Thursday, February 25, 2010

Perak: 2 Tauliah MB, Lebih Dari Kartun - Nizar Jamaluddin.










Ir Nizar

MACHANG, Feb 25 — Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang dianggap kehilangan jawatan Menteri Besar Perak setahun lalu ekoran krisis politik menyifatkan negeri itu sebagai “lebih kartun dari kartun.”

Beliau berkata demikian mengulas peruntukan undang-undang tubuh kerajaan negeri bahawa Menteri Besar hanya boleh dilucutkan jawatannya melalui pembubaran Dewan Undangan Negeri, undi tidak percaya ataupun Menteri Besar sendiri meletakkan jawatan.

“Sekarang ini negeri Perak mempunyai dua surat pentauliahan Menteri Besar, sebab walaupun saya telah digugurkan namun hingga sekarang surat tauliah saya sebagai Menteri Besar belum ditamatkan lagi.

“Tidak dibatalkan lagi. Sepatutnya tauliah tersebut dibatalkan dahulu sebelum buat pelantikan yang baru,” kata beliau ketika menyampaikan ceramah perdana Pakatan Rakyat (PR) di Padang Majis Daerah Machang dekat sini, malam tadi.

Hadir sama Naib Presiden PKR Azmin Ali, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Yusof.

Konflik kerajaan negeri Perak tercetus ekoran dua ADUN PKR dan seorang dari DAP meninggalkan parti masing-masing mengisytihar sebagai calon Bebas, sekali gus menyokong BN-Umno.

Ekoran itu Nizar dititahkan oleh Sultan Azlan Shah supaya meletak jawatan sebagai Menteri Besar setelah mendapati Barisan Nasional mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri, lalu melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai penggantinya.

Nizar bagaimanapun enggan berbuat demikian menyebabkan pertikaian dibawa ke mahkamah.

Awal bulan ini Mahkamah Persekutuan memutuskan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dalam pada itu, Nizar percaya rasional rakyat dalam menilai situasi kudeta di Perak, malah yakin Barisan Nasional pasti akan berdepan dengan penghakiman rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

“Saya percaya dengan kematangan rakyat,” kata Nizar disambut dengan laungan takbir, kemudian disusuli dengan kata cerca “Umno khianat” dari penyokong PR hampir 6,000 memenuhi ruang padang tersebut mengikuti ceramah berkenaan. (sumber: The Malaysian Insider/AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails