- Dr Hassan said...
- "Maaf tuan Ibnu, Nampaknya tuan hentam semua. Nasionalis Umno, sosialis Libya, kapitalis US & semua yang lain dari Islam. Bagaimana dengan DAP & PKR yang tidak berdasarkan perlembagaan Islam? Sial (sila) terangkan kalau ada masa. (January 19, 2010).
Terima kasih dan al-hamdulillah atas komen tuan. Sebenarnya, sepanjang wujudnya blog ini (April 2007), banyak soalan-soalan seperti ini, termasuk e-mail, perbincangan dan lain-lain. Saya belum jawab, kerana saya anggap isu ini sudah berlalu. Tetapi, nampaknya sehingga sekarang ramai yang masih bertaya. Tak apalah, terima kasih.
Soalannya, lebih kurang, 'Bagaimana dengan DAP & PKR yang tidak berdasarkan perlembagaan Islam?' Mengapa dengan parti-parti ini kita boleh berbaik? Dengan DAP (Parti Tindakan Demokrat) di dalamnya ramai orang bukan Melayu boleh, sedangkan dengan UMNO (Parti Kebangsaan Melayu Bersatu), yang ramai orang Melayu Islam, tak boleh bertolak ansur langsung?
Jawapan ringkasnya ialah kerana, dengan parti-parti itu parti Islam negara ini atau PAS telah mengadakan tahaluf.
I. Apa makna tahaluf? '
Tahaluf' ialah perjanjian persefahaman bagi bekerjasama dan bantu-membantu untuk menghadapi lawan. Persefahaman ini boleh dilakukan..
a) Di kalangan sesama Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan kaum Aus dan Khazraj, akhirnya membawa kepada penyatuan umat di bawah panji-panji tertegaknya negara Islam.
b) Dengan kumpulan bukan Islam seperti persefahaman dengan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib (walaupun sesama bangsa Arab tetapi agama berlainan) yang berlaku sebelum hijrah. Begitu juga persefahaman dengan kabilah Khaza’ah selepas 'Perjanjian Hudaibiyah'. Rasulullah SAW mengiktiraf 'half al-fudul' yang berlaku pada zaman jahiliyah apabila terbentuk satu persefahaman menentang kezaliman.
Perkara ini terjadi apabila seorang lelaki dari kabilah Zubaid dizalimi oleh Aas bin Wa’il, lalu dia meminta pertolongan. Tetapi tidak ada yang sanggup tolong. Maka beberapa orang dari bangsawan Makkah yang bersimpati dengannya telah mengadakan persefahaman di rumah Abdullah bin Jad’an untuk menentang kezaliman tersebut.
Berhubung dengan peristiwa ini, Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:
Daripada Talhah bin ‘Abdullah bin ‘Auf, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jad’an satu pakatan yang aku amat suka kepadanya seperti sayang kepada unta merah (barang yang sangat berharga), kalau aku diajak kepadanya di zaman silam nescaya aku menyahutnya.” (Riwayat Ibnu Ishaq)
Jadi perkara ini pernah berlaku dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW.
II. Tahaluf: Mesti ada syarat-syaratnya.
Ulama telah membahas dan menggariskan syarat-syaratnya..
Pertama: Tahaluf itu mesti membawa maslahah atau kebaikan dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip asal.
Bukti dan dalilnya ialah:
a) Hubungan Rasulullah SAW dengan keluarganya dari kalangan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib, khasnya Abu Talib. Walaupun mereka tidak menganut Islam, tetapi mereka mempertahankan Rasulullah SAW sehingga sanggup berkorban apa sahaja. Pernah Abu Talib membuat satu kenyataan seolah-olah mahukan Rasulullah SAW bertolak-ansur dalam perkara prinsip. Maka dengan tegas Rasul SAW menjelaskan..
"Oh, ayah yang ku sayangi! Demi Allah, kalau mereka letakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku, supayaku tinggalkan urusan ini (menegakkan Islam), pasti takkan ku tinggalkan, sehingga Allah menangkan agamaNya atau aku mati kerananya.” Akhirnya Abu Talib dan keluarganya kecuali Abu Lahab, mengambil keputusan untuk mempertahankan Rasulullah SAW.
b) Hubungan Abu Bakar Al-Siddiq RA dengan Ibn Daghnah yang sedia nak beri perlindungan kepada beliau tetapi telah dibatalkan. Ini terjadi apabila Ibn Daghnah buat syarat kepada Abu Bakar supaya jangan baca Quran di luar rumah kerana bimbang boleh pengaruhi orang lain kepada Islam. Syarat itu membuat tahaluf tak jadi.
c) Contoh maslahat yang diizinkan:
(i) Tahaluf ke arah kedaulatan dan pelaksanaan syariat Islam.
Dalam suasana gagalnya idealogi-idealogi asing dan buntunya mencari jalan penyelesaian masalah, ada pula kumpulan orang Islam yang tak faham Islam atau telah terjebak ke dalam idealogi bukan Islam. Dan kebetulan ada pula kumpulan bukan Islam yang memberi kesempatan kepada perlaksanaan hukum Islam.. maka kerana itu patutlah diadakan hubungan dengan mereka.
Mereka pula sanggup sokong puak Islam dalam pilihan raya, sidang dewan dan lain-lain, bahkan bersedia untuk menerima kepimpinan Islam, mengakui kedaulatan dan perlaksanaan sepenuhnya.. walaupun tiada yang memaksa mereka menganut Islam (tetapi mengambil peluang memperkenalkan Islam kepada mereka). Dalil dan contohnya, anda boleh lihat sejarah perjanjian Rasulullah SAW di Madinah dengan orang-orang Yahudi.
(ii) tahaluf dalam menentang kezaliman, penyelewengan dan keruntuhan moral.
Apabila perkara ini merupakan perkara-perkara yang dirasai kesan dan akibatnya kepada semua golongan, termasuk golongan bukan Islam, maka boleh diadakan persefahaman dalam perkara ini. Contohnya, lihat sejarah kerjasama di dalam usaha mendesak pembebasan tahanan dan sebagainya. Kerana Rasulullah SAW mengiktiraf half al-fudul serta mengakui pakatan dan persefahaman golongan yang menentang perjanjian pemulauan ke atas keluarga Rasulullah SAW.. walaupun mereka tidaklah sampai ke peringkat mengakui kedaulatan Islam.
Rasulullah SAW berkata maksudnya:
Diriwayatkan daripada Jabir RA katanya: Dua orang anak muda, seorang darinya kaum Muhajirin dan seorang lagi dari kaum Ansar sedang bertengkar. Seorang atau mungkin juga beberapa dari Muhajirin menjerit: Ooi Muhajirin! Begitu juga kaum Ansar juga berbalas jerit: Ooi Ansar!
Mendengar suasana begitu Rasulullah SAW keluar dan bersabda, "Ada apa panggil-panggil macam jahiliah ni?"
Mereka menjawab, "Tak ada apa-apa ya Rasulullah. Hanya ada dua anak muda sedang bertengkar. Salah satu darinya berusaha memukul tubuh yang satu lagi."
Kata Rasulullah SAW, "Kamu jangan sorok masalah. Sepatutnya kamu tolong yang zalim atau yang dizalimi. Kepada yang zalim, cegah kezalimannya, bererti menolongnya. Kepada yang dizalimi hendaklah dia membela dirinya."
(Hadis Riwayat Muslim)
Kedua: Mengakui kepimpinan Islam dan tidak menjejaskan matlamat perjuangan
Dalilnya:
a) Rasulullah SAW telah menangguhkan tahaluf dengan Bani Syaiban apabila mereka tidak bersedia untuk bersama-sma menegakkan negara Islam dan mempertahankannya. Hal ini terjadi apabila Bani Syaiban menyatakan ketidaksanggupan untuk berhadapan dengan Parsi tetapi hanya sanggup menghadapi kabilah Arab sahaja.
b) Rasulullah membatalkan cadangan untuk bertahaluf dengan Bani ‘Amir apabila mereka mahu berkongsi jawatan kepimpinan negara tanpa menerima Islam.
Ketiga: Tidak berwala’ kepada musuh dan tidak redha dengan pegangan mereka. Di antaranya, mengakui kepimpinan orang-orang bukan Islam dan bertahaluf dengan musuh-musuh Islam untuk memerangi orang-orang Islam. Firman Allah SWT maksudnya:
“Janganlah orang-orang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang beriman. Dan sesiapa melakukan (larangan) demikian maka ia tidak (dapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.” (Ali ‘Imran: 28)
Berwala': maknanya menjadikan (orang kafir) sebagai pemimpin, teman yang akrab, pelindung atau penolong. Kalau berkeadaan takut adalah darurat. Kesetiaan dalam keadaan itu (takut) dilahirkan secara zahir, tetapi hatinya tidak redha di samping berusaha membebaskan diri dengan merancang penerusan perjuangan, atau dengan berhijrah dan sebagainya.
Muwada’ah: Terdapat satu persefahaman secara sementera waktu dengan golongan yang bermusuh kerana maslahah. Persefahaman ini dinamakan muwada’ah dan ada juga ulama’ meletakkannya dalam perkara hadanah (atau gencatan senjata). Disebut dalam 'Syarah Muhazzab' (karangan Imam Nawawi), di antara maslahahnya ialah mengharapkan mereka masuk Islam, mereka akan membayar jizyah atau menolong kerana bantu memerangi golongan lain.
Tetapi para ulama’ bertelingkah dalam menentukan tempoh masanya. Ada yang menghadkan setakat empat bulan sahaja dan ada juga yang mengharuskan menurut maslahah (di antaranya ialah orang-orang Islam masih berada dalam keadaan lemah). Adapun jika tiada apa-apa maslahat atau mudaratnya lebih banyak daripada maslahah, maka ia tidak diharuskan.
Isti’anah (Meminta Bantuan atau Pertolongan): Apabila adanya persefahaman, maka berlakulah tolong-menolong, iaitu mereka berjanji untuk menolong orang Islam dan kumpulan Islam pun berjanji untuk menolong mereka.
a) Mereka menolong kumpulan Islam.
Menurut Syeikh Sayid Sabiq dalam 'Fiqh Al-Sunnah', adalah harus bagi orang Islam menerima pertolongan dari golongan munafik dan fasik. Kerana Rasulullah SAW pernah membenarkan Abdullah bin Ubai (seorang munafik) menyertai peperangan bersama-sama baginda. Juga kisah penyertaan Abu Mahjan (seorang fasik) yang mabuk dalam peperangan menentang Parsi.
Adapun pertolongan daripada orang-orang kafir, terdapat kekhilafan di kalangan fuqaha’:
(i) Imam Malik dan Imam Ahmad tidak mengharusnya secara mutlak.
(ii) Imam Abu Hanifah mengharuskannya dengan syarat orang-orang Islam yang menguasai urusan.
(iii) Imam Syafi’i mengharuskannya dengan syarat:
1. Apabila orang-orang Islam berada di dalam keadaan lemah.
2. Apabila didapati orang-orang bukan Islam cenderung kepada Islam dan memandang baik terhadapnya, dibenarkan dia memberi pertolongan dengan diberi imbuhan dan bukannya bahagian ghanimah (rampasan peraqng).
b) Orang Islam menolong mereka.
Menurut al-Sarkhasi di dalam kitabnya 'Al-Mabsut', dan Al-Syaibani di dalam kitabnya 'Al-Siyar al-Kabir', Rasulullah SAW menghantar tamar ‘Ajwat kepada Abu Sufyan dan mengutus 500 dinar ke Makkah supaya dibahagikan kepada orang yang perlu dibantu ketika Makkah dilanda kemarau.
Menurut Ibn Qaiyim al-Jauziyah di dalam kitabnya, 'Zadal-Ma’ad', apabila Sumamah bin Al-Sal RA, pemimpin Bani Hanifah memeluk Islam, beliau memerintahkan supaya jangan dihantar bekalan gandum ke Makkah sehingga penduduk Makkah berada dalam keadaan
kesempitan hidup. Lalu pemimpin-pemimpin Makkah merayu kepada Rasulllah SAW menasihatkan Sumamah agar menghentikan sekatannya.
III. Rumusan.
Kesimpulannya, tahaluf dapat dibahagikan menurut keadaan berikut:
Pertama: Dalam peringkat membentuk kerajaan hendaklah dengan syarat:
a) Kepimpinan mestilah di tangan orang Islam
b) Mengiktiraf negara Islam
c) Menerima perlembagaan Islam dan syariatnya
Kedua: Tahaluf tanpa membentuk negara:
a) Kerana maslahah untuk menghadapi musuh yang lebih besar.
b) Masalah bersama untuk menentang kezaliman, penyelewengan, membebaskan orang-orang tahanan dan sebagainya.
c) Berlindung sementara ketika lemah.
d) Tidak terikat dengan syarat yang bercanggah dengan Islam dan kepentingan gerakan Islam.
Perhatian dalam keadaan sekarang:
Dalam situasi sekarang, hendaklah diberi perhatian kepada beberapa perkara yang boleh menjejaskan maslahah, di antaranya ialah seperti berikut:
1. Matlamat menegakkan negara Islam adalah sangat penting dalam strategi yang diambil oleh gerakan Islam atau harakah Islamiyah. Oleh itu, jangan terikat dengan janji boleh menghalangnya atau dengan syarat-syarat yang mengikat.
2. Mengutamakan persefahaman dengan kumpulan-kumpulan Islam berpengaruh dan mempunyai titik pertemuan dalam perkara prinsip yang boleh dipercayai. Bukannya yang lemah dan tidak berperanan. Kemudian, baru dengan kumpulan-kumpulan yang bukan Islam.
3. Kini kumpulan Islam sedang berhadapan dengan masyarakat yang cetek pemahaman terhadap Islam. Mereka tidak mengetahui perbezaan Islam dengan idealogi-ideologi moden. Oleh itu, golongan Islam hendaklah mempunyai syakhsiyah kuat yang dapat membezakan mereka dengan parti-parti lain. Dan masyarakat perlu diberi kefahaman tentang perbezaan di antara Islam dan idelogi-ideologi moden lain. Kalau tidak, tahaluf dengan kumpulan bukan Islam lebih memberikan kesan negatif.
4. Persefahaman dengan kumpulan bukan Islam tidak berpanjangan, samada mereka akan menerima Islam atau pertarungan akan berlaku juga pada akhirnya. Oleh itu, hendaklah dibuat ikatan-ikatan longgar yang tidak akan membelenggu kumpulan Islam di belakang hari.
5. Maka, kenyataan bersama perlu dipertimbangkan dengan tegas terutama dari segi prinsip, walaupun terpaksa mempertimbangkan kedua belah pihak.
6. Waspada terhadap politik dan tipudaya mereka dengan bergantung kepada Allah SWT dan kebijaksanaan kurniaanNya.
Sila lihat rujukan, Al-Quran, kitab-kitab hadis dan seperti 'Syarah Muhazzab' karangan Imam Nawawi, Syeikh Sayid Sabiq dalam 'Fiqh Al-Sunnah', Al-Sarkhasi 'Al-Mabsut', Al-Syaibani 'Al-Siyar al-Kabir', Ibn Qaiyim al-Jauziyah di dalam 'Zadal-Ma’ad', juga kenyataan PAS Kelantan mengenai tahaluf dan lain-lain.
Sekian, harap maklum.
Ibnu Hasyim
Alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
KL Jan 21, 2010.
No comments:
Post a Comment