KL: Kehidupan mewah melampau seorang pengurus sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka hingga mampu memiliki deretan kereta mewah dan harta mencecah RM11 juta membongkar kegiatannya selama ini - menjual klip video lucah kepada orang ramai melalui SMS, sejak setahun lalu.
Difahamkan, lelaki berusia 33 tahun itu memiliki Porsche Cayenne dan BMW, malah sedang menunggu ketibaan kereta mewah Lamborghini bernilai lebih RM1 juta yang ditempah. Namun, kegiatan tidak bermoralnya itu terbongkar selepas dia ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, kelmarin, selepas menerima laporan berhubung kegiatannya daripada syarikat tempatnya bekerja minggu lalu.
Sumber Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkata, siasatan mendapati suspek sebelum ini bekerja dengan syarikat telekomunikasi terkemuka dan dipertanggungjawabkan menghantar SMS kepada pelanggan mengenai khidmat atau promosi semasa ditawarkan syarikat berkenaan.
Menurutnya, suspek yang bertugas sebagai pengurus sistem bagaimanapun mengambil kesempatan menyalahgunakan kemudahan laluan talian itu selain pengetahuan dimiliki untuk menghantar tawaran membeli klip video lucah kepada pelanggan dengan mengenakan kadar bayaran tertentu.
“Polis sebelum ini menerima beberapa aduan daripada pengguna yang terkejut dengan penyebaran iklan SMS berbaur seks secara meluas sejak setahun lalu. Susulan itu, polis cuba menyiasat dalang kegiatan itu termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“Usaha itu akhirnya berhasil apabila suspek dikenal pasti baru-baru ini dan difahamkan dia sebelum itu diambil tindakan pihak pengurusan syarikat yang menyedari kesalahan dilakukan selama ini,” katanya.
Difahamkan, pihak syarikat telekomunikasi berkenaan sudah memecat suspek sebelum laporan polis turut dibuat berhubung penyelewengan itu.
Menurutnya, suspek yang menyalahgunakan talian syarikat itu untuk keuntungan serta kepentingan diri sendiri mengumpul sehingga lebih RM11 juta hasil kegiatan lebih 16 bulan lalu. “Jumlah keuntungan diperoleh amat menakjubkan berbanding jumlah gaji diterimanya kira-kira RM4,000 sebulan. Malah, jika diambil kira secara purata, suspek mampu memperoleh hampir RM700,000 sebulan hasil kegiatan haramnya itu.
“Suspek ditahan di rumahnya di Putra Heights berhampiran Subang Jaya, tengah malam semalam (kelmarin).
“Polis memperoleh perintah mahkamah hari ini (semalam) bagi menahan reman lelaki terbabit selama tiga hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Pihak polis tidak teragak-agak menyita semua harta dan wang dalam akaun suspek mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 kerana memperoleh harta melalui cara tidak sah,” katanya.
Menurutnya, kejayaan terbaru polis itu membuktikan tindakan serius polis dalam menangani pelbagai gejala dan aktiviti tidak sihat yang cuba merosakkan minda masyarakat. (Sumber: Mymetro)
Komen Blog Ibnu Hasyim: Pihak polis tidak teragak-agak menyita semua harta dan wang dalam akaun suspek mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 kerana memperoleh harta melalui cara tidak sah.
Bagaimana klip vedeo lucah dalam internet. Kalau dalam kes penghinaan Sultan Johor boleh dicari hingga ke lobang cacing di Malaysia, takkan dalam kes klip vedio lucah di internet tidak boleh? Bersepah-sepah, budak-budak kecil pun boleh tengok. Tak boleh sikit pun? (AK)
No comments:
Post a Comment