PULAU PINANG: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini mendedahkan satu sindiket penipuan pelaburan menerusi internet yang dikenali sebagai skim pelaburan Le Cruz yang telah memperdayakan lebih 8,000 orang setakat ini.
Presiden CAP, S.M Mohamed Idris berkata, skim itu dipercayai didalangi oleh seorang ahli perniagaan tempatan yang mempunyai pengaruh politik dengan menawarkan pulangan pelaburan sehingga 500 peratus.
"Skim pelaburan Le Cruz berunsur pelaburan kasino dan membabitkan pelaburan jutaan ringgit dengan menjanjikan keuntungan sehingga 500 peratus selain hadiah barangan mewah seperti jam jenama Rolex dan barangan kemas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, kebanyakan mangsa skim pelaburan ini adalah golongan orang kaya dan profesional.
"Kerajaan harus mengambil tindakan cepat untuk membanteras kegiatan penipuan ini bagi mengelak lebih ramai yang terpedaya kerana syarikat pelaburan itu mampu memancing pelabur dengan menawarkan imbuhan awal seperti pemberian jam Rolex," kata beliau.
Sementara itu, bekas pengurus kilang yang menjadi salah seorang mangsa penipuan itu R.Prakash, 45, berkata, selain ditawarkan barang mewah, beliau juga diberi perjalanan percuma ke Macau dan penginapan di hotel mewah, mengunjungi beberapa kasino dan dilayan seperti orang kenamaan.
"Keistimewaan yang diterima itu menyebabkan pelabur yakin dengan skim tersebut dan saya telah menjual harta benda saya untuk menambahkan pelaburan berjumlah RM4.9 juta selepas diberi imbuhan.
"Bagaimanapun semuanya terhenti secara tiba-tiba pada Oktober 2009 dan apabila saya berjumpa dengan seorang ejen syarikat yang dikenali sebagai Vijaya, dia enggan membayar balik wang pelaburan saya," katanya.
Menurutnya, setakat ini lebih 100 laporan polis telah dibuat di seluruh negara mengenai penipuan skim pelaburan itu yang bermula sejak tahun 2008. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment