Thursday, January 07, 2010

Lanjutan Kes: AJK Umno TG Tiduri Lebih 10 Wanita..

Mastura Bakar bersama peguamnya

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan, Datuk Muhamad Mustafa Idrus, 54, mengemukakan tuntutan balas tebus talak berjumlah RM1 juta dan hak penjagaan anak-anak sebagai syarat melepaskan isteri keduanya, Mastura Bakar, 24.

Tuntutan balas dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini berikutan tuntutan cerai fasakh yang difailkan oleh isterinya itu yang juga bekas madu penyanyi Noraniza Idris.

Bagaimanapun, Mastura sebagai plaintif memberitahu di hadapan Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin bahawa dia tidak setuju dengan tuntutan balas tersebut kerana sepanjang perkahwinan mereka, dia tidak memperoleh apa-apa pun sebagai nafkah.

Defendan bagaimanapun tidak hadir pada hari kedua prosiding.

"Saya tidak setuju sama sekali dengan tuntutan balas yang dibuat oleh dia.

"Tidak ada apa yang diberi kepada saya, semua perkara buruk yang berlaku adalah berpunca daripada dia, kenapa saya perlu beri RM1 juta.

"Dia tidak pernah bertanggungjawab terhadap keluarga dan anak saya juga tidak kenal itu ayah dia," katanya ketika membantah tuntutan balas yang dikemukakan peguam syarie Zaidi Ibrahim yang mewakili suaminya.

Mastura memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan tuntutan fasakh yang dikemukakannya di bawah Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan). Tuntutannya itu difailkan pada April tahun lalu .

Dalam pada itu, ibu kepada tiga cahaya mata terbabit, turut mengemukakan lima laporan polis yang dibuat sepanjang perkahwinannya melibatkan dakwaan penderaan fizikal yang dilakukan oleh Muhamad Mustafa. Lima laporan polis yang dibuat setiap tahun bermula tahun 2006 termasuk laporan melarikan anak dan pembantu rumah pada 20 Julai 2006, laporan lafaz cerai pada 10 Ogos 2008 dan penderaan pada 25 Januari 2008.

Mastura turut menyerahkan laporan perubatan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selepas membuat laporan polis yang menyatakan bahawa dia mengalami lebam di siku dan lengan serta luka di lengan kiri akibat bergelut dengan suaminya.

Pada prosiding itu juga, Mastura menyerahkan surat tulisan tangan suaminya pada tahun 2008 sebelum menghilangkan diri. Antara kandungan surat itu, Muhamad Mustafa mengakui kesalahan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami, pernah menyakiti dan membuat penderaan fizikal kepada Mastura serta telah berlaku curang.

Dokumen lain yang dikemukakan oleh plaintif juga ialah resit pembayaran rumah sewa dan perbelanjaan harian anak-anak yang menggunakan duitnya sendiri, dokumen surat nikah suaminya bersama isteri, Milia Fitri; surat penceraian bersama bekas isteri ketiga, Norazni Arifin dan beberapa keping gambar suami bersama isteri dan teman wanitanya.

Ketika disoal oleh peguam syarie mewakilinya, Roslizam Rahim mengenai perasaan Mastura ketika mendapat tahu tentang perkahwinan dan hubungan suaminya bersama wanita lain, dia mengakui berperasaan marah, cemburu dan sakit hati.

Mastura dan Muhamad Mustaffa bernikah pada 3 Jun 2005 di Masjid Pengkalan Hulu, Perak dan dikurniakan tiga anak berusia dua hingga lima tahun. Kes itu ditangguh pada 12 dan 13 Januari di mahkamah yang sama.

Sebelum itu, dilaporkan bekas madu kepada penyanyi etnik kreatif Noraniza Idris semalam mendakwa suaminya, Datuk Muhamad Mustafa Idrus, 54, pernah meniduri lebih 10 wanita sepanjang perkahwinan mereka. Mastura Bakar, 24, ketika memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini berkata, suaminya itu tidak adil dalam berpoligami selain banyak berfoya-foya.

"Dalam berpoligami memang dia tidak adil dan banyak berfoya-foya dengan lebih 10 wanita di hotel kerana saya mengenali dan menghubungi setiap wanita yang pernah tidur dengannya,” katanya semalam ketika menjawab soalan peguam syarie Roslizam Rahim yang mewakilinya dalam semasa prosiding tuntutan cerai fasakh.

Dalam pada itu, Mastura mendakwa Muhamad Mustafa yang juga ahli jawatan kuasa Umno Tasek Gelugor itu pernah melakukan hubungan seks luar tabii setelah dia enggan tidur bersama.

“Dia (suami) suka paksa saya untuk tidur dengannya dan apabila saya enggan berbuat demikian.

“Jadi, sebab itu saya tertekan dan ingin memohon cerai fasakh dengannya. Bukan itu sahaja, dia juga pernah memukul, menampar dan menendang saya sebanyak tujuh hingga lapan kali apabila mempunyai masalah dan apabila saya bertanya tentang hubungannya dengan wanita lain.

“Apabila saya melarikan diri dari rumah, dia akan pecahkan barang-barang dan pernah melanggar saya dengan kereta sekali,” katanya pada perbicaraan kes tuntutan cerai fasakh terhadap suaminya itu.

Mastura juga memberitahu Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin bahawa dia merupakan isteri keempat ketika mereka bernikah pada 3 Jun 2006. Namun, dia hanya mengetahui tentang statusnya itu semasa mahu melahirkan anak sulung mereka.

“Ketika bernikah dengannya, saya langsung tidak mengetahui yang saya merupakan isterinya yang keempat. Saya hanya mengetahui yang dia pernah berkahwin dan mempunyai anak-anak.

“Apabila saya nak bersalin anak pertama, baru saya tahu yang saya merupakan isteri keempat," ujarnya.

Beliau berkata, selepas itu suaminya berkahwin dengan tiga wanita termasuk Noraniza.

“Dia sendiri mengaku telah berkahwin dengan ketiga-tiga wanita itu kepada saya setelah saya mengemukakan bukti-buktinya.

Selepas dua tahun berkahwin, tambahnya, Muhamad Mustafa mula jarang pulang ke rumah apabila selepas dia mengetahui suaminya mempunyai isteri lain.

“Kadangkala, seminggu dia tidak pulang ke rumah. Sekitar Mei 2008, dia hanya pulang sekejap dan tidak bermalam di rumah. Saya rasa seperti tempat persinggahannya.

Menurut Mastura, dia bukan sahaja tertekan sehingga trauma untuk tinggal bersama malah lelaki itu juga didakwa tidak memberikan nafkah kepadanya dan anak-anak sejak Disember 2008.

“Sejak Disember 2008, semuanya (pakaian, makanan dan rumah sewa) saya tanggung sendiri dan mendapat bantuan keluarga,” ujarnya lagi yang kini menganggur.

Sebelum ini, Mastura menanggung keperluannya dan anak-anak menerusi pendapatannya bekerja sebagai pembantu jualan di kedai barang kemas My Diamond di The Curve, Damansara termasuk berkerja di pusat rawatan spa Mustika Ratu.

Mastura dan Muhamad Mustaffa bernikah pada 3 Jun 2005 di Masjid Pengkalan Hulu, Perak dan dikurniakan tiga anak berusia dua hingga lima tahun. Muhamad Mustafa tidak hadir ke mahkamah dan diwakili oleh peguam syarie Zaidi Ibrahim.

Kes itu ditangguh pada hari ini, 12, dan 13 Januari di mahkamah yang sama. (Sumber: mStar Online)

3 comments:

Anonymous said...

salm..Patut laa...org ameno rupanya...

Melor said...

hurm..tak kire la umno or PAS,tp dia seorang lelaki,MELAYU n ISLAM.Langsnug tidak menunjukkan contoh yg baik,inilah namanya slah guna kedudukan & kuasa..

mendekati said...

pada pandangan saya, Allah telah memberikan panduan memilih jodoh melalui Rasulnya, untuk mengelakkan terjadinya perkara2 spt ini. Jika kita meletakkan ciri agama sebagai kriteria utama dan masih juga terjadi kes2 macam ni maka itu adalah kehendak Allah semata2 untuk menguji kita. Yg penting Allah tidak akan mungkir janji atau sengaja menganiayai "hamba"Nya. Maka terpulang pada kita untuk mentaatinya atau mengingkarinya

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails