Wednesday, February 24, 2010

Minyak K'tan: Mengapa PM Membisu? -Husam Musa















PASIR MAS, Feb 24 — Di sebalik pertikaian tuntutan royalti minyak Kelantan sebanyak lima peratus, Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Kelantan Datuk Husam Musa mempersoalkan kredibiliti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang beliau mendakwa sebagai hanya membisu.

Husam berkata demikian sebagai reaksinya terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang sejak kebelakangan ini dilihat terlalu aktif mengatur pelbagai program dengan mendakwa Kelantan tiada hak mendapatkan bayaran royalti lima peratus.

“Sepatutnya Perdana Menteri yang bercakap pasal ini, dan kita memang inginkan penjelasan Perdana Menteri sendiri.

“Ambo (saya) minta Datuk Pa tak usah campur hal ini, biar Perdana Menteri sendiri yang bercakap.

“Sebab dia (Mustapa) bukan menteri berkaitan dalam perkara ini. Rakyat semua tahu,” kata beliau dalam ceramah umum dihadiri kira-kira 4,000 penyokong PAS di stadium mini Pasir Mas, dekat sini malam tadi.

Kerajaan negeri membuat tuntutan tersebut awal tahun lalu. Semalam Husam mengeluarkan penjelasan lapan perkara dengan menekankan Kelantan layak menerima tunggakan bayaran royalti minyak sebanyak RM2 bilion, bukannya RM20 juta yang diumumkan Mustapa baru-baru ini.

Namun isunya menjadi hangat apabila kerajaan persekutuan cuba menafikan tuntutan itu dengan memutuskan hanya untuk membayar wang ihsan. Mustapa menidakkan hak tersebut semasa kempen pilihan raya kecil Manek Urai tahun lalu dan ketika ceramah perdana balas baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata, PAS yang begitu terdesak perlu menerima kenyataan royalti minyak bukan milik negeri seperti digembar-gemburkan selama ini. Husam menegaskan pihak kerajaan negeri akan terus memperjuangkan tuntutan tersebut walau dengan apa cara termasuk terpaksa bawa isu berkenaan ke mahkamah kelak.

“Kita lakukan semata-mata kerana rakyat. Dan, kita yakin rakyat sentiasa bersama kita dalam memperjuangkan hak ini,” katanya.

Satu taklimat berkaitan dengan isu royalti minyak kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan akan diadakan pada Ahad ini, yang akan disampaikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas. “Tun sudah mengesahkan untuk hadir pada majlis itu. Selepas itu kita akan bincang balik apa tindakan seterusnya berhubung perkara ini,” ujarnya.

Menurut Harakahdaily hari ini, Kelantan memperbetulkan kenyataan yang dibuat kerajaan Pusat di mana tunggakan royalti yang perlu dibayar kepada kerajaan negeri sebanyak RM2 bilion dan bukannya RM20 juta.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Negeri, Datuk Husam Musa berkata, bayaran semasa pula kerajaan negeri patut menerima sebanyak RM600 juta mengikut hasil pengeluaran 2008. Menurut beliau, royalti sebanyak RM20 juta hanya diperolehi dari telaga Bumi Selatan yang dikeluarkan sejak 2008.

“Yang kita tuntut tunggakan sahaja tidak kurang daripada RM2 bilion dan bayaran semasa tidak kurang RM600 juta.

”Kita berharap kerajaan Malaysia dapat memperbetulkan semula pendirian mereka secepat mungkin supaya tidak menimbulkan kekeliruan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails