Monday, February 15, 2010

Nik Aziz Kunjungi Pemimpin Tionghua, Guan Eng Dikunjungi..

Gambar atas sekali Tok Guru di Kelantan, bawah Lim Guan Eng di pulau Pinang.

KOTA BHARU, 14 Feb: Sempena Tahun Baru Cina hari ini, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, turut mengunjungi beberapa orang pemimpin masyarakat Tionghua.

Bagi menzahirkan seorang pemimpin Islam yang memimpin pelbagai lapisan masyarakat dan lapisan kaum, pagi tadi beliau mengunjungi beberapa buah pemimpin masyarakat itu di negeri ini. Kira-kira pukul 10.00 pagi, beliau meluangkan masa ke rumah pemilik Syarikat SBJ, Datuk Tan.

Kemudian beliau ke rumah Kenny Chia pula. Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob dan lain-lain pemimpin kerajaan. Para tamu dihidangkan dengan pelbagai juadah seperti sate dan roti jala. Kenny mengucapkan terima kasih di atas kesudian Tuan Guru serta timbalannya yang sudi mengunjungi rumah beliau sempena Tahun Baru Cina, tahun ini.

“Moga dengan semangat muhibah yang ditunjukkan oleh kedua orang pemimpin berkenaan akan menambahkan lagi keharmonian dalam negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu di Georgetown Pulau Pinang, rumah terbuka Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sempena Tahun Baru Cina yang diadakan di laluan pejalan kaki Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pagi tadi meriah dengan kehadiran rakyat pelbagai kaum, berlangsung penuh harmoni dan warna warni.

Tetamu terhormat Yang Dipertua negeri, Tun Datuk Seri Utama Dr Haji Abdul Rahman Abbas dan isterinya tiba sekitar jam 11.00 pagi disambut mesra oleh kepimpinan kerajaan negeri yang diketuai Timbalan Ketua Menteri 1 dan 2, Dr Mansor Othman dan P Ramasamy yang sedari awal berdiri sambil melayan tetamu yang tidak putus-putus menghulurkan tangan tanda semangat pada Tahun Harimau yang membawa maksud ketangkasan, licik, waja dan berketerampilan.

Selain Yang Dipertua negeri, turut kelihatan ialah Pesuruhjaya PAS Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Ustaz Saleh Man, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Yang Dipertua PAS Bukit Bendera, Saiful Lizan Mohd Yusuf, Speaker Dun, Datuk Abdul Halim Husain dan ketua-ketua jabatan kerajaan. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails