Tuesday, January 12, 2010

Allah: Saya Tak Faham Islam Ala Melayu -Khalid Samad



KUALA LUMPUR, 12 Jan 10: "Saya tak faham Islam ala Melayu." Demikian jawapan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad ekoran dari pandangan seorang hadirin yang mendakwa bahawa Khalid tidak memahami realiti kedudukan kaum Melayu di Malaysia.

Soalan itu timbul bila beliau turut menyalahkan kepemimpinan Umno kerana dilihat seolah-olah menggunakan media arus perdana untuk memanipulasi isu tersebut, demi meraih sokongan politik di kalangan masyarakat Melayu.

Beliau turut mendakwa tindakan Umno tersebut tidak sejajar dengan tuntutan dakwah sebagaimana dalam ayat 64 dan 65 dari Surah al-Imran.

Sebelum itu beliau Khalid menegaskan bahawa bukan isu kalimah Allah yang sepatutnya menjadi perebutan antara orang Islam dan bukan Islam, sebaliknya semua pihak diseru mendalami pengertian sebenar Allah itu sendiri. "Bukan isunya kalimah (Allah), tapi maksud (sebenar) pada (kalimah) 'Allah' itu sendiri yang berbeza-beza," jelas beliau dalam Forum 'Allah: Siapa Yang Punya?' semalam.

Jelas beliau lagi, Rasulullah SAW menggunakan nama Allah dalam surat-suratnya kepada pemerintah bukan Islam di sekitar kerajaan Madinah al-Munawwarah. "Kalau Nabi melarang orang bukan Islam dari menggunakan nama Allah, mengapa Nabi menulis nama Allah di setiap surat Baginda SAW (yang diutuskan) kepada raja-raja bukan Islam," jelasnya.

Mengambil pengajaran dari dakwah Islamiyyah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, beliau yang juga Ahli Lajnah Politik PAS Pusat mengajak hadirin yang hadir supaya melihat isu menggunakan nama Allah di kalangan bukan Islam secara mudah. "Isu ini hanya mudah, kita sembah Tuhan yang sama, Tuhan hanya satu, mana Tuhan ada banyak... (dan) orang Islam wajar menjelaskan bagaimana Allah yang Esa patut disembah," jelasnya.

Forum yang dianjurkan oleh Free Public Forum (FPF) tersebut turut membariskan seorang budayawan Eddin Khoo, Pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr. Mohd Farid Mohd Shaharan, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Azwira A. Aziz, Filosof ISTAC Dr. Khalif Muammar, Pakar Dakwah Perbandingan Agama Shah Kirit Kakulal Govinji serta wartawan bebas Hasmi Hashim selaku panelis.

Forum yang bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) tersebut dihadiri lebih 1000 hadirin dari pelbagai bangsa dan ideologi. (Sumber/AK)


1 comment:

Anonymous said...

Terima kasih kerana menyertakan klip video Khalid Samad.
Moga-moga lelbih ramai yang akan menonton dan memahami isu sebenar.
Termasuk dari kalangan mereka yang berpendidikan Islam.
Dan paling utama abang Khalid sendiri mantan Menteri juga sepatutnya menonton dan memahaminya.
Satu ulasan yang cukup padat dan straight to the point.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails