Monday, January 18, 2010

Masih Bela Babi, Tapi Kaum Hmong Masuk Islam Ramai-ramai.

CATATAN PERJALANAN

Suku Hmong: Menjadi warga Thailand sejak Idul Adha 1430 H

Perempuan suku Hmong: Sedang menunggu daging haiwan Qurban di Desa Ban Sen Sai Pha Yao Thailand Utara

Suku Hmong Muslim Di Kampung Bukit Doi Pha Chang, Pha Yao Thailand Utara.

PADA Disember 28 2009 lalu, kerajaan Thailand mulai mengusir 4,000 suku kaum Hmong dari kem pelarian wilayah utara Phetchabun supaya kembali ke Laos. Mengapa mereka di usir? Suakanya ditolak. Thailand menjelaskan, pelarian tersebut adalah kerana ekonomi, mereka yang pura-pura menjadi suaka, konon kerana negaranya menjadi mangsa kekejaman fahaman komunis.

Sedang mereka sebenarnya adalah pendukung Amerika Syarikat ketika perang melawan Vietnam. Laos-Thai hanya bersempadan dengan sungai Mekong, meliputi hampir seluruh negaranya. Laos adalah salah satu negara yang tak punya akses ke Laut, dari Border di Nong Kai kita harus hati hati bila berkendaraan. Kerana berkenderaan di Laos setirnya di kiri sementara dari Thailand disebelah kanan.

Dari pinggir sungai sebelah kota Vientiane Laos dapat dilihat dengan jelas daerah Chiang Mai, apalagi bila musim kemarau, air sungai surut sampai ke tengah. Agaknya bila dibandingkan antara Laos dengan Thailand, dari segi ekonomi, mngkin sama dengan Indonesia-Malaysia. Banyak TKI (Tenaga Kerja Indonesia) di Malaysia yang mengadu nasib seperti mereka.

Kembali kepada kisah suku Hmong. Di wilayah Chiang Rai, Chiang Mai, Lam Phan, Pha Yao, Udon Thani, di perbukitan disitu banyak di jumpai suku Hmong ini, kira-kira ratusan ribu orang jumlahnya. Kehidupan mereka kebanyakan bercocok tanam, mereka adalah petani yang ulet. Mereka bermukim disitu ada yang telah ratusan tahun lamanya.

Hmong (sebut [m̥ɔ̃ŋ]) atau Mong ([mɔ̃ŋ]) adalah nama dari kelompok etnik yang menempati wilayah pegunungan China selatan dan Asia Tenggara. Suku Hmong di China atau Tiongkok mempunyai populasi lebih ramai dan disebut Suku Miao. Mulai pada awal abad ke-18, suku Hmong melakukan hijrah besar-besaran ke Asia tenggara kerana alasan politik atau ekonomi. Di Asia Tenggara mereka boleh dijumpai di Vietnam, Laos, Thailand, dan Myanmar.

Suku Hmong di Laos terlibat dalam usaha pemberontakan terhadap kaum komunis-nasionalis Pathet Lao dalam Perang Rahsia. Ketika Pathet Lao mengambil alih pemerintahan pada tahun 1975, warga Suku Hmong dikenakan retribusi, sehingga banyak yang mengungsi ke Thailand. Ribuan pengungsi Hmong juga mengungsi ke Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Guyana Perancis dan Kanada. Yang lainnya kembali ke Laos dengan program repatriasi dari PBB. Kini sekitar 8,000 orang warga Hmong menjadi pendatang tanpa izin di Thailand.

Kembali pula kepada kisah Ban Sen Sai. Desa ini terletak di kaki bukit Doi Pha Chang masuk ke dalam wilayah Pha Yao. Di situ ribuan keluarga suku Hmong mendiami kaki bukit yang subur. Kerja mereka bercocok tanam, sambil-sambil menternak babi, kambing, lembu dan kerbau. Ratusan keluarga di desa itu telah memeluk agama Islam. Contohnya, Desa San Ti Suk. Dua tahun lalu puluhan keluarga mengucapkan syahadat di bawah bimbingan Ustaz Yusuf dan Baba Yee dari Patani.

Mari kita lihat kisah seorang pemimpin dari suku Hmong bernama Thoriq. Beliau adalah orang yang pertama sekali memeluk agama Islam di Ban Sen Sai. Seorang puteranya kini sedang belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Malaysia. Ada beberapa pemuda dari kampung itu juga belajar di beberapa Universiti di Malaysia dan di Bangkok.

Awal Desember 2009 yang lalu Thoriq datang ke Batam. Thoriq hanya dapat berbahasa Hmong dan Thailand. Thoriq pun belum boleh membaca Al Quran lagi, begitu juga bacaan dalam solat tetapi beliau tetap rajin bersolat. Semasa saya datang ke Pha Yao Idul Adha pada 27 Disember/1430H lalu, disana kami semua memotong haiwan Qurban, hari raya aidil adha.

Semasa hendak pulang meninggalkan Ban Sen Sai, Thoriq minta nak ikut agar dibawa bersama-sama ke Patani, Malaysia dan Batam di Indonesia. Usia Thoriq sekitar 57 tahun. Beliau menggunakan pasport Thai, pasport yang telah 3 tahun yang lalu dibuatnya. Seronok sungguh beliau bila dapat keluar dari kampungnya di kaki bukit Doi Pha Chang, yang bila musim dingin suhunya mencapai 9 derajat celsius.

Di Ban Sen Sai dibangunkan sebuah masjid sekitar 5 tahun yang lalu. Masjid itu dibangun oleh seorang aktivis dakwah bernama Ustaz Abdul Wahab dari Kulim Kedah Malaysia. Disitulah bermukim seorang dai bernama Ustaz Hasan yang berasal dari Patani Thailand, berkahwin dengan perempuan suku Hmong yang masih berkerabat dengan Thoriq.

Thoriq tertarik dengan Islam karena kebersihan. "Orang Islam itu bersih!" katanya dalam bahasa Siam yang diterjemahkan oleh ustaz Hasan.

Meskipun banyak suku Hmong ini sudah memeluk Islam tetapi mereka masih tetap juga memelihara babi. Setiap tahun paling tidak dalam bulan Zulhijjah, Idul Adha, kami kerap ziarahi mereka. Di Chiang Rai banyak komuniti Muslim dari China yang memiliki hotel dan restoran menjual makanan halal. Tahun lalu 2008 atau 1429H saya tidak kesana kerana sedang menunaikan ibadah haji.

Thoriq yang mempunyai anak 3 orang. Kesemuanya sudah besar-besar ingin juga hendak ke haji. Kalau dari Batam ongkos naik haji sebesar 32 juta rupiah Indonesia.. Thai 1 bath sekitar 300 rupiah. Kira punya kira, beliau tersenyum, bila saya tanya, "Ada duit ke?"

Tahun lalu jamaah haji asal Thailand terhalang hendak berangkat dari Bangkok kerana ada demontrasi di lapangan terbang. Mungkin Thoriq akan berangkat dari Malaysia, banyak jamaah haji asal Thailand berangkat dari Malaysia, begitupun jamaah haji dari Kamboja dan Vietnam.. mereka berangkat melalui Malaysia.

Di Batam, Thoriq kami bawa berkeliling ke pulau-pulau sekitaran perairan Batam dengan boat. Di seputaran perairan Batam pun banyak suku laut yang seperti Thoriq, yang Islamnya cuma baru mengucap dua kalimat syahada.

Oleh Imbalo Iman Sakti
- Batam, Indonesia.

Kepada penulis, saya editor Blog Ibnu Hasyim, sahabat lama kepada Ustaz Wahab dari Kulim seperti yang disebutkan dalam tulisan ini, mengucapkan terima kasih atas dakwah melalui tulisan tuan.

Begitu juga kirim salam saya kepada ustaz Hasan asal Pattani yang kini bermukim di Ban Sen Sai, kalau ada kesempatan. Saya tak pasti samada Ustaz Hasan masih ingat saya lagi atau tidak. Kepada beliau, cuba ingat-ingat balik kisah dan tragedi pukul kanak-kanak sedang sembahyang di Ban Palas Pattani, kira-kira 22 tahun lalu?

Wallahu aklam.

No comments:

Post a Comment