Friday, January 15, 2010

S'pura, Seorang Lagi Jemaah Islamiah (JI) Ditahan.

Abu Bakar Bashir: Ustaz ini juga dituduh pengganas

14 Jan 2010 SINGAPURA: Seorang anggota JI ditahan di bawah ISA

SEORANG anggota Jemaah Islamiyah (JI) yang juga dikatakan anggota kumpulan militan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Mohd Azmi Ali, telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Laporan cyberita.asia

Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Mohd Azmi, 41 tahun, diberkas dalam November tahun lalu dan dikenakan perintah tahanan (OD), yang berkuat kuasa pada 15 Disember lalu. Mohd Azmi menganggotai JI pada 1989 yang ketika itu dikenali sebagai kumpulan Darul Islam (DI).

Sekitar 1997, dia melawat kem MILF di Mindanao, Filipina. Dia mengambil baiah dengan pengerusi MILF ketika itu, Hashim Selamat. Di sana juga dia belajar menggunakan senjata api dan menghadiri demonstrasi membuat bom di samping menyumbang kepada MILF, walaupun sedar sepenuhnya bahawa wang sumbangannya itu, antara lain digunakan untuk membeli senjata.

Dia melarikan diri dari Singapura pada Disember 2001 ketika tindakan keselamatan diambil ke atas anggota kumpulan JI. Persembunyiannya berakhir apabila dia ditangkap dengan kerjasama pihak berkuasa rantau ini.

Menurut MHA lagi, dua anggota JI Singapura, Mohamed Nazir Mohd Uthman dan Hashim Abas, diletakkan di bawah Perintah Sekatan (RO) di bawah ISA sejak 6 Januari lalu - setelah tempoh OD mereka tamat.

Mohamed Nazir dan Hashim diberkas pada Disember 2001 dan ditahan di bawah ISA sejak Januari 2002 kerana terlibat dalam rancangan JI yang dituduh untuk melakukan serangan ganas di beberapa sasaran di Singapura. Sejak ditahan, kededua mereka telah membantu dalam siasatan dan menunjukkan kemajuan ketara dalam pemulihan.

Sementara itu tempoh RO ke atas tiga lagi anggota JI/MILF tamat Sabtu lalu dan tidak diperbaharui. Ketiga-tiga lelaki itu ialah Hamim Jaafar, Yusri Mohamed Yusof dan Abdul Ghani Omar. Mereka dikenakan RO buat kali pertama pada 10 Januari 2004.

'Memandangkan ketiga-tiganya telah bekerjasama dalam siasatan dan memberikan respons positif terhadap pemulihan, mereka tidak lagi perlu menjalani pemantauan di bawah RO,' tambah MHA. (AK)

No comments:

Post a Comment