CATATAN PERJALANAN MEDAN-ACEH 3
BANYAK yang boleh diceritakan dalam perjalanan kali ini. Tetapi kerana jadual masa tidak menentu, saya dengan seorang kawan terpaksa pergi ke Sibolga, yang masih dalam Kecamatan Medan atau Sumut (Sumatra Utara). Agak lari sikit dari perjalanan asal ke Mangging, di Tapak Tuan, Aceh selatan. Sibolga sebuah bandar lama di pinggir laut, berhadapan Lautan Hindi. Didiami oleh ramai oleh kaum Batak, orang Minang, Nias dan lain-lain. Lepas itu kami berangkat ke Subuluusalam di Aceh Selatan pula yang dalam Negeri Aceh. Tak sempat saya ke internet cafe untuk mencatat parjalanan. Kereta sewa kami melalui pinggir laut yang menarik sepanjang perjalanan. Naik bukit, turun bukit. Terjumpa juga air tejun tinggi dari gunung di pinggir laut.
Di Sibolga jalannya agak sempit dan kurang baik, kadang-kadang tanah merah, atau jalan tar yang sudah usang. Berselisih dua buah kereta pun agak sendat, walau pun masih digelar 'highway'. Tetapi bila sampai di sempadan Aceh, jalan sudah baik dan baru. Seolah-olah menampakkan Aceh lebih cepat membangun dari Sibolga. Masuk terus merentasi Aceh Selatan, tiba-tiba kawan saya itu berkata..
"Di sini, beberapa tahun sebelum berlakunya tsunami aku melalui jalan ini. Malam itu gelap gelita. Kawasan itu disebut kawasan merah atau kawasan hitam. Tempat selalu berlaku pertempuran antara Tentera Indonesia dengan Pasukan GAM atau Gerakan Aceh Merdeka, yang menuntut kemerdekaan. Dari atas bukit amat mudah bagi GAM menyerang hendap tentera Indonesia, yang kurang mengetahui suasana tempatan itu. Tempat itu menjadi sejarah ramai tentera Indonesia yang mati diserang.
Dalam perjalanan malam itu, dari jauh kami nampak sebuah kereta kerajaan yang tayarnya bocor. Kami pun berhenti untuk menolong. Tiba-tiba keluar beberapa tentera Indonesia yang memakai pakaian biasa tidak pakaian tentera, mengacukan senjata M16 ke arah kami.
"Ganti tayar mobil kami ini segera, kalau tidak aku tembak!" Gertak seseorang kepadaku.
Dia fikir aku takut. "Hey!" Aku jawab. "Aku berhenti kereta untuk menolong orang yang susah. Kalau aku tahu kamu tadi, aku takkan berhenti!"
"Kalau kau tak berhenti kami tembak!!" Tengking tentera itu dalam keadaan mabuk.
Aku terus jadi marah. Ku rapati dia, "Tembak. Tembaklah aku sekarang, kalau berani. Jangan ingat kamu semua boleh keluar dari sini hidup-hidup!" Aku tengking balik. Kalau mereka cuba menembak, aku yakin aku dapat rampas salah satu dari senjata mereka, dan sekurang-kurangnya 2 atau 3 nyawa mereka aku ambil sebagai tukaran dengan nyawaku."
Kata kawan saya itu, semasa kami dalam mobil merentasi memasuki daerah Aceh menuju Subulus Salam.
Kawan saya ini, dalam memperjuangkan keadilan dia memang mengambil pendekatan keras dan kasar. Hal ini juga berlaku pada malam kelmarin semasa keluar dari Medan di Amplas. Sewaktu saya dan dia menaiki 'bus kota' menuju ke hentian bas untuk ke Sibolga di Amplas. Amplas memang terkenal satu-satu tempat berlaku paling banyak jenayah di Kota Medan. Rompak samun, ragut, penyeluk saku dan sebagainya.
Dalam bas kota yang macam bas mini di KL itu, dia duduk di belakang driver dan saya sebelahnya mengadap pintu arah penumpang masuk. Matanya sentiasa melihat penumpang yang naik turun. Tiba-tiba naik seorang anak muda membawa beg hitam kecil bertopi sodok yang dialihkan ke belakang sodoknya, duduk di sebelah saya. Mata anak muda itu agak liar, sering melihat saya melalui ekor matanya, tiba-tiba bertembung dengan mata kawan saya itu.
"Apa lihat-lihat? Kamu seperti aku juga?" Kata anak muda mencabar kawan saya. Walaupun kawan saya itu memiliki janggut panjang, tebal, berbadan tinggi bukan macam pencopet.
Secepat kilat penumbuk kawan saya itu sudah membelasahi muka anak muda itu, bertalu-talu. "Ini orangnya yang setiasa membuat kacau di sini!" Jeritnya. Anak muda itu ingin melawan, tetapi dia sudah tersandar ke dinding, mukanya berdarah tak sempat menjawab. "Orang ini tidak boleh melihat orang luar masuk daerah ini, seperti bapa ini." sambil jarinya menunjuk ke arah saya.
"Aku sudah mahir dan kenal mata pencopet yang bermain di daerah ini. Mahu dicopet dan dirampoknya, dengan berbagai helah yang akan dilakukan sebentar lagi.." Sambil tangannya meraba beg hitam milik anak muda itu. Tetapi tiada apa-apa. "Kalau ada belati, dengan belati itu akan ku rodok perutmu! Mana kawan-kawanmu? Sebentar lagi mereka akan naik membantu maksudmu!"
Setelah semuanya selesai, orang ramai nampak menyebelahi kawan saya itu, kami pun pergi. "Beginilah cara aku berdakwah. Mesti pantas, cepat, keras dan berkesan. Mencegah sebelum parah!" Katanya kepada saya, seolah baru selesaikan satu tugas mudah.
Dia menyambung lagi kisahnya berdepan dengan tentera Indonesia malam itu..
"Itu cara aku. Cara kawan yang mengikutku malam itu agak lain. Dia bekas 'orang Tabligh'. Selepas tentera itu terperanjat tidak menembak aku, dia pun menawarkan diri untuk menukarkan tayar kereta yang dinaiki tentera itu. "Biar aku yang bantu kamu." Katanya terus bertindak menukar tayar.
"Aku tolong kamu ini bukan kerana aku takut kepada kamu. Tapi aku ingin memberitahu kamu bahawa kemalangan kerosakan ini adalah kerana Allah memberi amaran kepada kamu supaya kembali bertaubat. Kerana malam ini kamu akan pergi berbuat maksiat. Dari botol-botol arak dalam keretamu aku tahu kamu mahu pergi berpoya-poya dengan cewek-cewek di Prapat (Danau Toba) luar Aceh." Katanya lagi. Tentera-tentera itu terus mendiamkan diri, sambil mendengar.
Selesai menukar tayar sehingga boleh digunakan, dia yang berjanggut tebal berpesan lagi. "Ingat! di depan perjalanan kamu ini ada lagi cabaran dari Allah supaya kamu semua bertaubat. Ingat lagi. Bayangkan cewek-cewek yang kamu maksiati itu adalah anak isterimu sendiri. Apa rasa kamu? Kan kamu juga beragama Islam seperti kami!"
Tiba-tiba terdengar suara komandan tentera itu memanggil rakan-rakannya, dan mengarahkan pembatalan perjalanan mereka dan pulang saja. Maka batallah rancangan maksiat mereka. "Lihat! Itulah cara aku dakwah." Kata kawan aku kepadaku selepas kejadian itu.
Pada saya pula, itulah gaya dua individu yang berdakwah. Berdakwah mengikut kuasa yang ada padanya. Kedua-duanya sanggup bergadai nyawa dalam menyuruh berbuat baik dan mencegah mungkar.
Itu pengalaman dari catatan perjalanan kali ini, yang boleh diambil iktibar. Bersambung.
Ibnu Hasyim Catatan Perjalanan.
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Subulussalam, Aceh.
Feb 08, 2010
2 comments:
BENAR KATA BAPAK HASHIM....DI AMPLAS HARUS KERAS. INI MEDAN BUNG ! KAPAN-KAPAN KALO MAU KE SIBOLGA BAGUSNYA SAMA TAXI INDI AJA. MEREKA MANGKAL DEKAT NASI SOTO PAK ANWAR BRIGED KATAMSO.
BIKA AMBON ZULAIKHA BELI NGAK UNTUK BUAT OLE2.......
hamdalah allohumalikul aziz, moga perjalanan cik dan temannya mendatangkan keridhoan alloh, teruskan perjalanan.....semoga pengalaman perjalanan dalam susah dan senang jadi motivasi dan inspirasi untuk semua......
Post a Comment