PUTRAJAYA: Buat pertama kali, tiga wanita yang melakukan kesalahan jenayah syariah menjalani hukuman sebat pada 9 Februari lepas di Penjara Wanita Kajang, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Sambil merujuk kepada hukuman sebatan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang belum pun dilaksanakan, beliau berkata, kes itu sengaja digembar-gemburkan kerana jelas dari segi pelaksanaan hukuman sebat itu menunjukkan pesalah tidak mengalami kecederaan.
"Apa yang digembar-gemburkan dalam kes Kartika itu menimbulkan kebimbangan orang ramai, saya harap janganlah hanya fokus kepada satu kes yang belum dilaksanakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.
Hishammuddin berkata, seorang daripada tiga pesalah wanita berkenaan telah dibebaskan pada Ahad lepas, pesalah kedua akan dibebaskan dalam tempoh beberapa hari lagi dan pesalah ketiga dibebaskan pada Jun nanti.
Menurut beliau, wakil dari kementeriannya turut hadir semasa pelaksanaan hukuman dibuat bersama 13 orang lagi antaranya Pengarah Jabatan Agama Wilayah, Pegawai Jabatan Agama Wilayah dan wakil dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara serta wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Berdasarkan temu bual dengan tiga pesalah wanita itu, beliau berkata, didapati bahawa mereka insaf, reda dan bertaubat dengan hukuman yang diterima walaupun sebatan tersebut tidak mendatangkan kesan luka.
"Diharapkan isu itu tidak disalahertikan sehingga mencemarkan kesucian Islam. Hukuman itu adalah untuk mendidik dan memberi keinsafan agar mereka yang terlanjur dapat kembali ke pangkal jalan dan membina hidup baru yang lebih baik," katanya.
Pelaksanaan hukuman sebat mendapat liputan meluas sejak Kartika ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating, Pahang pada 11 Julai 2008.
Kartika yang mengaku bersalah kemudian didenda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan. Bagaimanapun hukuman sebatan itu masih tertangguh sehingga kini. - BERNAMA
Komen Blog Ibnu Hasyim:Ikut hukum sebat cara Islamkah? Apa kesalahan dan bagaimana sebatnya?
No comments:
Post a Comment