara Sri Langka, Maldive (negara Afrika), Mauritius (negara ummat Islam), Malaysia (negara kita) dan Indonesia (negara penduduk terbesar Islam.). Gerakan Militan nationalis Tamil sudah mula berubah corak operasi saperti pergerakan militan Yahudi dan mereka menggunakan negara dimana wujud kaum Tamil diaspora sebagai pengkalan untuk mengumpul dana pertubuhan pengganas Tamil Eelam , tempat merekrut , pusat ideologi dan tempat menyeludup senjata.

Tanda tanya timbul , adakah rantaian aktivitii gangster Tamil di Malaysia dan desakan kurang ajar persatuan Tamil untuk mengubah undang undang Shariah di Malaysia adalah salah satu agenda Militan nationalis Tamil yang ingin menjadikan kumpulan mereka digeruni dan menguasai suasan politik di negara Ummat Islam. 
Apabila Portugis mendarat di pantai Melaka ramai pahlawan Melayu dan Raja Melayu tidak menyangka bahawa, bangsa yang dipanggil Benggali Putih ini akan membunuh mereka dan menggali kubur mereka untuk dijadikan kubu pertahanan.

Inilah jahilnya orang Melayu terhadap konspirasi kaum lain terhadap mereka. Setiap orang yang mendarat di tanah air mereka akan disambut dengan tarian dan kompang padahal hakikatnya tidak semua bangsa lain yang mempunyai sifat yang tulus dan ikhlas saperti hati orang Melayu. Ekoran kecuaian ini, orang Melayu selalu tertipu dalam selok belok kehidupan. Akibat nya kampung dan bandar tergadai dan orang Melayu dihalau hanya dengan politik najis babi, gigitan anjing, desakan ngo, kongsi gelap, liberalisme, modernism dan tolak ansu
risma.

Berikut adalah Peta Tamil Eelam yang dengan jelas dinyatakan bahawa Malaysia ialah salah satu negara yang termasuk dalam tanah tuntutan mereka atas nama The Greater Tamil State.

Sebenarnya, saya tidak bersetuju dengan sifat-sifat perkauman kebangsaan dalam tulisan ini. Walaupun begitu saya paparkan juga, untuk mengetahui latar belakang hubungan antara Sri Lanka dan negara-negara jirannya.

Perjalanan saya mencari masjid-masjid bersejarah pun diteruskan. Lihat di atas, ada Masjid Melayu di sana.

Kita sambung lagi. Insya Allah.

Ibnu Hasyim, Catatan Perjalanan.
ibnuhasyim@gmail.com
November 4, 2009
Maradana, Colombo, Sri Lanka.


Lihat lagi..

E-Buku IH-3: Mencari Melayu/Islam Sri Lanka

Bab I: Sebelum pergi..

Bab II: Catatan Perjalanan..
Berjumpa di catatan perjalanan seterusnya..

Royalti Minyak K'tan: Dewan Kecoh, Agih Pada UMNO?

Hak Kelantan, sultan juga tercabar?

KL Nov 4, 2009. KERAJAAN Persekutuan akan memberi wang ehsan kepada Kelantan daripada hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu mulai tahun depan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantarkan surat kepada PM mengenai tuntutan bayaran royalti 5 %, yang berjumlah RM1 bilion, hasil petroleum dan gas cecair di perairan Kelantan. Kerajaan negeri membuat tuntutan itu tahun ini setelah mengetahuinya melalui laporan dari Jabatan Perangkaan bahawa petroleum itu telah beroperasi sejak 2004 dan tuntutan royalti RM1 bilion itu dikira bermula dari 2004 sehingga kini.

Ekoran pengumuman itu, Dewan Rakyat menjadi kecoh. Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub meminta Najib menjelaskan bilakah tuntutan royalti kerajaan negeri Kelantan akan dilangsaikan oleh Petronas. Menjawab soalan itu, Najib menjelaskan bahawa pihak kerajaan sedang mempertimbang untuk memberikan wang ehsan langsung kepada rakyat Kelantan.

Dewan menjadi kecoh dengan jawapan yang diberikan Najib itu kerana ia dianggap menipu dan menafikan hak rakyat Kelantan. Beberapa ahli Parlimen bangun lalu menegaskan bahawa persoalan royalti itu adalah penting untuk rakyat Kelantan. Mereka yang terbabit, termasuk Salahuddin sendiri diminta duduk oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Salahudin kemudiannya diberi amaran keluar dewan beberapa jam jika enggan mendengar penjelasan Najib

"Yang penting, kita nak tolong rakyat Kelantan. selepas kita ada semangat nak runding dengan kerajaan negeri, yang penting rakyat dapat manfaat daripada wang ehsan," kata Najib.

"Apa nak dipertikai lagi? Yang penting, rakyat Kelantan mendapat wang ehsan dari (kerajaan) Persekutuan," sindir Najib.

Tanpa laluan Speaker, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bangkit dan menjelaskan bahawa penjelasan yang diberikan itu tidak menyelesaikan soal kuasa persekutuan dan negeri, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Petronas bersama kerajaan persekutuan-negeri.

Pun begitu, Speaker memberi laluan kepada Siti Zailah Mohd Yusoff bercakap mengenai isu royalti Kelantan itu dengan alasan ahli Parlimen Rantau Panjang itu boleh dikatakan mewakili rakyat Kelantan.

"Kenapa sebelum ini kerajaan (Persekutuan) tidak pernah mempertimbangkan hak rakyat Kelantan diberikan wang ehsan?" soal Siti Zailah dengan nada yang tegas.

"Setelah rakyat dinafikan hak bertahun-tahun, sekian lama, sekarang hak rakyat Kelantan baru nak dipertimbangkan."

Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat meminta Najib menjelaskan soal jaminan persekutuan melangsaikan tuntutan royalti minyak tersebut. "Apa jaminan kerajaan (persekutuan) bahawa royalti ini disalurkan kepada kerajaan Kelantan dan rakyat, bukannya kepada JPP (Jawatankuasa Penduduk Persekutuan) yang dilantik kerajaan Persekutuan?" soalnya lagi.

Najib dalam nada yang sinis menjelaskan bahawa sepatutnya rakyat Kelantan tidak ada hak mendapat royalti tersebut. "Selama ini, kerajaan Kelantan tidak ada hak menerima (royalti minyak), sebab ini melibatkan kawasan pertindihan. Sekarang ini, kita dapat sahkan bahawa ada blok (kawasan minyak dalam laut) yang boleh dipertimbangkan...kita pastikan hanya rakyat Kelantan akan dapat manafaat," kata Najib.

Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sekali lagi bangkit memprotes jawapan lisan itu. Bagi mengelakkan Najib terus dipertikai, anggota dari Masjid Tanah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusoff bangkit lalu memohon laluan Speaker untuk menjawab soalan lisan seterusnya, yang melibatkan kementeriannya.

Mengikut pengalaman di Terengganu, wang ehsan diberikan terus kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan diagihkan menerusi jabatan dan egensi di bawah kerajaan pusat. Dari segi pelaksanaannya pula, ia akan melalui ketua-ketua bahagian Umno di negeri itu.

Petang semalam, Anggota Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub mendesak kerajaan pusat supaya membayar royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan sebagaimana yang dilakukan kepada negeri-negeri lain. Cadangan Salahudin ini berikutan dari tuntutan kerajaan negeri Kelantan agar Petronas membayar royalti petroleum sebanyak 5 % sebagaimana yag dinikmati oleh negeri-negeri yang lain yang dikeluarkan minyak dari perairannya.

Tuntutan Kelantan ini disokong oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang menandatangani perjanjian ini bagi pihak Petronas dahulu. Ketika itu beliau adalah Pengerusi Petronas.

Tuntutan ini juga disokong oleh Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dijangka akan menjawab perkara ini di Dewan Rakyat hari ini. (AK)

Tuesday, November 03, 2009

Bandar Islam Di Colombo..

CATATAN PERJALANAN: SRI LANKA 2

Bangunan ini milik orang Islam di Maradana..

Suasana Bandar Islam di Colombo

AGAK janggal bila disebut 'bandar Islam' di dalam negara bukan Islam. Tapi kalau disebut 'Cina Town' tidak ada apa-apa, walau dikatakan ada Cina Town di Banda Aceh yang kadang-kadang orang Aceh sendiri pun tak tahu. Begitu juga di Petaling Street KL, di Amerika dan lain-lain. Pada saya, sekarang saya berada di bandar Islam di Colombo. Mengapa?

Pertama..
Di Sri Lanka, Islam diamalkan oleh sekumpulan minoriti yang membentuk lebih kurang 8% penduduk. Masyarakat Islam terbahagi kepada tiga kumpulan etnik utama. Orang Moor Sri Lanka, Orang Moor India dan Orang Melayu, masing-masing memiliki sejarah dan tradisi tersendiri. Majoriti orang bukan Islam di Sri Lanka kerap menggunakan istilah 'Muslim' sebagai sebuah kumpulan etnik, khasnya apabila merujuk pada orang Moor Sri Lanka.


Orang Moor Sri Lanka berjumlah 1.6 juta. Menggunakan bahasa Sinhala, Tamil, Arwi, Arab dan lain-lain. Dengan kedatangan pedagang-pedagang Arab pada kurun ke-8, Islam mula berkembang mekar di Sri Lanka. Golongan pertama yang menganut agama Islam ialah para pedagang Arab dan isteri keturunan tempatan mereka yang dikahwini setelah memeluk Islam. Pada kurun ke-15, pedagang-pedagang Arab telah menguasai banyak perdagangan di Lautan Hindi termasuklah Sri Lanka. Ramai antara mereka yang bermastautin di pulau itu lalu menggalakkan penyebaran Islam.

Bagaimana pun, apabila orang penjajah Portugis tiba pada kurun ke-16 dalam misi melanjutkan Perang Salib di Eropah, ramai keturunan Muslim terdiri dari Orang Moor Sri Lanka telah ditindas. Hal ini memaksa mereka berhijrah ke tanah tinggi tengah dan ke kawasan pantai timur negara itu. Semasa kurun-kurun ke-18 dan 19, orang Islam Jawa dan Malaya (Malaysia) dibawa masuk oleh penjajah Belanda dan British lalu menyumbang kepada pertumbuhan populasi Muslim di Sri Lanka.

Keturunan mereka, kini adalah orang Melayu Sri Lanka yang saya sedang cari maklumatnya. Dikatakan mereka menerima pakai beberapa tradisi Islam orang Moor Sri Lanka di samping juga menyumbang amalan budaya Islam mereka yang unik kepada kumpulan-kumpulan Muslim lain di sini. Kedatangan orang Islam dari India kurun ke-19 dan 20 juga menyumbang kepada perkembangan Islam di Sri Lanka. Kini, orang Islam di Sri Lanka dikendalikan oleh Jabatan Urusan Agama dan Budaya Orang Islam yang ditubuhkan pada tahun 1980-an untuk menghalang pengasingan berterusan komuniti orang Islam daripada kelompok lain. Sehingga hari ini, lebih kurang 8% orang Sri Lanka menganut agama Islam; kebanyakannya dari komuniti etnik keturunan Arab dan Melayu.

Kedua.. Cuba anda lihat bendera Sri Lanka ini..

Jalur hijau pada bendera Sri Lanka melambangkan Islam dan kumpulan etnik Moor. Sila rujuk Wikipedia. Ertinya kumpulan Islam mempunyai sumbangan yang besar terhadap pembangunan negara Sri Lanka. Contohnya, telah diiktiraf melalui bendera ini.

Ketiga.. Walaupun berlaku peristiwa Colombo 10 Mac 2009 baru lalu iaitu seramai 15 orang terbunuh sementara 60 yang lain termasuk dua menteri kerajaan cedera apabila seorang pengebom berani mati Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) meletupkan diri dalam satu acara sambutan Maulidur Rasul di sebuah masjid di sini... Serangan yang disasarkan ke atas ahli politik yang menghadiri majlis di Masjid Bandar Akuressa itu berlaku ketika LTTE dilihat hampir kalah di tangan tentera kerajaan selepas berbulan-bulan bertempur hebat.

Kira-kira 20 orang termasuk Menteri Perkhidmatan Pos, Mahinda Wijesekera dan Menteri Kebudayaan, Mahinda Yapa Abeywardena cedera dalam serangan tersebut. Wijesekera dilaporkan tenat dan sedang bertarung nyawa di sebuah hospital tempatan waktu itu, seperti yang dilaporkan oleh AFP. Ini bukan kali pertama, kerana sebelumnya pernah peristiwa seperti ini.

Walaupun begitu hubungan orang Islam dengan kerajaan Sri Lanka terus mantab. Kehidupan bermasyarakat dengan bukan Muslim terus baik sehingga wajud bandar Islam di Colombo.

Keempat: Begini lanjutan dari kisah semalam dari airport Colombo...

Bas yang membawa saya ke Colombo City atau pusat bandar sudah sampai, walaupun pemandunya hanya pakai kain pelikat lusuh dan carik pula. Saya cari kedai makan Muslim, bertanya di mana masjid dan hotel yang sesuai untuk saya. Akhirnya sampai di daerah Maradana, kira-kira 2 kilometer dari pusat bandar. Saya pilih hotel itu pertama kerana hotel itu milik orang Islam, penghuni biasanya Muslim, dan bersebelahan masjid. Kedua, kerana murah. Apa tidaknya, biasanya satu hari 1,200 rupee (1,000 rupee = RM37.1) di hotel biasa lain, tapi di sini cuma 300 rupee sahaja.

Saya setuju walaupun bilik air luar kerana saya ingin berkawan dengan orang-orang Muslim di situ. Kedai makan Muslim di bawahnya buka 24 jam. Harga makannya agak murah berbanding dengan tempat-tempat lain. Rupanya di situ dan kawasan sekitarnya majoriti orang Islam. Banyak kedai-kedai terutamanya kedai makan milik orang Islam. Terdapat klinik-klinik milik orang Islam, Zahira College Colombo, kedai internet, pusat buku, media Islam dan barangan keperluan orang Islam. Begitu juga NGO-NGO Islam. Al-hamdulillah, sebab itu saya lebih suka menyebutnya sebagai bandar atau pekan Islam di Colombo. Seperti juga pekan-pekan lain, pekan Islam di Bangkok, di China atau pekan kecil Islam di selatan Myanmar.

Kita sambung besok pula. Insya Allah.
Hasil carian imej untuk ibnu hasyim
Ibnu Hasyim, Catatan Perjalanan.
ibnuhasyim@gmail.com
November 3, 2009
Maradana, Colombo, Sri Lanka.


E-Buku IH-3: Mencari Melayu/Islam Sri Lanka
Bab I: Sebelum pergi..
Bab II: Catatan Perjalanan..
Berjumpa di catatan perjalanan seterusnya..